Thursday, December 31, 2009

Neraka Dunia

Setiap kali aku bersendirian, aku akan terkenangkan peristiwa yang tidak boleh aku lupakan hingga ke hari ini. Segala-galanya masih berlegar-legar dalam kotak fikiranku bagaikan sebuah ingatan yang tidak akan larut. Peristiwa itu terjadi tujuh tahun yang lalu pada 1 haribulan Januari. Pada hari itu, aku menyambut kedatangan tahun baru di sebuah kelab malam di Clarke Quay. Selepas tahun baru menjelma, aku pun pulang ke rumah. Sedang dalam perjalanan ke stesen bas, aku terlihat sekumpulan warga emas berbangsa Cina yang memakai barang kemas. Aku bercadang untuk merompak salah seorang daripada mereka kerana aku memerlukan wang untuk membeli arak dan rokok kerana aku ketagihan dua benda najis ini. Tanpa berlengah, aku pun mendekati mereka.
Apabila sudah dekat, aku pun mengacukan pisau lipatku yang disimpan di dalam kocekku ke arah salah seorang daripada mereka. Kesemua warga emas tersebut berasa terperanjat lalu aku bertindak. Aku menarik dua utas rantai daripada salah seorang daripada warga emas itu dan terus memecut lari. Secara kebetulan, dua pegawai polis yang sedang membuat rondaan ternampak kejadian itu. Mereka pun mengejarku.
Degupan jantungku bertambah kencang melihat kusedari aku dikejar pegawai polis. Aku terus berlari dengan laju. Setelah beberapa minit berlari, seorang pegawai polis itu dapat menjatuhkanku. Aku cuba melarikan diri tetapi sebelum sempat aku bertindak, tanganku sudahpun digari. Aku pun dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Aku mengaku bersalah dan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 7 tahun dan dua kali sebatan oleh kerana mencuri menggunakan senjata dan atas beberapa rekod jenayah yang lain.
Aku tertunduk malu. Lidahku kelu untuk berkata apa-apa apabila aku berhadapan dengan ibu bapaku sewaktu berjalan keluar daripada mahkamah. Satu-satunya anak mereka telah membawa malu kepada keluarga dan telah menjatuhkan maruah mereka. Kesal melanda hatiku ini. Segugus nafas berat dileraikan dari dada. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaanku pada saat itu. Rasa kesedihan dan penyesalan menyelubungi jiwaku apabila melihat kelopak mata ibu tergenang oleh air mata. Air mataku tiada tertahan lagi. Aku tahu hatinya ditoreh-toreh dengan pisau di atas perbuatanku ini.
Aku dibawa ke Penjara Changi untuk menjalani hukuman. Apabila aku menjejakkan kaki ke dalam penjara tersebut, aku rasa bagaikan dipisahkan daripada dunia asal. Akibat tersilap langkah, aku dipenjarakan. Masa depanku punah dengan sekelip mata. Rindu, resah, dendam dan sayang menggeledah di sudut hatiku. Aku tidak dapat lagi melihat dunia luar. Penjara ini bagaikan neraka dunia di mana semua pesalah-pesalah dikumpulkan untuk menjalani hukuman. Aku pun menggantikan pakaianku dengan memakai pakaian yang diberikan pihak penjara. Semua banduan berpakaian serupa malah rambutku juga dibotakkan seperti banduan-banduan yang lain. Mahkota kemegahanku kini sudah tiada. Keadaan di dalam penjara sangat daif dan amat menggerunkan. Apabila hendak bercakap kepada pegawai penjara, semua banduan harus menyangkung di hadapan mereka. Aku rasa seperti seekor anjing. Segala arahan harus aku dengar dengan teliti dan segala pekerjaan yang harus aku lakukan harus dibuat dengan segera.
Setelah beberapa hari, aku harus menjalani hukuman sebatan. Aku berasa amat takut sekali. Ketakutan itu bagai halilintar memamah dan membakar seluruh hatiku. Aku tidak pernah merasa perasaan ketakutan yang sebegini seumur hidupku. Sebatan pertama sungguh memedihkan. Yang kedua, lebih memedihkan. Aku menangis dengan semahu-mahunya selepas selesai sebatan dikenakan ke atas tubuhku yang tidak bermaya. Aku mengenangkan perbuatan yang aku lakukan. Aku merasakan bahawa ia tidak berbaloi. Sebatan ini telah membuatku insaf.
Berada di dalam penjara ini tak ubah seperti burung yang berada di dalam sangkar kerana kebebasanku tersekat dan bukan seperti burung merpati. Pada suatu malam, aku bermimpi kedua-dua tanganku kudung dan dunia ini tidak berpenghuni kecuali diriku. Pada mulanya, ia gelap gelita. Lama-kelamaan, ia semakin terang dan semakin panas. Aku merasakan bahawa aku sedang dibakar dengan api yang semakin marak.
Tiba-tiba, aku dikejutkan dari tidurku itu dengan dentuman guruh yang amat kuat sekali. Aku tersentak oleh pancaran kilat yang tiba-tiba menerangi bilik yang gelap-gelita dengan cahaya kalimantang yang terang-benderang lalu disusuli oleh guruh yang amat kuat. Aku beristighfar. Tanpa disangka-sangka kalimah-kalimah suci yang selama ini telah kulupakan kulafazkan dari bibirku yang birat. Jantungku bagaikan terhenti berdenyut. Badanku menyimbah keringat dan peluh sejuk. Bulu romaku meremang tegak. Tengkukku terasa seram dingin. Aku menadah tangan ke hadrat Ilahi dan memanjatkan keampunan dan kemaafan di atas segala kekhilafanku yang membelakangkan perintah agama.
Hari Raya Aidilfitri yang pertama kusambut di balik temboka penjara yang usang. Suasananya tidak seperti sambutan Hari Raya di rumah. Tiada laungan takbir yang bergema dan tiada sesiapa yang menziarahiku termasuk ayahnada dan bonda. Selalunya, pada Hari Raya sajalah aku menjejakkan kakiku ke masjid untuk menunaikan solat sunnat Aidilfitri. Solat fardhu lima waktu sudah lama tinggalkan. Menyentuh sejadah jauh sekali. Tiada juadah-juadah lazat hari raya yang selalunya di nikmati pada Hari Raya seperti ketupat, rendang dan sebagainya. Aku tidak dapat mencium tangan ibu bapaku dan memohon kemaafan atas dosa-dosa yang telah ku lakukan terhadap mereka. Hatiku terus digigit rasa pilu dan sedih. Wajah ibu bapaku mula terbayang. Air mataku mengalir tanpaku sedari. Dengan linangan air mata, aku memanjatkan doa buat ibu bapaku semoga mereka panjang umur dan supaya aku dapat memohon kemaafan apabila aku dibebaskan kelak.
Hari berganti hari. Tahun berganti tahun. Diam tak diam, tujuh tahun sudah berlalu dan aku pun dibebaskan dari penjara. Aku berasa amat gembira. Bibirku menyulam secebis senyuman. Hatiku sarat dengan keriangan. Beberapa langkah keluar dari penjara sahaja aku telah melihat semula dunia asal. Terdapat banyak perbezaan selama tujuh tahun aku dipenjarakan. Singapura telah pesat membangun. Dengan azam yang baru, aku menuju ke stesen bas untuk pulang ke rumah untuk berjumpa dengan ibu bapaku. Sudah tujuh tahun aku tidak melihat dan mendengar ngauman dan jeritan bas-bas kenderaan dan bangunan pencakar langit. Sejak hari itu aku mula serik. Penjara ini banyak mengajar aku erti kehidupan. Aku bertekad untuk memulakan kehidupan baru yang lebih cerah.

Mohd Irfan
Menengah 3 Emerald
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: