Sunday, November 23, 2008

Destinasi Terakhir

Keadaan di sekelilingku diterangi cahaya sinaran kalimantang berwarna oren yang kuat. Aku memejamkan mata untuk mengelakkan mataku dari kesilauan pancaran cahaya tersebut. Apabila kubuka kelopak mataku, aku terkejut apabila terpandang sebuah kapal angkasa yang sangat ganjil dan menakjubkan di hadapanku. Wah! Menarik sungguh objek aneh ini.

"Sungguh menghairankan! Apakah objek ini sebenarnya? Mengapakah ia berada di tengah-tengah kawasan yang lapang ini?" Tanpa berlengah, aku pun segera menuju ke arah kapal angkasa itu dengan langkah yang perlahan serta hati yang berdebar-debar. Kaki kapal angkasa itu diperbuat daripada logam yang berkilat dan licin. Bentuknya bagaikan kancah tertangkup.

Tiba-tiba, aku terlihat kepulan asap tebal keluar dari bahagian bawah kapal angkasa tersebut. Bang! Bunyi kuat kedengaran di hadapan. Langkah kakiku terhenti merta-merta. Alangkah terkejutnya aku apabila pintu itu terbuka luas seolah-olah kehadiran diriku di situ telah pun diketahui orang.

Bahang panas mula menyelubungi tubuhku. Aku tidak dapat lagi membendung perasaan curigaku lalu aku melangkah masuk ke dalam objek misteri itu.

"Ada sesiapa di dalam ?" teriakku.

Soalanku tiada jawapan. Aku memandang sekelililngku. Semuanya kelihatan aneh. Di sama sini kelihatan butang-butang yang agak aneh.

"Apakah fungsi butang-butang ini semua?" aku bermonolog sendirian.

Aku menekan butang-butang yang terdapat di papan skrin tanpa memikirkan kesannya. Bang! Tit! Tit! Tit! Pesawat itu mengeluarkan bunyi yang mendesing panjang. Ruang di dalam pesawat itu mula bersinar dan aku merasakan bahawa pesawat itu bergerak dan berpusing ligat bagaikan sebuah gasing. Semakin lama semakin laju pusingannya sehinggakan aku terjelepok di atas kerusi. Kepalaku terasa pitam dan mataku mula berpinar-pinar.

"Huh? Apa yang telah berlaku? Ke manakah pesawat ini akan membawa ku? Oh! Tidak! Tidak ! Tanpa kusedari aku kini berada di ruang atmosfera! Kapal angkasa tadi telah pun meninggalkan bumi.

Dengan kelajuan kecepatan cahaya, pesawat itu mula bergerak zig-zag di angkasa raya. Aku menjenguk keluar dari sebuah cermin kecil. Haba terasa kian membahang. Perlahan-lahan, aku mula berasa mengantuk dan beberapa minit kemudian kegelapan menyelubungi suasana.

Bila aku tersedar, aku dapati aku berada di sebuah makmal yang agak unik. Tiba-tiba, pandanganku terpacak ke arah makhluk asing yang berada di situ. Aku menjerit ketakutan. Wajahmya begitu menakutkan. Makhluk tadi berkepala botak dan mempunyai tanduk seperti antena televisyen. Ia mempunyai belalai yang panjangnya sampai ke bawah paras lutut. Matanya merah dan bulat. Mulutnya pula besar dan bertaring dengan bibir yang nipis.

"Aaaaaaahhhh!!! Tolong! Tolong! Jangan apa-apakan aku! Tolong! Di manakah aku berada sekarang?" Perasaan takut mula mencengkam diriku. Peluh dingin mula merembes keluar dari dahiku dan aku menggigil kesejukan.

"Selamat datang ke planet saya iaitu Planet Marikh, wahai manusia. Saya adalah ketua planet ini. Nama saya Zippo. Pesawat yang awak naiki tadi itu adalah kepunyaan saya. Kedatangan awak telah lama dinanti-nantikan."

Aku melihat alam sekeliling. Tidak ada sebarang tanda kehidupan di kawasan tanah yang lapang di situ. Dari jauh aku ternampak sebuah bangunan yang berbentuk telur berwarna putih. Bangunan itu sentiasa berpusing. Aku kembali merenungi makhluk asing di hadapan dengan kehairanan.

"Sebenarnya, kapal angkasa itu merupakan satu perangkap bagi manusia untuk dibawa ke planet saya ini. Saya sengaja mengarahkan pesawat itu mendarat di bumi. Makhluk-makhluk di planet saya ingin tahu tentang anatomi manusia. Jangan takut, selesai sahaja pemeriksaan kami ke atas awak, saya akan kembalikan awak ke bumi.”

Tiba-tiba, suatu cahaya berwarna biru mula mengelilingi kami. Whoosh! Dengan serta-merta aku berada di kawasan lain di Planet Marikh. Kali ini, terdapat ramai makhluk asing seperti Zippo, tetapi mereka semua memakai topi yang besar di atas kepala mereka melainkan Zippo. Yang sungguh menakjubkan adalah cara makhluk-makhluk asing itu berbual antara satu sama lain. Yang peliknya, suara mereka kedengaran tetapi mulut mereka tidak bergerak langsung. Mereka menggunakan hubungan telepati di mana mereka berbual dengan menggunakan daya pemikiran. Tiba-tiba sekumpulan makhluk asing menghampiri diriku.

"Kami akan melaksanakan penyiasatan ke atas awak sekarang. Sila baring di sini dan pejamkan mata awak."

Aku dibaringkan di sebuah meja yang lembut dan empuk bagaikan tilam. Mereka menggunakan mesin-mesin yang canggih dan memasangkannya ke tubuhku. Tubuhku mula menggigil. Aku rasakan diriku ini bagai melayang-layang di angkasa sehinggakan aku tertidur.

"Pemeriksaan ke atas kamu sudah pun selesai. Hebat sungguh manusia di bumi. Kami dapati bahawa manusia mempunyai kemampuan spectrum pancaindera yang luas daripada kami dan manusia menguasai suara infrasonik dan ultrasonik. Dengan maklumat yang kami dapati daripada kajian tersebut kami akan menggunakannya dengan baik.
Aku tidak mampu berkata apa-apa. Kemudian aku pun dimasukkan ke dalam kapal angkasa yang aku naiki. Pesawat itu mula bergerak dengan kelajuan yang luar biasa menuju ke destinasiku. Aku memerhatikan Planet Marikh sehinggakan ia hilang dari pandangan…


Siti Norhayati Bte Abdul Rahim

Menengah 4 Sapphire

Sekolah Menengah Dunearn

Kau Terpaksa Aku Dipaksa

“Kau tidak berhati perut!” jeritku lalu telapak tanganku menghinggapi pipi Hisyam. Sejurus itu aku terus menghilangkan diri dari pandangannya. Hisyam benar-benar malu kerana diperlakukan aku begitu rupa di khalayak ramai.

“Nora, tunggu!” ujarnya.

Dia berlari-lari anak untuk mendapatkanku dan berusaha memujukku. Namun, usahanya gagal. Pipi Hisyam merah padam. Dia mengusap perlahan-lahan pipinya yang masih pijar. Sekali lagi aku cuba melarikan diri tetapi kali ini, dia mengenggam tanganku dengan erat.

"Nora, berikan Hisyam peluang untuk menerangkan segala-galanya," rayu Hisham.

Kolam mataku penuh dengan mutiara jernih. Kemudian ia berjurai lalu membasahi pipinya. Aku hanya membatukan diri apabila dia mendakapku dengan manja.

"Nora, Hisham terpaksa menunaikan amanah bondanya yang mahukan Hisyam mengahwini Aisyah, sepupu Hisham. Sisa jernih menuruni pipiku dengan perlahan.

"Kau penipu, Syam. Penipu!!! Mengapa Syam sanggup meninggalkan Nora jikalau Syam benar-benar sayangkan Nora. Mengapa Syam? Mengapa!!!, teriaku sambil menitiskan air mata.

"Nora, tiada yang lain yang bertakhta dihatiku kecuali dirimu. Aku akan tetap menyayangimu," bisiknya ke telingaku.

"Sedu-sedanku membuat Hisyam memelukku dengan lebih erat. Aku tahu bahawa ini adalah kali terakhir aku dapat bersama dengannya. Aku tidak mampu melepaskan diriku darinya. Aku cuba menyapukan air mata yang kian lebat tercurah ke atas pipiku itu tetapi apabila Hisyam mengucup dahiku air mataku mengalir dengan deras sekali.

"Sayang, walau apa pun yang terjadi Syam akan tetap menyayangi Nora. Maafkan Syam jika hati Nora dilukai. Berjanjilah pada Syam bahawa Nora tidak akan kembali ke jalan yang pernah Nora lalui dahulu," rayu Hisyam sambil mengesat air mataku.

"Selamat tinggal sayangku!"

Aku sempat memeluknya sekali lagi sebelum melepaskan dirinya buat selama-lamanya.

Sesampainya di rumah aku mengurungkan diriku di kamarku. Setiap hari aku berendam air mata. Kebahagiaanku kini pudar. Impianku untuk mendirikan mahligai bahagia bersama Hisyam terputus di tengah jalan.

Sejak itu, aku mula berubah. Aku mula berkawan dengan kawan-kawanku yang liar seperti dahulu. Aku tidak lagi menghiraukan diriku. Janji yang kuberikan kepada Hisyam hanya tinggal janji. Duniaku kini ibarat malam tanpa bulan dan bintang. Tiada arah tujuan. Aku mula merokok dan memakai pakaian yang menjolok mata. Nasihat ibu dan bapaku tidak kuendahkan sehinggakan aku dihalau keluar rumah kerana perangaiku yang buruk dan memalukan keluarga.

Suatu malam, kawan-kawan mencadangkan agar kami ke disko. Oleh kerana aku berasa bosan, aku menuruti kehendak mereka. Tiba sahaja di sana, kawan-kawanku meninggalkan aku bersendirian untuk menari bersama pasangan masing-masing.

Sedang aku memerhatikan gelagat mereka, tiba-tiba seseorang jejaka menepuk bahu kananku. Aku menoleh ke belakang. Aku terpandang seorang jejaka tampan berdiri di hadapanku. Dia tersenyum.

"Saya Shafiq. Siapa nama saudari?" katanya sambil menghulurkan tangannya.

"Saya Nora," jawabku.

"Saudari datang seorangkah?" dia bertanya.

"Tidak, dengan rakan-rakanku," aku menunjukkan jariku ke arah mereka.

"Di mana pacarmu? "tanya Shafiq.

"Apa maksudmu?" tanya Nora meminta kepastian.

"Masakan gadis ayu seperti kamu tidak ada teman istimewa. Saya kira tentu saudari sudah berpunya. Di manakah dia? Atau mungkin dia telah meninggalkan saudari untuk mencari pasangan yang lain."

"Eh! Apa awak peduli? " aku berteriak dengan nada yang tinggi.

"Maaf, saya hanya bergurau. Saudari ingin menari?" dia bertanya.

"Baiklah tapi awas, jangan cuba buat tak senonoh, kalau tidak nahas awak."

"Maafkan saya. Saya tidak berniat pun untuk berbuat begitu. Saya hanya ingin menari dengan saudari."

Jam menunjukkan tepat jam 1.30 pagi. Aku rasa cukup kakiku terhuyung-hayang mengikut irama hingar-bingar Techno dan R & B, sudah penat badan ini melayan tempo dan speaker yang sebesar peti ais.

"Shafiq, cukuplah setakat ini. Nora sudah penat. Selamat tinggal ... "

Belum pun sempat aku menghabiskan ucapanku Shafiq telah menyampuk, "Jangalah pulang dahulu, kalau kamu penat, marilah kita berehat dan berbual dahulu."

"Tapi..." aku membantah.

"Please! " ujarnya

"Baiklah," kataku

Sebaik sahaja aku duduk, dia meninggalkanku. Dia kembali dengan segelas minuman "cocktail" buatku. Kami berbual-bual dan bergurau-senda sehingga 2.30 pagi. Rakan-rakanku telah lama meninggalkanku kerana mereka keletihan dan ingin tidur.

"Eh Shafiq! Aku ingin pulang. Aku berasa letihlah," aku memberitahunya.

"Baiklah, tapi saya akan menghantar kamu pulang. Waktu begini, tidak manis bagi seorang gadis seperti kamu pulang sendirian.

Apabila aku melangkah keluar dari kelab malam itu, aku terasa begitu letih.

"Terasa mengantuk?" Shafiq bertanya.

"Ya, biasanya pada waktu begini aku sudah tidur."

Tidak lama kemudian badanku terasa lemah. Berat sungguh bagiku untuk membuka mata. Tiba-tiba dunia serta-merta menjadi gelap.

"Nora!" adalah kata-kata terakhir yang kudengar dari Shafiq.

Aku tidak sedar apa yang sudah terjadi tetapi apabila aku tersedar badanku terasa lemah. Kepalaku pula berdenyut-denyut.

Alangkah terkejutnya hatiku apabila aku dapati Shafiq berada di sisiku tanpa seutas benang pun di tubuhnya. Fikiranku berkecamuk dengan seribu satu persoalan yang memerlukan jawapan. Air mata keinsafan jatuh mencurah-curah dari kelopak mataku. Aku sedar aku telah kehilangan kehormatanku tanpa kerelaan diriku. Aku bagaikan mawar pudar warna. Perasaan malu berbaur marah mula membara di hatiku. Marah kerana telah mempercayai seseorang yang baru sahaja aku kenali. Malu kerana terpedaya dengan kata-kata manis dan tutur bicaranya yang penuh madu sehingga aku ternoda. Aku sedar Shafiq telah membubuh sesuatu ke dalam minumanku. Apakan daya aku telah terlanjur.

"Tidak!!! "aku menjerit.

Shafiq yang sedang berdengkur dengan asyiknya terjaga dari tidurnya.

"Kurang ajar! Tergamak kau mengambil kesempatan ke atas gadis lemah sepertiku," jeritku sambil menampar muka Shafiq. Biar dia rasakan tamparan itu sakit sebagaimana sakitnya hatiku.

"Jangan kau nak persalahkan aku. Masakan harimau menolak bangkai? Lagipun tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi," kata Shafiq dengan nada sinis.

"Kurang ajar! " jerit Nora. Sekali lagi satu penampar hinggap di pipi Shafiq.

"Kau kira aku gadis apa? Bohsia."

"Ah! Jangan kau cuba nak lagak seperti bidadari. Masakan gadis cantik sepertimu berkeliaran di disko. Kalau gadis macam kaulah di Sungai Road pun aku boleh dapat."

"Jahanam. Keluar kau dari sini, keluar aku kata!!!"

"Baik, tapi kau jangan menyesal. Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Kalau kau tak nak aku pun tak inginlah. Selamat tinggal !"

Dengan kata-kata itu, Shafiq hilang dari pandanganku. Dalam hujan lebat dan kilat sabung-menyabung, aku menghimpunkan sisa tenaga yang ada lalu mengorak langkah ke rumah temanku untuk menumpang teduh. Malangnya rakanku tiada di rumah. Aku didakapi seribu penyesalan.

"Siapakah yang akan bersimpati dengan diriku? Siapa? Sudah tentu bukan keluargaku. Aku malu kerana telah menconteng arang ke muka mereka. Rakan-rakanku pastinya akan menganggap musibah yang menimpa diri perkara biasa yang tidak perlu dikesali.

Dalam keadaan separuh sedar, aku melintasi jalan raya. Tiba-tiba kepalaku pitam dan mataku berpinar-pinar. Duniaku seakan-akan berpusing. Apabila aku tersedar aku dapati aku berada di Hospital Alexandra di samping ayah serta ibuku. Rupa-rupanya aku kecelakaan. Aku telah dilanggar sebuah kereta. Tiba-tiba aku terdengar suara seorang insan yang amat aku kenali.

"Nora!" teriak Hisyam.

"Hisyam," jawabku dengan penuh kehairanan.

Rupa-rupanya orang yang melanggarku adalah Hisyam, bekas kekasihku. Dalam kemalangan yang mengerikan itu isterinya telah terkorban.

"Ibu, ayah, maafkan Nora," aku berkata dengan nafas yang tersekat-sekat. Ibuku tidak mampu berkata apa-apa. Hanya air mata yang berladung di kelopak matanya. Tangisannya cukup untuk menggambarkan gelora di hatinya.

"Nora, maafkan Syam. Syam kesal dengan apa yang telah terjadi. Syam berdosa. Kalau tidak kerana Syam, tentu Nora tidak jadi begini. Maafkan Hisyam," kata Hisyam dengan linangan air mata keinsafan.

"Syam, Usah dikesali apa yang terjadi. Mungkin ada hikmah di sebalik pertemuan ini. Nora tidak kesal dengan kemalangan yang menimpa diri Nora kerana akhirnya kita dipertemukan semula. "Tapi sanggupkah Syam menerima Nora semula dalam keadaan begini?"

"Syam sanggup memperisterikan Nora biar apa pun keadaan Nora demi menebus dosa-dosa Hisyam. “ Mendengarkan pengakuan Hisyam air mata kesedihan meluruti pipiku. Terkabul juga doa dan harapanku. Aku yakin senja telah berakhir dan langit yang mendung akan kembali cerah.

Nadiah Bte Zainal

Menengah 4 Sapphire

Sekolah Menengah Dunearn

Malamku Kesiangan

Angin malam membelai langsir, terasa seperti ia membelai hatiku. Pada ketika itu dunia bagaikan tiada berpenghuni. Aku berasa tetang memerhatikan langit yang terbentang luas dihiasi biji-biji berlian dan cahaya purnama masih setia menerangi alam semesta. Aku diselubungi kesepian. Aku menghela satu keluhan di aspal sepi. Tiba-tiba terdengar suara sang pungguk mendayu-dayu memecah keheningan malam. Aku pun membuka radio lalu kedengaran lagu 'Malamku Kesiangan' nyanyian Kumpulan SLAM berkumandang di corong radio.

"Bayang lenaku menjelma

Tak menentu fikiranku bercelaru

Tiada lain yang teringat

Hanya kenangan denganmu…"

Tanpaku sedari butir-butir mutiara tergenang di kelopak mataku lalu tertumpahnya air mata bagaikan gerimis membasahi pipiku. Masih teringat lagi kepada seorang gadis bernama Nur Faezah. Ketika itu dia menjalinkan perhubungan intim dengan Syahrul, sahabat karibku. Faezah diibaratkan sekuntum bunga yang mekar harum di jambangan Syahrul. Aku berasa gembira melihat sahabatku berbahagia di sisi seorang gadis yang seindah syurgawi lagi jujur dan setia seperti Faezah. Pada suatu hari epilog cinta Syahrul dan Faezah mula retak bagaikan gunung-gunung batu pejal yang jatuh pecah berselerakan. Syahrul ingin mengundurkan diri. Perbuatannya yang kejam membuat aku berasa simpati pada Faezah. Bak kata pepatah "cubit peha kanan, peha kiri terasa jua". Syahrul juga berasa keliru dengan perasaannya terhadap Faezah bagaikan seorang pengembara kehilangan peta.

Aku mula mendapat perhatian Faezah. Aku sering menasihatinya agar cekalkan hatinya untuk menempuh segala dugaan dan cabaran yang diberi oleh Tuhan Yang Maha Esa. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, entah mengapa terpendamnya perasaan kasih dan sayangku terhadap Faezah. Jiwaku gelisah, hatiku memberontak apabila Faezah jauh dari pandanganku. Aku bagaikan pungguk merindukan bulan. Adakah ini cinta? Aku ingin meluahkan isi hatiku yang kian lama terpendam di setiap penjuru hatiku. Aku pun mengorak langkah untuk melakarkan sepucuk surat kepada Faezah.

Faezah,

Dengan terlayangnya warkah ini ke pangkuanmu kuluahkan hasrat di hati yang kian lama terpendam. Maafkan seandainya warkah ini menganggu ketenteramanmu dan jika kata-kata ini mengusik emosi dan perasaanmu. Kehadiranmu bagaikan pelita yang menerangi hidupku yang dahulunya gelap-gelita. Hatiku berasa gelisah apabila aku tidak mendengar suaramu yang merdu dan jiwaku terseksa apabila kau berada jauh dari pandanganku.

Entah mengapa, dengan secara tiba-tiba bunga-bunga cinta mula berkembang terhadapmu semenjak kau berpisah dengan Syahrul. Jiwaku dibelasah kerinduan dan tasik cintaku mula dicerobohi oleh keikhlasan dan kejujuranmu. Lidahku tidak pandai melafazkan kata-kata kiasan. Di sini dengan harapan setinggi gunung, kuharapkan hatimu agar terbuka agar dapatku buktikan keikhlasan dan kejujuran citanku.

Terciptanya warkah ini ketika malam sunyi sepi. Ketika aku terjaga dari mimpi yang terindah warnanya. Perasaanku bukan sekadar fantasi. Biarkan serpihan rembulan berguguran ke ribaku, biarkan aku merintih kehausan dan kering kegersangan namun kaca yang bersadur keemasan akan terus jua kucari walaupun di hujung dunia. Andainya di situ ada ruang, bolehkah kiranya aku menumpang? Berikan aku kesempatan untukku buktikan erti kejujuran dan keikhlasan.

Malam ini janggal kurasakan menantikan jawapan yang belum pasti. Ke manakah menghilangnya purnama yang semalam indah kulihat bercahaya? Apakah terlindung di balik mega ataukah aku terkurung di ruang gelita. Pertama kali bagiku menghitung bintang di langit yang berwarna khirmizir. Tiba-tiba lamunanku tersentak dengan deringan telefon bimbitku. Alangtkah terperanjatnya aku apabila nama Faezah terpapar di permukaan skrin telefon bimbitku.

"Assalamualaikum, Saari ke tu?" tanya Faezah dengan nada yang manja yang mencairkan hatiku.

"Waalaikumussalam. Ya…saya di sini. Ada apa Faezah menelefon Saari? Ada hal mustahak kah? "jawabku dengan intonasi yang ghairah.

"Surat Saari telah saya baca. Sbenarnya sudah lama saya menunggu Saari melafazkan kata-kata syahdu itu, "katanya keriangan.

"Betulkah?,"tanyaku bagaikan tidak percaya.

"Ya Allah, takkanlah saya bermain-main dengan perkara begini," jelasnya.

Aku hanya membisu seribu bahasa sambil tersipu malu. Di saat itu lidahku kelu dan aku tidak dapat mengucapkan apa-apa. Asam garam di gunong, ikan di laut dalam hidangan bertemu juga. Faezah pun mengajakku keluar bersamanya pada keesokan harinya.

Hari berganti hari dan bulan berganti tahun. Perhubunganku dengan Faezah semakin intim. Kini hatiku berbunga riang dengan kehadiran Faezah yang membawa sinaran bahagia. Dua tahun telah berlalu, namun Faezah masih setia memancarkan sinaran cintanya padaku.

Kusangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya gerimis mengundang. Perhubungan aku dan Faezah semakin renggang setelah kehadiran Syahrul kembali ingin menawan permaisuriku. Tanpaku duga, perasaan Faezah mula berpaling arah kepada Syahrul. Meskipun kita telah bersulam kata dan bertahtahkan sumpah setia, Faezah telah berpaling arah dan entah mengapa cintanya terhadap Syahrul kian membara. Pentas lautan kujadikan taruhan, namun kilauan kaca kau dambakan dan kilauan permata kau abaikan.

Hatiku diselubungi perasaan cemburu dan rasa iri hati tercalit di hatiku. Setelah Syahrul berjaya memiliki dan menawan hati permaisuriku. Dengan perasaan marah dan dendam aku bersemuka dengan Syahrul untuk membuat perhitungan.

"Kusangkakan kau permata tetapi rupa-rupanya kau gunting dalam lipatan!" kataku kepada Syahrul dengan nada yang agak keras.

"Aaargh!!! Apa aku peduli? Engkau tidak ada hak untuk melarang aku," jeritnya.

"Tak mengapa. Tapi ingat wahai kawan, hujan tidak sepanjang tahun dan kemarau takkan berpanjangan. Manusia jenis kau akan menerima pembalasan dari Tuhan kelak," kataku sambil beredar dari situ.

"Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Insan yang sehodoh engkau tidak sepatutnya memiliki Faezah yang jelita. Sedarlah wahai kawan!" jerit Syahrul.

Aku tidak menghiraukan kata-katanya dan segera bergegas dari situ. Aku duduk sugul di kepala katil lalu menatap potretku dengan Syahrul ketika kami di bangku sekolah. Tiba-tiba aku tersentak dengan bunyi benda jatuh. Aku pun menghampiri ke arah bunyi tadi Aku dapati gelas seramik hadiah hari jadiku daripada Syahrul sebagai tanda persahabatan kami telah jatuh dan pecah ditiup angin. Aku pun mengambil serpihan kaca lalu menangis mengenangkan perhubunganku dengan Syahrul bagailan kaca yang berselerakan.

Kring! Kring! Telefon berdering. Aku pun mengangkat telefon lalu terperanjat mendengar suara Faezah menangis tersedu-sedsan.

"Sa…saari, Syarul telah meninggal dunia," katanya sambil menangis.

"Ya Allah, bagaimana ia boleh berlaku? tanyaku terperanjat.

"Dia telah menemui kemalangan selepas berjumpa Saari siang tadi."

"Apa?Betulkah? Ya Allah ya Tuahnku mengapa ini semua terjadi?"

Seperti dahulu aku menasihati Faezah untuk tabahkan hatinya untuk menempuh segala rintangan yang melanda tetapi keadaannya kini berbeza. Syahrul telah meninggalkan Faezah buat selama-lamanya untuk menyahut seruan Illahi, Namun demikian, aku tetap pasrah dengan nasib sebegini, Kini, ingatanku telah lesap untuk selama-lamanya. Kini, aku sedar cinta ini tidak semestinya berakhir dengan kebahagiaan. Kini Faezah hilang jua dibawa arus pawana.

Tiba-tiba kedengaran guruh membelah ruang angkasa. Aku tersentak lalu mendapati aku hanya mengenangkan nostalgia silam. Aku tinggalkan lamunanku tergantung tanpa bertali. Kini, Faezah dan Syahrul telah menjadi memori dan kenangan pahit manis dalam hidupku. Dengan iringan Al-Fatihah, aku berdoa ke hadrat Tuhan Maha Pencipta Alam agar roh Syahrul dicucuri rahmat. Amin amin amin ya rabbil alamin. Semoga Syahrul ditempatkan di syurga abadi bersama orang-orang yang beriman.

Muhammad Taufiq
Menengah 5 Ruby
Sekolah Menengah Dunearn

Kau Tetap Di Dalam Anganku

Di pusaramu ini, aku hadiahkan sekalung doa. Biarpun hanya doa yang dapat aku persembahkan kepadamu, biarlah ia menjadi teman buat dirimu yang berada jauh di mata. Dirimu akan sentiasaku kenang di mana jua kau berada. Walaupun aku telah menolak banyak pinangan, namun tidak pernah kukesali akan perbuatanku itu. Yang pasti, tiada sesiapa yang bertakhta di hati selain dirimu. Masih lagi terbayang-bayang sejarah cinta kita yang lalu. Kerana dirimulah, hidupku berubah menjadi sempurna.

Pap!!! Satu tamparan yang hebat menghinggapi pipiku.

"Anak tak mengenang budi! Sia-sia sahaja aku menghantar kau ke sekolah. Mulai dari hari ini, kau buatlah sesuka hati kau. Aku lepas tangan!"

Dengan bertemankan juraian mata aku melangkah longlai ke bilik tidurku. Sudah puas aku meminta maaf, namun usahaku bagaikan hujan jatuh ke pasir. Kata-kata ayah adalah muktamad. Sememangnya aku merupakan anak yang kurang berdisiplin. Aku tidak pernah serius dalam pelajaranku. Aku sering membuat hal di sekolah sehinggakan ibu bapaku sering dipanggil ke sekolah. Birapun sudah sejuta amaran, aku tidak pernah berubah. Baru-baru ini pula aku ditangkap menghisap rokok di tandas. Mungkin itulah yang membuat ayahku sangat marah sehinggakan dia menampar pipiku. Aku pun terus menelefon Alisa dan menceritakan segala-galanya kepadanya.

"Alah, takkan kerana sebatang rokok, mereka menampar kau? Kejamnya. Sudahlah, apa kata malam ini kau tidur sahaja di rumahku? Lagipun aku bersendirian." Kata-kata Alisa benar-benar telah membuatku benci pada keluargaku.

Aku pun bersetuju untuk bermalam di rumah Alisa. Tiba sahaja di rumah Alisa, dia mempelawaku masuk dengan penuh mesra. Setelah makan malam, kami mulai bersiap-siap untuk ke kelab malam. Pada mulanya aku enggan, tetapi setelah dipujuk berkali-kali akhirnya aku menurut. Tiba sahaj di sana aku berasa bebas. Aku mulai lupa dengan kejadian di rumah dan tiada sedikit pun rasa penyesalan menginap di hati. Aku meminum minuman keras, menari sesuka hati dan mempunyai ramai kenalan lelaki. Salah seorang di antara mereka ialah Syahadan. Dia merupakan pengunjung setia kelab malam tersebut. Dia juga sering membelanjaku minum. Aku boleh mendapatkan segala apa yang kuminta dengan senang. Tanpa ku sedari di sebalik kebaikannya dia juga mengharapkan balasan dariku.

Suatu malam seperti biasa, Syahadan menghantarku pulang. Sebaik sahaja aku menaiki tangga, tiba-tiba dia menarikku ke tepi dinding dan cuba mencabul kehormatanku. Aku memekik sekuat hati meminta tolong tetapi tiada siapa yang mendengar jeritanku. Ketika aku hampir putus harapan datang seorang jejaka menyelamatkanku. Melihat keadaanku, dia menumbuk Syahadan di muka. Dalam keadaan matanya yang lebam itu dia terus melarikan diri. Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Azharie dan menghantarku pulang. Walaupun dalam keadaan trauma, aku sempat mengucapkan terima kasih kepada Azharie sebelum dia pergi.

Malam itu aku tidak dapat tidur. Kejadian yang berlaku malam tadi sering menghantui kotak fikiranku. Kalau tidak kerana Azharie aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada diriku. Semenjak kejadian tersebut, kelibat Syahadan sudah tidak kelihatan lagi. Mungkin dia telah pergi melarikan diri.Beberapa hari selepas itu aku dikejutkan dengan kedatangan seseorang yang tidak kuduga, Azharie. Setelah mempelawanya masuk, kami bertanya khabar dan cuba mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Rupa-rupanya dia adalah sahabat Alisa. Dari situ bermulalah bibit-bibit percintaan di antara kami berdua. Azharie seorang pemuda yang baik, berpendidikan dan kuat beragama. Walaupun dia tahu tentang latarbelakang hidupku namun dia tetap menerimaku sebagai kekasihnya. Pada Azharie aku bisa berubah. Dia memujukku supaya berubah sikap dan mendengar nasihat ibu bapa. Berkat pertolongan dan ketabahannya, aku berjaya kembali ke pangkal jalan. Malah, kerana dialah aku diterima kembali oleh keluargaku. Mereka berasa bangga di atas perubahanku yang mendadak. Mereka juga telah bercadang untuk menikahkan kami berdua. Dengan persetujuan di antara dua belah pihak akhirnya kami diizinkan bernikah.

Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Ibu dan ayah sedang sibuk melayan tetamu di luar. Ahli keluargaku yang lain juga sibuk memasak lauk-pauk untuk santapan para tetamu. Aku pula sibuk diandamkan dengan rapi untuk hari yang bersejarah itu. Masa yang ditunggu-tunggukan akhirnya tiba, Namun Azharie belum lagi kelihatan. Kami menunggu lagi dengan sabar kerana kemungkinan Azharie terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Setelah penat menunggu tiba-tina kami dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Ibu menjawab panggilan tersebut dan tiba-tiba menjerit,"Tidak!...Tidak!!!"

Aku mengesyakki sesuatu yang tidak baik telah melanda Azharie. Ramalanku ternyata benar belaka. Azharie terlibat dalam sebuah nahas jalan raya dalam perjalanannya menuju ke rumahku. Azharie meninggal serta-merta di tempat kejadian sebelum sempat bertandang ke rumahku.

"Tidak…Tidak!!! Tidak mungkin Azharie sudah pergi! Jeritku sambil menangis sepuas-puasnya. Mengapa harus dia pergi di saat begini? Di saat aku baru hendak menjejakkan kakiku ke alam rumah tangga. Pelamin yang kuangan-angankan musnah di tengah jalan.

Tiba-tiba, bunyi dentuman guruh di langit menyentakku dari lamunanku. Barulah aku sedari rupa-rupanya aku hanya mengenangkan nostalgia silam. Aku menutup Kitab Yassin yang terbuka sejak tadi sambil mengesat air mataku yang jatuh bercucuran di pipi. Dengan sebak, aku merenjiskan air mawar ke pusara Azharie sambil memanjatkan doa agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Kemudian aku membelai batu nisan Azharie yang terpacak di tanah yang masih merah itu. Dengan langkah perlahan, aku mengorak langkah pulang dengan berat hati. Setiap langkah yang kuambil membuat hatiku bertambah sayu. Sayangku, Azharie sesungguhnya Tuhan lebih menyayangimu!

Siti Darmayanti Bte Rashid
Menengah 4 Topaz
Sekolah Menengah Dunearn

Wednesday, November 12, 2008

Di Persimpangan Dilema

Kukenali jejaka ini melalui chat. Lama kami bersembang menggunakan media ini, setiap malam kami berjumpa melalui cyber space, dan setiap hari bertambah terpaut kepadanya, cara dan gaya beliau bertutur sungguh mengasyikkan.

Tiba masanya beliau bersetuju untuk berjumpa, beliau terpaksa datang ke tempat ku untuk berjumpa.. aku sungguh menghargai pengorbanan yang di lakukan, datang dari jauh cuma untuk berjumpa denganku.

Pada petang suatu hari, telefon ku berdering, ku mengangkatnya dengan lemah dan lesu kerana aku baru sahaja pulang dari ofis dan sedang antara lena dan jaga di atas kerusi sofa ku, aku terus menjawab telefon ku.. "hello" dan dengan tidak semena-mena semua kelemahan dan lesu dibadan terus hilang bila ku dengar suaranya. Dia memberitahuku bahawa beliau berada di salah sebuah hotel di bandar di mana aku tinggal. Aku sungguh gembira, kami bersembang sebentar dan membuat janji unutk bertemu selepas waktu maghrib dan pergi makan. Hatiku berdebar kerana inilah peluang pertama aku akan mengenali jejaka yang ku selalu chat dan bercakap melalui telefon. Aku akan mengenali beliau secara langsung, berdebar juga rasanya. Dia bernama Syamil.

Aku bersiap dan terus menghidupkan enjin kereta. Aku pergi berjumpa dengannya. Kami bertemu di Mcdonald's dan dia membayar segalanya. Kami berbual dan aku mendapati bahawa dia seorang yang sangat mengambil berat. Hampir setiap minggu kami berjumpa. Dia mula rapat denganku dan dia sering memberi kejutan padaku. Aku mula tertarik padanya. Pada masa yang sama, aku berjumpa dengan teman lamaku sewaktu di sekolah rendah dahulu. Aku gembira dapat berjumpa dengannya kembali. Dialah, Razni. Seorang jejaka yang pernah menolak cintaku. Aku amat gembira dapat berjumpa dengannya kembali. Dia sangat memahami diriku. Dia tahu bahawa aku berkawan dengan Syamil. Aku menceritakan segalanya padanya. Dari masalah Syamil, ke masalah peribadiku. Dia sudah masak dengan perangaiku.

Semakin hari aku sering keluar bersama Syamil. Dia menganggap ku seperti teman karibnya. Aku pun begitu juga. Dalam masa yang sama, aku tak sangka aku berkawan dengan dua orang jejaka. Tanpa ku sedari, aku sudah setahun berkawan dengan Syamil. Pada suatu hari, dia menelefonku dan memberitahuku bahawa dia ingin membawa ku keluar pada hari istimewanya.Aku gembira kerana dia dapat menyambut hari istimewanya bersama kawannya. Aku tidak menyangka apa-apa. Harinya pun tiba dan aku gembira dapat membuatnya tersenyum.

Tidak ku sangka, pada hari itu juga Syamil memberiku sebentuk cincin dengan hiasan batu permata. Aku tidak menerimanya kerana aku belum bersedia. Aku membiarkan dia dengan penuh tanda tanya. Dia berasa hairan dan mula bertanya pelbagai soalan. Dia menghantar aku pulang. Kami tidak bercakap sepatah pun. Hari terus berlalu dan dia tetap menelefonku tetapi aku tidak menjawabnya. Pesanan ringkas yang dihantarnya sering dihapuskan olehku. Aku seakan tidak ingin lagi bersamanya. Beberapa hari berlalu, suatu hari aku ternampak dia bersama rakan-rakannya yang lain dan alangkah terkejutnya aku apabila ternampak dia mengambil dadah dan meminum arak. Aku seakan-akan tidak percaya apa yang ku lihat tadi. Aku tidak menyalahkan diriku kerana keadaannya. Mungkin pengaruh kuat dari teman-temannya. Aku kecewa dengan sikapnya itu.Semakin aku menghindari Syamil, tidak ku sangka Razni mendekatiku. Aku sudah melupakan Syamil dan kini tumpuanku hanya pada kerjaya dan keluarga. Aku menceritakan segalanya pada Razni tentang Syamil. Dia bersyukur kerana aku tidak menerima lamarannya. Aku tenang apabila Razni memberiku nasihat. Aku keluar bersama Razni dan dia memberiku kejutan dengan memberiku sebentuk cincin. Betapa gembiranya hatiku saat itu. Aku seperti berada di awang-awangan. Aku tidak memikir sesiapa di sekelilingku. Tiba-tiba terdengar suara yang sangat dalam dan aku terhenti buat seketika. Suara itu membuat ku mencarinya.

"Hentikan!", kata Syamil.Alangkah terperanjatnya aku apabila Syamil muncul di saat aku sedang menerima lamaran Razni. Aku terdiam seribu bahasa. Aku berlari meninggalkan tempat dudukku dan terus keluar. Razni sempat menarik tanganku dan inin ku meluahkan perasaan di hadapan mereka berdua. Aku memberanikan diriku. Aku meluahkan segalanya. Aku terlebih dahulu meminta maaf kepada Syamil kerana menolak lamarannya. Mereka terdiam membisu. Aku menerima lamaran Razni. Tiada ku sangka, butiran permata membasahi pipiku. Syamil telah melangkah pergi dan aku sedikit pun tidak memanggilnya. Aku membiarkan langkahnya menjauhi diriku. Tumpuanku hanya pada Razni.

Sudah lima bulan aku mengahwini Razni dan kami sangat bahagia. Aku seakan tidak mahu mengingati Syamil lagi. Cukuplah sekadar mengenalinya sahaja. Aku sangat gembira apabila mendapat berita dari doktor menyatakan bahawa aku mengandung. Kini, aku bagai ditatang minyak yang penuh. Dipenuhi dan disaluti dengan kasih sayang dari seorang jejaka yang amat ku cintai. Alangkah gembiranya aku apabila terkenang kad perkahwinan ku bersamanya yang tertulis Quratu dan Razni. Impianku kini menjadi kenyataan. Alhamdulillah.


Anis Qurratuaini
Menengah 5 Pearl
Sekolah Menengah Dunearn

Ku Dahagakan Kasihmu ...Ayah

Tabir malam yang berlabuh tanpa hiasan purnama dan bintang-bintang di langit tiba-tiba dipanah pancaran kilat.Angin malam menerobos kasar,menampar-menampar pipiku yang lembut.Daun-daun yang kering disekelilingku membuat aku berasa kesepian tanpa seorang insan yang pernah membelai rambutku,membuatku tidur terlena setiap kali aku mendengar desis nafas yang cuba mengusir kedukaan yang melanda dalam usiaku yang masih lagi memerlukan kasih sayang dari kedua ibu bapaku.Sedangku menikmati ombak ganas yang memukul pantai,tiba-tiba lagu ‘Berserah’ nyanyian Taufik Batisah terngiang-ngiang di cuping telingaku.

“Tuhanku,ku relakan segala
Takkan pernah ku akui kalah
Ku percaya ,ku yakin padanya
Dia yang menentukan semua..
Berserah…”

Lagu itu membuka kotak memoriku untuk mengimbas kembali kenangan lalu bersama ayah.Lagu inilah yang selalu dimainkan ayah apabila dia menghantarku ke sekolah.Setiap kali hidupku dilanda pelbagai masalah yang kadangkala membuatku ingin berserah,ayahlah menjadi tempat aku mengadu dan darinya aku belajar bersikap positif dan terus berazam untuk mencapai impianku ke menara gading.Apabila usiaku menjangkau 15 tahun,ayah terlibat dalam pengedaran dadah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun.Benciku terhadap ayah semakin bersemarak bagaikan unggun api yang disimbahi minyak tanah.Aku tidak menyangka ayah sanggup membuat sesuatu yang dilarang negara apatah lagi ugama.Sejak peristiwa itu,aku memutuskan hubungan sillatulrahim dengannya.Ibu semakin hari semakin berkuah derita bertimpal nestapa.Ibu akhirnya membuat keputusan untuk menceraikan ayah kerana tidak tahan dengan buah mulut orang ramai dan dia tidak tahu kemana lagi hendak menyembunyikan mukanya yang kian dipandang serong oleh jiran-jiran.

Setiap malam apabila lagu itu dilaungkan di radio,air mataku membasahi pipi sebagaimana air hujan yang sedang membasahi bumi.Aku mula melibatkan diriku dalam kegiatan tidak berfaedah seperti merokok dan aku menganggotai kumpulan samseng.Dengan berbuat demikian ,aku puas kerana tidak mahu berdepan dengan kenyataan yang sangat menyeksakan setiap penjuru hatiku.Hubungan aku dan ibuku mula renggang kerana untuk mengubati luka dihatinya,ibu bekerja sepanjang masa.Rumah merupakan tempat yang meninggalkan seribu memorinya bersama ayah.Ibu tidak sanggup memandang potret perkahwinannya sendiri.Tetapi kini,istana yang dibina itu sudah tidak lagi mampu bertahan.Masa berlalu bagaikan awan yang bergerak di siang hari.Kini aku sudahpun berusia 20 tahun dan ayah telah dibebaskan dari pejara.Kehadirannya tidakku hiraukan kerana sepanjang lima tahun tidak bersamanya,hatiku sudah bertekad,tidak lagi akan memaafkannya.Sudah beberapa kali ayah menasihatiku supaya berubah sikapku yang dibenci orang namun aku masih berkeras hati.Akibat itu hidupku menjadi tidak tentu arah dan aku tercicir dari maktab rendah.

Pada suatu malam,ayah datang menziarahi aku dan ibu bertujuan ingin memohon maaf atas segala kesalahannya terhadap kami.Ibu dengan hati terbuka memaafkannya tetapi aku tetap dengan keangkuhanku.Ibu berkata’’Sedangkan Nabi memaafkan umatnya,kenapa tidak engkau??’’ Aku hanya terduduk diam sementara ayah menangis dihadapanku,memohon maaf.Dia memberitahuku bahawa selagi aku tidak dapat memaafkannya,selagi itulah hatinya terasa berat untuk menunaikan fardhu haji dengan sempurna.Dengan hati hampa,ayah melangkah keluar dari rumah.

Setelah seminggu berlalu,aku berasa kesal akan sikapku yang tidak mengenang budi terhadap ayah.Aku membuat keputusan untuk bertanya alamat rumah ayah dari ibu.Apabila aku masuk ke bilik ibu,terdengar suara tangisan ibu.Kalau kutahu maut ada di setiap penjuru dan waktu,akan kudamping ayah setiap saat.’’Ayah kau Rina…Ayah kau telah menyahut seruhan illahi ketika menunaikan fardhu haji petang tadi…’’ Tanpa aku sedari,air mata jatu berderai menjadi ribuan serpihan permata di ribaku.Dengan perlahan-lahan,aku mengesat air jernih yang semakin deras mengalir di pipiku yang merah gebu.Jenazah ayah pun selamat dikebumikan di pusara aman di Singapura kesokkan hari.Setelah ayah dikebumikan,aku pergi ke rumahnya untuk berkemas.Sedang aku mengemas beg pakaiannya,aku terjumpa sepucuk surat khas untukku.Aku mengoyakkan mulut sampul surat kirimannya lalu membaca kandungannya:

Asrina,puteriku tersayang,

Dalam kesyahduan malam,kuutuskan surat ini buatmu.Maafkan ayah kerana telah membuatmu sedih atau marah sepanjang Rina bersama ayah.Rinalah yang sering ayah rindui walau sehari tidak bertemu.Rinalah sebab ayah selalu tersenyum.Ketika Rina menerima surat ini,mungkin ayah sudah tiada lagi di dunia ini buat selama-lamanya.Andainya Ayah pergi,janganlah bersedih kerana ayah sentiasa berada disisimu.Cuma satu permintaan ayah,Ilmu itu kunci bagi mendapatkan kehidupan yang cerah.Ayah mahu Rina menyambung sekolah dan kali ini,bekerjalah dengan lebih keras lagi supaya Rina dapat meraih kerjaya yang Rina idamkan selama ini..Masih terang lagi di ingatan ayah perjanjian yang Rina ingin menunaikan sejak kecil.Iaitu Rina ingin menjadi seorang doktor yang pertama untuk menghasilkan ubat bagi mangsa HIV supaya mereka dapat sembuh..Janganlah berputus asa sayang.

Akhir sekali,iringilah pemergian ayah dengan doa restu.Janganlah kau lupakan ayah sehingga ke akhir hayatmu.Jagalah ibumu dengan baik.Cinta ayah pada kamu berdua bagaikan laut yang terbentang luas.

Yang Sentiasa menyayangimu

Ayah

“Ayah,akan ku tunaikan permintaan akhirmu.Rina redha dengan pemergian ayah.” Aku berkata sendirian. Mulai hari itu, aku berazam akan belajar bersungguh-sungguh. Aku menyesal kerana tidak mendengar dan mengikut nasihat ayah dahulu.Tetapi apa hendak disesalkan, nasi telah menjadi bubur.


Danyya Ateera Bte Abdul Rahman
5 Pearl
Sekolah Menengah Dunearn

Bicara Manis Menghiris Kalbu

Keheningan malam bersalutkan biji-biji mutiara yang berkilauan di langit membuat hatiku bagai digalas kesunyian yang memuncak. Aku kagum meliht bintang-bintang yang memancarkan cahaya purnamanya untuk menerangi dunia ini. Pohon nyiur yang ditiupi angin yang lembut seperti melambai-lambai padaku. Aku menyusuri gigi pantai untuk mendapatkan ketenangan. Aku duduk bersendirian di bawah pokok yang dingin. Kedengaran samar-samar lagu,”Bicara Manis Menghiris Kalbu” nyanyian Siti Nurhaliza berkumandang di kuping telingaku ini.

“Tiap bicara manis
Bagaikan selumbak bisa
Kau tanam di jiwa
Tak terlihat oleh
Pandangan matamu…”

Dengan kedengaran lagu yang merdu itu, aku terus dibuai lamunan panjang tentang kisah cintaku ini yang berlaku beberapa tahun yang lalu.

Hari itu merupakan hari pertamaku di Universiti Kebangsaan Singapura. Aku berasa sangat beruntung kerana telah diterima masuk Universiti itu. Aku dipisahkan dengan kawan-kawanku kerana mereka telah menyambung pelajaran mereka di universiti luar negeri. Kebesaran kampus itu telah membuat diriku berasa sunyi. Tiada sesiapa pun di sana yang aku kenali. Aku berjalan keseorangan keliling kampus mencari kelas yang patut aku hadiri. Sedang aku mencari kelas itu, aku terlangggar seorang lelaki yang sedang berjalan menuju ke arahku.

“Maaf, maaf, saya tidak sengaja,” kataku dengan bimbang. Kami bertentangan mata. Rupanya yang kacak lagi tampan itu menjadi tumpuan mata nakalku. Bibir merahnya yang mengukir senyuman manis sedap dipandang mata. Rambutnya yang berwarna kecoklatan itu membuat diriku ini terpikat padanya.

“Tidak mengapa. Saudari tidak cedera kan? Nama saya Imran, saudari?” katanya sambil menghulurkan tangannya.

“Saya tidak apa-apa. Saya Sasha,” jawabku dengan tersipu-sipu sambil menjabat tangannya.

Sejak pertemuan itu, bunga-bunga cinta antara aku dan Imran mula berputik. Semakin hari, semakin rapat perhubungan kami. Kasih sayang antara kami semakin bertambah setiap hari. Walaupun Imran tidak memberi hadiah atau bunga yang mahal-mahal untuk menunjukkan kasih sayangnya seperti lelaki lain, padaku, cintanya lebih berharga dari apa-apa harta pun. Waktu sangat pantas berlalu. Kami sudah pun mendapat ijazah kami. Kami berdua sangat bangga dengan pencapaian kami.

Kejam-celik, kejam-celik, sudah empat tahun Imran dan aku menjalinkan hubugan kami. Kami diibaratkan isi dan kuku. Pada suatu petang, Imran dan aku telah berjanji untuk ketemu. Kami berbual-bual di bawah pohon di taman bunga itu. Kami sangat riang bersama. Tiba-tiba, Imran kelihatan serius. Aku mula risau.

“Imran, mengapa muram sahaja? Apa kesalahan telah aku lakukan?” tanyaku padanya dengan bimbang.

“Bukan begitu, cuma, kita sudah lama menjalinkan hubungan bersama. Inginku memasuk minang dan melamar kamu, Sasha,” jawabnya dengan kelihatan tersenyum.

Senyuman lebar terukir di bibirku ini. Aku sangat gembira apabila terdengar berita itu. Imran mendakap tubuhku ini lalu berkata, “ Cintaku tetap bersamamu hingga ke akhir hayat, walau apa pun terjadi.”

Pada hari memasuk minang itu, semua ahli keluargaku bergotong-royong untuk membuat persiapan. Ibuku membuat kuih sebagai jamuan. Abang dan ayahku pula mengemas rumah. Aku yang berpakaian baju kurung pula menolong ibu di dapur dengan hati yang gementar.

“Ding! Dong!” bunyi loceng pintu rumahku. Abangku membuka pintu rumah yang berkunci itu dan menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Ramai ahli keluarga Imran yang hadir. Hantaran berdulang-dulang diangkat oleh mereka. Aku pun keluar dari dapur untuk menghidang kuih-muih yang telah disiapkan. Apabila ayahku keluar dari biliknya, ibu imran menyuruh semua ahli keluarganya keluar dari rumahku dan beredar dari tempat itu dengan segera. “Bam!” pintu dihempas. Aku terkejut. Berbagai persoalan yang melayang-layang di fikiranku ini.

“Abah, mengapa begini? Mengapa? Jawablah! Abah!” tanyaku kepadanya dengan nada yang tinggi. Aku mula binggung, air mata mula menitis dari mataku ini. Ayahku cuma membisukan diri, tanpa berkata-kata.

Sudah dua hari berlalu. Imran dan aku masih tidak tahu mengapa kejadian itu berlaku. Kedua-dua ibubapa kami cuma memberi amaran untuk tidak ketemu satu sama lain lagi. Pada suatu petang, kami ketemu. Kami tidak sanggup untuk berpisah. Kami saling sayang-menyayangi.

“Im, aku tidak mahu berpisah denganmu. Aku sangat sayang padamu,” kataku padanya yang kelihatan binggung.

“Entahlah. Aku pun begitu juga juga. Aku tidak sanggup hidup tanpamu. Adakah sanggup kamu berbuat apa pun untuk hidaup bersamaku?” tanyanya dengan nada yang serius.

Aku mengangguk lalu mendakapnya. Air matanya mengalir pipiku. Tiba-tiba Imran mencadang untuk kahwin lari di Thailand pada malam itu. Kami tahu bahawa cara itu tidak bagus, kami sanggup kerana cinta. Pada malam itu, kami ketemu. Tiada sesiapa pun tahu rencana kami selain abangku, yang akan menolong kami jika perlu. Aku terpaksa keluar rumah dengan senyap-senyap kerana ibubapaku tidak suka aku keluar malam. Imran memulakan enjin kereta dan memulakan perjalanan ke Thailand.

Dalam perjalanan, Imran pun berkata sambil mengukirkan senyuman yang indah, “ Aku akan tetap menyayangimu walaupun apa pun terjadi, Sasha.” Aku tersenyum sipu-sipu.

“Imran! Imran! Lori!” teriakku apabila ternampak sebuah lori yang besar di hadapan menuju ke arah kami. Imran cuba untuk mengawal kereta itu tetapi gagal. “Bam!” bunyi dentuman kereta kami apabila terlanggar lori itu. Kereta kami tercampak ke tepi. Imran yang berlumuran darah itu dihempap kereta. Kepala aku dihentak kereta dan cedera parah.

Kami dikejarkan ke bilik kecemasan secepat mungkin apabila tiba di hospital. Kami tidak sadarkan diri. Dalam beberapa jam, aku mula sadarkan diri. Aku panik. Aku terus bangkit dari katil dan berjalan terhenjut-henjut untuk mencari Imran walaupun tanganku patah dan kakiku cedera parah. Setelah lama mencari wad Imran, akhirnya jumpa juga wad kekasihku itu.

Tiba-tiba, kedengaran suara seorang lelaki berkata, “Anakkku, kamu akan sembuh. Jangan risau, ayah di sini. Sashan selamat di bilik sebelah itu.”

Aku mula panik. Imran tidak mempunyai ayah. Ayahnya sudah meninggal dunia semasa beliau kecil lagi. Berbagai perkara yang melayang-layang di fikiranku. Alangkah terperanjatnya aku apabila ternampak bapaku memeluk tubuh Imran yang lemah itu. “Abah!” aku memekik. Hatiku bagai dicencang. Tiada kata lagi yang boleh aku lafazkan lagi dari mulutku yang berat ini. Burtiran kaca mengalir dari mataku. Bagaikan ditikam keris yang tajam rasanya.

“Sasha, abah hendak mintak maaf. Sebenarnya Imran abang tiri kau, nak. Dia anak abah!” kata ayahku dengan berasa kesal.

Aku tidak sangka bahawa rupa-rupanya anak mantan isteri bapaku adalah Imran. Betapa remuknya hati ini. Aku tidak sangka bahawa aku bercinta dengan abang tiriku sendiri! Imran cuba untuk berkata tetapi gagal kerena terlalu lemah lalu menutup mata dan merebahkan dirinya ke katil itu.

“Imran!” teriakku. Ayahku mula panik. Dia terus memanggil doktor untuk memeriksanya. Aku berdiri di tepi pintu dengan perasaan hampa. “ Maaf, dia sudah tiada. Harap bertenang,” kata doctor itu. Ayahku rebah ke kerusi. Ibu Imran terus berlari ke dalam wad. Aku bagaikan jatuh ditimpa tangga. Aku menangis tidak terhenti. Rasa sebak di dada ini. Tidakku sangka perkara ini akan berlaku padaku.

Tiba-tiba, dentuman guruh menyambar ingatanku kembali ke alam realiti. Malam terus semakin gelap. Nama Imran sering bermain-main di ingatanku. Walaupun aku tahu bahawa dia abang tiriku, cintaku padanya tidak akan pudar. Hingga kini, tiada sesiapa pun yang dapat mengambill alih tempatnya. Sedang aku berjalan untuk meninggalkan tempat itu, aku membaca sepucuk warkah yang ditulis oleh abang Imran sebelum beliau meninggalkan alam maya ini.

Kepada Adindaku, Sasha,

Ketika kamu membaca surat ini, kamu mungkin sudah tahu perkara yang sebenarnya. Abang tidak boleh hidup lama, cuma ingin memberitahu adikku ini bahawa walaupun kita tidak dapat hidup bersama, namun, aku akan tetap bersamamu. Jangan salahkan ayah dan ibu, mereka mungkin mepunyai alasan untuk berbuat demikian. Ingat kata-kata akhirku, “ aku akan tetap menyayangimu.” Doalanlah untukku selalu. Walaupun susah untuk kita terima hakikat yang kami adik-beradik, ia sudah takdir. Tetapi, ingatlah, cinta kami akan tetap bersama selalu….
Abangmu yang tetap menyayangimu selalu, Imran

Nathasha Ramdan
Menengah 4 Topaz
Sekolah Menengah Dunearn

Pemergianmu Kutangisi

Pemergianmu Kutangisi

Keadaan di sana sungguh riuh rendah. Dalam beberapa minit lagi, muncul tahun baru dan tahun 2007 akan menjadi sejarah. Aku ingin menikmati sambutan tahun baru ini di Zouk. Suasana di sana sungguh menghairahkan, riuh dengan sorakan gembira. Apatah lagi, aku, Farah dan Alif berpeluang menyertai pesta besar-besar untuk menyambut kedatangan 2008.

“ 5-4-3-2-1 Selamat Tahun Baru! ” hatiku melonjak riang.

“Malam ini kita akan berseronok puas-puas!!” Farah berkata kepadaku.

Waktu memacu laju, aku berasa seronok. Ternyata, aku lebih gembira menghabiskan masa bersama Alif dan Farah daripada keluargaku. Mereka kawan sejatiku. Mereka sanggup berhujan dan panas untukku. Merekalah tempat aku meluahkan segala isi-isi yang terpendam di hatiku. Tujuan aku ke Zouk ialah untuk melepaskan tekanan. Fikiranku berserabut. Sampai bilakah harus aku bersikap begini? Apabila aku ternampak ibu, pakcik Johan dan Anita bergembira dan bermesra, hatiku terasa seolah-olah dirobek-robek oleh pisau yang tajam.

Aku pernah memiliki sebuah mahligai yang bahagia suatu ketika dahulu. Ayah dan ibu disamping ku. Mereka sangat menyayangiku seperti mentatang minyak yang penuh. Terutama sekali, Ibu. Dialah segala-gala buatku. Malangnya, kebahagiqan itu tidak kekal buat selamanya. Mereka berpisah. Ayahku mempunyai seorang lagi wanita di dalam hidupnya. Aku mula membenci ayah. Api berang mula menular di hatiku setiap kali ibu menyebut perkataan ayah di hadapan ku. Namun, ibu hanya bersabar dan redha dengan dugaan ini.

“Mama kan ada, mama masih sayangkan puteri. Puteri adalah segala-galanya buat mama….” Ibu berkata, sambil mendakap dan mencium dahiku.

Kepercayaanku terhadap ibu hilang sekelip mata apabila dia bernikah dengan seorang duda; Pakcik Johan.

“Mama pembohong!! Puteri benci mama! Mama tak sayang puteri lagi kah?!” keseimbangan emosi mula tergugat.

Ibu tidak menyayangi aku kerana dia sudah mempunyai Johan dan Anita, adik tiriku. Daun pintu kuhempas kuat, menunjukkan tanda protesku. Aku jarang pulang ke rumah. Aku terjerumus ke dalam kancah yang tidak senonoh akibat diabaikan oleh ibu dan ayah. Kebencian aku terhadap mereka semakin membara.

“Puteri, kenapa ni?” ibu bertanya, dengan perlahan.

“Takda apalah!! Mama jangan sibuk lah. Puteri punya suka nak pulang ke tidak. Mama peduli apa?!” aku melepaskan kata-kata yang terisi di hatiku.

Tangan ibu melayang ke pipiku. Aku terasa sakit. Dengan perasaan geram, kku meninggalkan rumah yang bagaikan neraka itu buat selamanya.

Aku segera beralih ke alam nyata. Farah dan Alif sedang berdakapan mesra. Aku pergi ke bar, meminta minuman arak. Hatiku diselubungi kebencian yang meluap-luap, darah panasku kembali memuncak. Aku tidak dapat mengawal diriku. Aku meminum sepuas-puasnya mengharapkan semua masalah-masalah kusut itu terhapus daripada fikiranku. Aku merokok. Aku beredar di tempat itu dan berjoget di lantai menari. Kakiku terhuyung-hayang mengikut irama hip-hop dan R & B dari tempo dan dentuman speaker sebesar peti ais. Aku berfoya-foya dengan jejaka-jejaka di sana. Aku berasa seronok seperti orang kehilangan agama dan budaya. Beberapa jam berlalu, badanku tak berdaya dan kepalaku berpusing seperti gasing. Aku duduk, berehat.

Tiba-tiba, aku mendapat panggilan yang tidak ku jangka daripada Anita. Aku sengaja memekakkan kuping telingaku. Aku masih degil untuk menjawab panggilannya.

“Kau mahu apalah? Telefon aku malam-malam buta ini?!” aku meninggikan suaraku.

“Kak Puteri, tolong kak, mama sedang sakit… keadaannya semakin tenat, kak. Mama mahu jumpa kakak.. dia merindui kakak….” Anita berkata dengan tersedu-sedan.

“Eh Anita! Kau bilang mama, aku tak kisah! Kan mama sayang kau lebih daripada aku! Buat apa aku nak ke sana… buat sakit mata dan hati sahaja!!” hatiku tetap keras seperti batu. Aku mematikan telefon bimbit itu.

“Puteri, janganlah emosi sangat. Dia kan ibu kau. Tak baik kau memperlakukan ibu kau macam begitu. Dia sedang sakit. Mungkin dia rindu dan ingin berbaik semula dengan kau. Kasihanlah dia,” Farah berkata.

Aku termakan dengan kata-kata Farah. Kami berarak dari Zouk untuk mengunjungi ibuku di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura. Mungkin Farah benar, ibu ingin memujukku semula. Aku membeli sekuntum mawar merah dan sebuah mesej; “Aku sayang padamu.”

Aku tersenyum sipu melihat mawar merah itu dan tidak sabar untuk menyampaikannya kepada ibu. Farah dan Alif menunggu di luar.

Tibanya di bilik pesakit, keadaan di sana sungguh resah. Ramai sungguh orang yang melawat ibu. Mataku terpandang ke arah Papa, pakcik Johan dan Anita. Mereka sedang bersedih, bertangisan. Kenapa ini? Aku keliru. Aku mendekati mereka. Di sebelahnya, terdapat sebuah mayat ditutup dengan sehelai kain putih. Tanpa arah tuju, aku menyelak kain putih itu; TIDAK!! Mawar merah yang ku pegang jatuh kelantai.

“Tidak!!! Mama!! Tidak!! Maafkan Puteri, Mama!! Maafkan Puteri!! Jangan Tinggalkan PuteriI!!” Aku meraung sekuat-kuat hatiku. Air mata membanjiri kelopak mataku.

Anita, disebelahku, cuba mengawalku. Ibu sudah pergi meninggalkanku. Aku sebak. Tubuhku berasa lemah. Aku tidak dapat menerima pemergian ibu. Hasratku tidak kesampaian. Aku tidak dapat melafazkan; “Mama, puteri minta maaf, puteri sayang mama.” Aku kesal dengan perbuatanku kerana meninggikan suara dan menengking ibu.ku Aku anak derhaka! Aku jijik melihat sikapku! Seandainya aku tahu, aku tidak akan melukakan hati ibu. Malah, aku akan lebih menyayanginya seperti mana dia telah menyayangiku. Segugus nafas berat dileraikan dari dada, air mata masih bercucuran di pipiku.

Anak jenis apa aku ini? Di manakah aku apabila ibu sedang sakit?! Perasaan kesal menguasai diriku. Namun, semuanya sudah terlambat, ibu tidak akan kembali di sisiku. Aku mencium ibu di dahinya. Wajahnya pucat dan nampak tenang, setenang air di kuala. Aku mengikut papa untuk upacara pengebumian ibu di Pusara Abadi. Aku juga ditemani Farah dan Alif. Aku tidak dapat mengawal emosiku. Setiap kali aku memikiran tentang kejadian itu, air mataku mengalir tanpa kusedari. Selepas upacara pengebumian itu, aku masih tercegat di kubur ibu. Aku menangis tanpa henti, memegang batu nisan yang tercacak di kuburnya.

Rumah kelihatan sunyi dan sepi. Anita memasuki kamarku dan memberikan sebuah kotak. Aku tertanya-tanya.

“Kak, sebelum mama pergi, dia menyuruh Nita untuk berikan ini kepada kakak” dia berkata, perlahan-lahan, “ kalau kak bermasalah, Nita akan sedia bersama kakak..”

Seribu persoalan berada di fikiranku. Apakah yang ada di dalam kotak ini?

Samudera yang luas terbentang itu berkilauan disinari cahaya sang matahari yang sedang membenam di garisan horizon. Awan yang hitam mula berarak di dada langit. Angin senja menghembuskan udara yang semakin dingin, seolah-olah berirama melodi syahdu. Ombak yang ganas memukul-mukul di tepian pantai. Aku bersandar di tepi pohon nyiur yang tinggi. Aku membuka kotak tersebut. Ternyata, ibu masih menyimpan semua gambar-gambar bayiku, bersama ibu dan ayah sedang berdakapan mesra. Ibu kelihatan bahagia bersama aku dan ayah. Aku terlihat sepucuk surat; untuk puteriku yang tersayang.

Anakku, Puteri Maisarah,

Kuutuskan surat ini buatmu. Maafkan mama jikalau mama telah membuat puteri sedih atau marah sepanjang hayat ini. Mama ingin yang terbaik untuk puteri. Mama sayangkan puteri. Puteri adalah satu-satunya anak mama. Mama tahu, puteri masih sayangkan mama. Ketika puteri menerima surat ini, mama sudah tiada lagi di dunia ini buat selama-lamanya. Mama menghidapi kanser di tahap yang terakhir. Tiada perubatan yang dapat menyembuhkan mama. Menurut doktor, mama hanya ada lima bulan untuk menikmati dunia ini. Mama redha dengan dugaan ini. Seandainya mama pergi. Berjanjilah, jangan tangisi pemergian mama buat selama-lamanya. Relakan mama pergi. Berjanjilah, bahawa puteri tidak akan sia-siakan masa depan puteri. Mama telah memaafkan segera perbuatan puteri. Mama akan tetap menyayangimu dengan penuh kasih sayang seperti lautan kasih yang tiada bertepian.

Selamat tinggal, puteriku.
Yang sentiasa menyayangimu

Mama

Titik jernih membasahi pipiku dengan deras. Aku merintih keseorangan. Aku mencium surat ibu. Aku tidak akan lupa segala jasa-jasa ibu terhadap diriku. Ibu, kaulah ratu hatiku. Seandainya aku tahu, aku akan berada di samping ibu hingga ibu menghembuskan nafasmu yang terakhir.

Namun, aku tidak boleh merubah takdir. Tuhan lebih menyayangi ibu. Walaupun aku menangis air mata darah pun, ibu tidak akan kembali. Aku redha dengan pemergian ibuku. Akan kupanjatkan doa buat ibu agar ibu ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Aku berjanji bahawa aku tidak akan mensia-siakan masa depanku. Tahun baru yang penuh dengan pancaroba. Hidupku menjadi gelap. Peristiwa yang pahit itu tidak boleh dilupakan. Aku pasrah.


Nur Aqilah Yusoff
Menengah 5 Ruby
Sekolah Menengah Dunearn