Tuesday, December 16, 2008

Iskandar Zulkarnain… Namamu Terukir Di Hatiku

Setiap kali mendengar nama Iskandar Zulkarnain dadaku menjadi sebak dan air mataku mengalir deras bagaikan empangan yang pecah. Terbukalah lembaran memori yang bertinta di hati. Kotak fikiranku melayang kepada seorang insan yang banyak berkorban demi masa depanku. Aku mengenalinya semasa menuntut di maktab rendah. Ketika itu, aku cuma tahu erti keseronokan sahaja. Boleh dikatakan aku merupakan murid yang degil, pemalas dan biadap terhadap guru-guru sehinggakan namaku sentiasa menjadi buah bicara di sekolahku. Ibu bapaku pula tidak menghiraukan langsung tentang diriku. Makan minumku pun mereka tidak pedulikan. Segalanya berubah dengan kehadiran Cikgu Zulkarnain, nama yang tak mungkin luput dari ingatanku.

Pagi itu suasana di kelasku hingar-bingar dengan gelak ketawa murid-murid .Tiba-tiba suara jeritan "DIAM!!!" mematikan keriuhan suasana. Murid-murid tersentak lalu bergegas ke tempat duduk masing-masing. Seorang lelaki yang tampan dan segak tercegat berdiri di depan pintu kelas. Guru itu memandang tepat ke arah kami lalu berjalan ke arah papan hitam lalu menulis nama "Z-U-L-K-A-R-N-A-I-N.

"Nama saya Cikgu Zulkarnain tetapi kamu semua boleh memanggil saya Cikgu Zul. Mulai sekarang, saya akan mengajar kamu mata pelajaran Ilmu Hisab," katanya dengan penuh iltizam.

"Perasan, Cikgu Zul konon…menyampah aku," bisik hati kecilku.

"Roslinda, awak duduk di tempat Andy. Dan awak Andy ambil tempat Roslinda!" Cikgu Zul mengarahkan pertukaran tempat duduk.

Walaupun aku kurang senang dengan pertukaran itu, aku terpaksa akur dengan perintahnya. Kini, sudah seminggu Cikgu Zul mengajar kami. Aku terasa bagaikan bernafas di dalam lumpur. Setiap kali aku mendengar syarahan yang berikan oleh Cikgu Zul, warna kebosanan terpalit di wajahku.

"Kring..Kring!!! loceng sekolah berbunyi menandakan bahawa kelas Cikgu Zul telah tamat. Hatiku melonjak keriangan. Tetapi kegembiraanku ternyata hanya seketika kerana…

"Roslinda, selepas sekolah tamat sila jumpa saya di sini," teriak Cikgu Zul.

"Mengapa Cikgu? Apa salah saya? "tanyaku dengan muka selamba.

"Saya perlu berbincang dengan awak mengenai sikap awak yang tidak menyenangkan hati saya," jawab Cikgu Zul.

"Cikgu, kalau begitu tak payahlah nak jumpa saya, buang masa sahaja," jawab Roslinda sambil menjeling tajam ke arah Cikgu Zul.

"Roslinda, kalau awak gagal menurut arahan saya awak akan dikenakan tindakan disiplin."

"Boleh jalah dah! “jeritku dalam hati lalu beredar pergi.

"Apa dah jadi Ros? "tanya temanku kehairanan.

Aku cuma melontarkan jelingan yang tajam ke arah kawanku. Oleh sebab aku terlalu mengikut perasaan aku tidak pergi berjumpa Cikgu Zul sebagaimana yang diarahkan. Kukira dia akan melupakan perkara itu seperti guru-guru yang lain tetapi rupa-rupanya tidak. Tanpa kuduga Cikgu Zul berkunjung ke rumahku untuk mendapatkan jawapan. Kemunculan Cikgu Zul di rumahku membuat aku tergamam seketika. Pada saat itu mulutku bagaikan terkunci.

"Cik..Cikgu apa Cikgu buat di rumah saya?"

"Awak tak suka kalau saya datang?" dia menjawab.

"Bukan begitu cikgu tapi…tapi!!...”

"Sudahlah tu Roslinda, saya datang ke mari bukan kerana hendak menghukum awak tetapi sekadar untuk menghantar tugasan yang belum kamu selesaikan."

Semenjak hari itu hubungan aku dan guruku semakin akrab. Bukan itu sahaja, prestasi pelajaranku semakin meningkat dan buat pertama kalinya aku lulus dalam semua mata pelajaran. Perhubungan kami menjadi akrab sehinggakan ramai murid-murid dan guru-guru tertanya-tanya tentang kami. Tetapi kami tidak mempedulikannya kerana perhubungan kami hanyalah perhubungan antara pelajar dan guru, tidak lebih dari itu.

Suatu hari sedang aku bersendirian di pantai aku menemui seseorang yang amat aku kenali iaitu Cikgu Zul. Tetapi, mengapakah dia terpekik-pekik seorang diri di tepi pantai. Dia seperti seorang yang sudah hilang akal. Aku mendekatinya seraya menyapanya. Dia terkejut melihatku di situ dan segera memalingkan wajahnya sambil mengesat air matanya.

"Roslinda, apa yang kamu buat di sini ?"

"Saja mengambil angin. Cikgu pula bagaimana?"

Cikgu Zul terdiam seketika sambil merenung tepat ke arah wajahku. Matanya kelihatan merah seolah-olah baru lepas menangis. Akhirnya, dia menceritakan masalahnya kepadaku. Tidak kuduga guru yang kusanjung selama ini menghidapi penyakit leukimia. Aku turut menitiskan air mata mendengarkan penderitaannya. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Lidahku kelu apabika guruku memberitahuku bahawa dia hanya mempunyai beberapa bulan sahaja untuk hidup. Cikgu merenungku tanpa berkelip. Di sudut matanya dapat kulihat betapa besarnya harapan cikgu terhadap diriku. Sungguh payah untuk dimengertikan renungannya yang tajam. Aku merenung wajahnya. Sukar bagiku untuk menggambarkan perasaanku ketika itu. Walaupun Cikgu Zul mempunyai penyakit yang kronik dia tetap tabah menghadapi penyakitnya.

Sejak akhir-akhir ini, Cikgu Zul jarang datang ke sekolah. Ketiadaannya mencetuskan kebimbangan di hatiku. Ketika aku menziarahinya di hospital. Naluriku tersentuh melihat keadaan guruku yang menyayat hati.

"Cikgu, Ros ingin minta maaf atas semua kesalahan Ros yang lalu. Terima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar cikgu selama ini. Tanpa cikgu, Ros tidak akan berjaya menjejakkan kaki ke menara gading," kataku dengan suara tersekat-sekat. Mendengarkan kata-kataku, butir-butir mutiara gugur di pipinya.

Tiba-tiba dia berkata, "Roslinda kamu adalah seorang murid yang baik. Cikgu percaya suatu hari nanti kau akan berjaya dan menjadi orang yang disanjungi masyarakat."

Sejurus kemudian Cikgu Zulkarnain pergi menyahut seruan Illahi. Hatiku merintih kesedihan. Insan yang aku sayangi telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya. Aku terkilan kerana tidak sempat meluahkan perasaanku. Dengan pandangan berbalam, aku memanjatkan doa dan menitipkan Al-Fateha buat Cikgu Zulkarnain. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di syurga yang abadi.

Farah Bte Ani
Menengah 4N4
Sekolah Menengah Dunearn