Wednesday, November 12, 2008

Ku Dahagakan Kasihmu ...Ayah

Tabir malam yang berlabuh tanpa hiasan purnama dan bintang-bintang di langit tiba-tiba dipanah pancaran kilat.Angin malam menerobos kasar,menampar-menampar pipiku yang lembut.Daun-daun yang kering disekelilingku membuat aku berasa kesepian tanpa seorang insan yang pernah membelai rambutku,membuatku tidur terlena setiap kali aku mendengar desis nafas yang cuba mengusir kedukaan yang melanda dalam usiaku yang masih lagi memerlukan kasih sayang dari kedua ibu bapaku.Sedangku menikmati ombak ganas yang memukul pantai,tiba-tiba lagu ‘Berserah’ nyanyian Taufik Batisah terngiang-ngiang di cuping telingaku.

“Tuhanku,ku relakan segala
Takkan pernah ku akui kalah
Ku percaya ,ku yakin padanya
Dia yang menentukan semua..
Berserah…”

Lagu itu membuka kotak memoriku untuk mengimbas kembali kenangan lalu bersama ayah.Lagu inilah yang selalu dimainkan ayah apabila dia menghantarku ke sekolah.Setiap kali hidupku dilanda pelbagai masalah yang kadangkala membuatku ingin berserah,ayahlah menjadi tempat aku mengadu dan darinya aku belajar bersikap positif dan terus berazam untuk mencapai impianku ke menara gading.Apabila usiaku menjangkau 15 tahun,ayah terlibat dalam pengedaran dadah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun.Benciku terhadap ayah semakin bersemarak bagaikan unggun api yang disimbahi minyak tanah.Aku tidak menyangka ayah sanggup membuat sesuatu yang dilarang negara apatah lagi ugama.Sejak peristiwa itu,aku memutuskan hubungan sillatulrahim dengannya.Ibu semakin hari semakin berkuah derita bertimpal nestapa.Ibu akhirnya membuat keputusan untuk menceraikan ayah kerana tidak tahan dengan buah mulut orang ramai dan dia tidak tahu kemana lagi hendak menyembunyikan mukanya yang kian dipandang serong oleh jiran-jiran.

Setiap malam apabila lagu itu dilaungkan di radio,air mataku membasahi pipi sebagaimana air hujan yang sedang membasahi bumi.Aku mula melibatkan diriku dalam kegiatan tidak berfaedah seperti merokok dan aku menganggotai kumpulan samseng.Dengan berbuat demikian ,aku puas kerana tidak mahu berdepan dengan kenyataan yang sangat menyeksakan setiap penjuru hatiku.Hubungan aku dan ibuku mula renggang kerana untuk mengubati luka dihatinya,ibu bekerja sepanjang masa.Rumah merupakan tempat yang meninggalkan seribu memorinya bersama ayah.Ibu tidak sanggup memandang potret perkahwinannya sendiri.Tetapi kini,istana yang dibina itu sudah tidak lagi mampu bertahan.Masa berlalu bagaikan awan yang bergerak di siang hari.Kini aku sudahpun berusia 20 tahun dan ayah telah dibebaskan dari pejara.Kehadirannya tidakku hiraukan kerana sepanjang lima tahun tidak bersamanya,hatiku sudah bertekad,tidak lagi akan memaafkannya.Sudah beberapa kali ayah menasihatiku supaya berubah sikapku yang dibenci orang namun aku masih berkeras hati.Akibat itu hidupku menjadi tidak tentu arah dan aku tercicir dari maktab rendah.

Pada suatu malam,ayah datang menziarahi aku dan ibu bertujuan ingin memohon maaf atas segala kesalahannya terhadap kami.Ibu dengan hati terbuka memaafkannya tetapi aku tetap dengan keangkuhanku.Ibu berkata’’Sedangkan Nabi memaafkan umatnya,kenapa tidak engkau??’’ Aku hanya terduduk diam sementara ayah menangis dihadapanku,memohon maaf.Dia memberitahuku bahawa selagi aku tidak dapat memaafkannya,selagi itulah hatinya terasa berat untuk menunaikan fardhu haji dengan sempurna.Dengan hati hampa,ayah melangkah keluar dari rumah.

Setelah seminggu berlalu,aku berasa kesal akan sikapku yang tidak mengenang budi terhadap ayah.Aku membuat keputusan untuk bertanya alamat rumah ayah dari ibu.Apabila aku masuk ke bilik ibu,terdengar suara tangisan ibu.Kalau kutahu maut ada di setiap penjuru dan waktu,akan kudamping ayah setiap saat.’’Ayah kau Rina…Ayah kau telah menyahut seruhan illahi ketika menunaikan fardhu haji petang tadi…’’ Tanpa aku sedari,air mata jatu berderai menjadi ribuan serpihan permata di ribaku.Dengan perlahan-lahan,aku mengesat air jernih yang semakin deras mengalir di pipiku yang merah gebu.Jenazah ayah pun selamat dikebumikan di pusara aman di Singapura kesokkan hari.Setelah ayah dikebumikan,aku pergi ke rumahnya untuk berkemas.Sedang aku mengemas beg pakaiannya,aku terjumpa sepucuk surat khas untukku.Aku mengoyakkan mulut sampul surat kirimannya lalu membaca kandungannya:

Asrina,puteriku tersayang,

Dalam kesyahduan malam,kuutuskan surat ini buatmu.Maafkan ayah kerana telah membuatmu sedih atau marah sepanjang Rina bersama ayah.Rinalah yang sering ayah rindui walau sehari tidak bertemu.Rinalah sebab ayah selalu tersenyum.Ketika Rina menerima surat ini,mungkin ayah sudah tiada lagi di dunia ini buat selama-lamanya.Andainya Ayah pergi,janganlah bersedih kerana ayah sentiasa berada disisimu.Cuma satu permintaan ayah,Ilmu itu kunci bagi mendapatkan kehidupan yang cerah.Ayah mahu Rina menyambung sekolah dan kali ini,bekerjalah dengan lebih keras lagi supaya Rina dapat meraih kerjaya yang Rina idamkan selama ini..Masih terang lagi di ingatan ayah perjanjian yang Rina ingin menunaikan sejak kecil.Iaitu Rina ingin menjadi seorang doktor yang pertama untuk menghasilkan ubat bagi mangsa HIV supaya mereka dapat sembuh..Janganlah berputus asa sayang.

Akhir sekali,iringilah pemergian ayah dengan doa restu.Janganlah kau lupakan ayah sehingga ke akhir hayatmu.Jagalah ibumu dengan baik.Cinta ayah pada kamu berdua bagaikan laut yang terbentang luas.

Yang Sentiasa menyayangimu

Ayah

“Ayah,akan ku tunaikan permintaan akhirmu.Rina redha dengan pemergian ayah.” Aku berkata sendirian. Mulai hari itu, aku berazam akan belajar bersungguh-sungguh. Aku menyesal kerana tidak mendengar dan mengikut nasihat ayah dahulu.Tetapi apa hendak disesalkan, nasi telah menjadi bubur.


Danyya Ateera Bte Abdul Rahman
5 Pearl
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: