Sunday, November 23, 2008

Destinasi Terakhir

Keadaan di sekelilingku diterangi cahaya sinaran kalimantang berwarna oren yang kuat. Aku memejamkan mata untuk mengelakkan mataku dari kesilauan pancaran cahaya tersebut. Apabila kubuka kelopak mataku, aku terkejut apabila terpandang sebuah kapal angkasa yang sangat ganjil dan menakjubkan di hadapanku. Wah! Menarik sungguh objek aneh ini.

"Sungguh menghairankan! Apakah objek ini sebenarnya? Mengapakah ia berada di tengah-tengah kawasan yang lapang ini?" Tanpa berlengah, aku pun segera menuju ke arah kapal angkasa itu dengan langkah yang perlahan serta hati yang berdebar-debar. Kaki kapal angkasa itu diperbuat daripada logam yang berkilat dan licin. Bentuknya bagaikan kancah tertangkup.

Tiba-tiba, aku terlihat kepulan asap tebal keluar dari bahagian bawah kapal angkasa tersebut. Bang! Bunyi kuat kedengaran di hadapan. Langkah kakiku terhenti merta-merta. Alangkah terkejutnya aku apabila pintu itu terbuka luas seolah-olah kehadiran diriku di situ telah pun diketahui orang.

Bahang panas mula menyelubungi tubuhku. Aku tidak dapat lagi membendung perasaan curigaku lalu aku melangkah masuk ke dalam objek misteri itu.

"Ada sesiapa di dalam ?" teriakku.

Soalanku tiada jawapan. Aku memandang sekelililngku. Semuanya kelihatan aneh. Di sama sini kelihatan butang-butang yang agak aneh.

"Apakah fungsi butang-butang ini semua?" aku bermonolog sendirian.

Aku menekan butang-butang yang terdapat di papan skrin tanpa memikirkan kesannya. Bang! Tit! Tit! Tit! Pesawat itu mengeluarkan bunyi yang mendesing panjang. Ruang di dalam pesawat itu mula bersinar dan aku merasakan bahawa pesawat itu bergerak dan berpusing ligat bagaikan sebuah gasing. Semakin lama semakin laju pusingannya sehinggakan aku terjelepok di atas kerusi. Kepalaku terasa pitam dan mataku mula berpinar-pinar.

"Huh? Apa yang telah berlaku? Ke manakah pesawat ini akan membawa ku? Oh! Tidak! Tidak ! Tanpa kusedari aku kini berada di ruang atmosfera! Kapal angkasa tadi telah pun meninggalkan bumi.

Dengan kelajuan kecepatan cahaya, pesawat itu mula bergerak zig-zag di angkasa raya. Aku menjenguk keluar dari sebuah cermin kecil. Haba terasa kian membahang. Perlahan-lahan, aku mula berasa mengantuk dan beberapa minit kemudian kegelapan menyelubungi suasana.

Bila aku tersedar, aku dapati aku berada di sebuah makmal yang agak unik. Tiba-tiba, pandanganku terpacak ke arah makhluk asing yang berada di situ. Aku menjerit ketakutan. Wajahmya begitu menakutkan. Makhluk tadi berkepala botak dan mempunyai tanduk seperti antena televisyen. Ia mempunyai belalai yang panjangnya sampai ke bawah paras lutut. Matanya merah dan bulat. Mulutnya pula besar dan bertaring dengan bibir yang nipis.

"Aaaaaaahhhh!!! Tolong! Tolong! Jangan apa-apakan aku! Tolong! Di manakah aku berada sekarang?" Perasaan takut mula mencengkam diriku. Peluh dingin mula merembes keluar dari dahiku dan aku menggigil kesejukan.

"Selamat datang ke planet saya iaitu Planet Marikh, wahai manusia. Saya adalah ketua planet ini. Nama saya Zippo. Pesawat yang awak naiki tadi itu adalah kepunyaan saya. Kedatangan awak telah lama dinanti-nantikan."

Aku melihat alam sekeliling. Tidak ada sebarang tanda kehidupan di kawasan tanah yang lapang di situ. Dari jauh aku ternampak sebuah bangunan yang berbentuk telur berwarna putih. Bangunan itu sentiasa berpusing. Aku kembali merenungi makhluk asing di hadapan dengan kehairanan.

"Sebenarnya, kapal angkasa itu merupakan satu perangkap bagi manusia untuk dibawa ke planet saya ini. Saya sengaja mengarahkan pesawat itu mendarat di bumi. Makhluk-makhluk di planet saya ingin tahu tentang anatomi manusia. Jangan takut, selesai sahaja pemeriksaan kami ke atas awak, saya akan kembalikan awak ke bumi.”

Tiba-tiba, suatu cahaya berwarna biru mula mengelilingi kami. Whoosh! Dengan serta-merta aku berada di kawasan lain di Planet Marikh. Kali ini, terdapat ramai makhluk asing seperti Zippo, tetapi mereka semua memakai topi yang besar di atas kepala mereka melainkan Zippo. Yang sungguh menakjubkan adalah cara makhluk-makhluk asing itu berbual antara satu sama lain. Yang peliknya, suara mereka kedengaran tetapi mulut mereka tidak bergerak langsung. Mereka menggunakan hubungan telepati di mana mereka berbual dengan menggunakan daya pemikiran. Tiba-tiba sekumpulan makhluk asing menghampiri diriku.

"Kami akan melaksanakan penyiasatan ke atas awak sekarang. Sila baring di sini dan pejamkan mata awak."

Aku dibaringkan di sebuah meja yang lembut dan empuk bagaikan tilam. Mereka menggunakan mesin-mesin yang canggih dan memasangkannya ke tubuhku. Tubuhku mula menggigil. Aku rasakan diriku ini bagai melayang-layang di angkasa sehinggakan aku tertidur.

"Pemeriksaan ke atas kamu sudah pun selesai. Hebat sungguh manusia di bumi. Kami dapati bahawa manusia mempunyai kemampuan spectrum pancaindera yang luas daripada kami dan manusia menguasai suara infrasonik dan ultrasonik. Dengan maklumat yang kami dapati daripada kajian tersebut kami akan menggunakannya dengan baik.
Aku tidak mampu berkata apa-apa. Kemudian aku pun dimasukkan ke dalam kapal angkasa yang aku naiki. Pesawat itu mula bergerak dengan kelajuan yang luar biasa menuju ke destinasiku. Aku memerhatikan Planet Marikh sehinggakan ia hilang dari pandangan…


Siti Norhayati Bte Abdul Rahim

Menengah 4 Sapphire

Sekolah Menengah Dunearn

No comments: