Wednesday, November 12, 2008

Pemergianmu Kutangisi

Pemergianmu Kutangisi

Keadaan di sana sungguh riuh rendah. Dalam beberapa minit lagi, muncul tahun baru dan tahun 2007 akan menjadi sejarah. Aku ingin menikmati sambutan tahun baru ini di Zouk. Suasana di sana sungguh menghairahkan, riuh dengan sorakan gembira. Apatah lagi, aku, Farah dan Alif berpeluang menyertai pesta besar-besar untuk menyambut kedatangan 2008.

“ 5-4-3-2-1 Selamat Tahun Baru! ” hatiku melonjak riang.

“Malam ini kita akan berseronok puas-puas!!” Farah berkata kepadaku.

Waktu memacu laju, aku berasa seronok. Ternyata, aku lebih gembira menghabiskan masa bersama Alif dan Farah daripada keluargaku. Mereka kawan sejatiku. Mereka sanggup berhujan dan panas untukku. Merekalah tempat aku meluahkan segala isi-isi yang terpendam di hatiku. Tujuan aku ke Zouk ialah untuk melepaskan tekanan. Fikiranku berserabut. Sampai bilakah harus aku bersikap begini? Apabila aku ternampak ibu, pakcik Johan dan Anita bergembira dan bermesra, hatiku terasa seolah-olah dirobek-robek oleh pisau yang tajam.

Aku pernah memiliki sebuah mahligai yang bahagia suatu ketika dahulu. Ayah dan ibu disamping ku. Mereka sangat menyayangiku seperti mentatang minyak yang penuh. Terutama sekali, Ibu. Dialah segala-gala buatku. Malangnya, kebahagiqan itu tidak kekal buat selamanya. Mereka berpisah. Ayahku mempunyai seorang lagi wanita di dalam hidupnya. Aku mula membenci ayah. Api berang mula menular di hatiku setiap kali ibu menyebut perkataan ayah di hadapan ku. Namun, ibu hanya bersabar dan redha dengan dugaan ini.

“Mama kan ada, mama masih sayangkan puteri. Puteri adalah segala-galanya buat mama….” Ibu berkata, sambil mendakap dan mencium dahiku.

Kepercayaanku terhadap ibu hilang sekelip mata apabila dia bernikah dengan seorang duda; Pakcik Johan.

“Mama pembohong!! Puteri benci mama! Mama tak sayang puteri lagi kah?!” keseimbangan emosi mula tergugat.

Ibu tidak menyayangi aku kerana dia sudah mempunyai Johan dan Anita, adik tiriku. Daun pintu kuhempas kuat, menunjukkan tanda protesku. Aku jarang pulang ke rumah. Aku terjerumus ke dalam kancah yang tidak senonoh akibat diabaikan oleh ibu dan ayah. Kebencian aku terhadap mereka semakin membara.

“Puteri, kenapa ni?” ibu bertanya, dengan perlahan.

“Takda apalah!! Mama jangan sibuk lah. Puteri punya suka nak pulang ke tidak. Mama peduli apa?!” aku melepaskan kata-kata yang terisi di hatiku.

Tangan ibu melayang ke pipiku. Aku terasa sakit. Dengan perasaan geram, kku meninggalkan rumah yang bagaikan neraka itu buat selamanya.

Aku segera beralih ke alam nyata. Farah dan Alif sedang berdakapan mesra. Aku pergi ke bar, meminta minuman arak. Hatiku diselubungi kebencian yang meluap-luap, darah panasku kembali memuncak. Aku tidak dapat mengawal diriku. Aku meminum sepuas-puasnya mengharapkan semua masalah-masalah kusut itu terhapus daripada fikiranku. Aku merokok. Aku beredar di tempat itu dan berjoget di lantai menari. Kakiku terhuyung-hayang mengikut irama hip-hop dan R & B dari tempo dan dentuman speaker sebesar peti ais. Aku berfoya-foya dengan jejaka-jejaka di sana. Aku berasa seronok seperti orang kehilangan agama dan budaya. Beberapa jam berlalu, badanku tak berdaya dan kepalaku berpusing seperti gasing. Aku duduk, berehat.

Tiba-tiba, aku mendapat panggilan yang tidak ku jangka daripada Anita. Aku sengaja memekakkan kuping telingaku. Aku masih degil untuk menjawab panggilannya.

“Kau mahu apalah? Telefon aku malam-malam buta ini?!” aku meninggikan suaraku.

“Kak Puteri, tolong kak, mama sedang sakit… keadaannya semakin tenat, kak. Mama mahu jumpa kakak.. dia merindui kakak….” Anita berkata dengan tersedu-sedan.

“Eh Anita! Kau bilang mama, aku tak kisah! Kan mama sayang kau lebih daripada aku! Buat apa aku nak ke sana… buat sakit mata dan hati sahaja!!” hatiku tetap keras seperti batu. Aku mematikan telefon bimbit itu.

“Puteri, janganlah emosi sangat. Dia kan ibu kau. Tak baik kau memperlakukan ibu kau macam begitu. Dia sedang sakit. Mungkin dia rindu dan ingin berbaik semula dengan kau. Kasihanlah dia,” Farah berkata.

Aku termakan dengan kata-kata Farah. Kami berarak dari Zouk untuk mengunjungi ibuku di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura. Mungkin Farah benar, ibu ingin memujukku semula. Aku membeli sekuntum mawar merah dan sebuah mesej; “Aku sayang padamu.”

Aku tersenyum sipu melihat mawar merah itu dan tidak sabar untuk menyampaikannya kepada ibu. Farah dan Alif menunggu di luar.

Tibanya di bilik pesakit, keadaan di sana sungguh resah. Ramai sungguh orang yang melawat ibu. Mataku terpandang ke arah Papa, pakcik Johan dan Anita. Mereka sedang bersedih, bertangisan. Kenapa ini? Aku keliru. Aku mendekati mereka. Di sebelahnya, terdapat sebuah mayat ditutup dengan sehelai kain putih. Tanpa arah tuju, aku menyelak kain putih itu; TIDAK!! Mawar merah yang ku pegang jatuh kelantai.

“Tidak!!! Mama!! Tidak!! Maafkan Puteri, Mama!! Maafkan Puteri!! Jangan Tinggalkan PuteriI!!” Aku meraung sekuat-kuat hatiku. Air mata membanjiri kelopak mataku.

Anita, disebelahku, cuba mengawalku. Ibu sudah pergi meninggalkanku. Aku sebak. Tubuhku berasa lemah. Aku tidak dapat menerima pemergian ibu. Hasratku tidak kesampaian. Aku tidak dapat melafazkan; “Mama, puteri minta maaf, puteri sayang mama.” Aku kesal dengan perbuatanku kerana meninggikan suara dan menengking ibu.ku Aku anak derhaka! Aku jijik melihat sikapku! Seandainya aku tahu, aku tidak akan melukakan hati ibu. Malah, aku akan lebih menyayanginya seperti mana dia telah menyayangiku. Segugus nafas berat dileraikan dari dada, air mata masih bercucuran di pipiku.

Anak jenis apa aku ini? Di manakah aku apabila ibu sedang sakit?! Perasaan kesal menguasai diriku. Namun, semuanya sudah terlambat, ibu tidak akan kembali di sisiku. Aku mencium ibu di dahinya. Wajahnya pucat dan nampak tenang, setenang air di kuala. Aku mengikut papa untuk upacara pengebumian ibu di Pusara Abadi. Aku juga ditemani Farah dan Alif. Aku tidak dapat mengawal emosiku. Setiap kali aku memikiran tentang kejadian itu, air mataku mengalir tanpa kusedari. Selepas upacara pengebumian itu, aku masih tercegat di kubur ibu. Aku menangis tanpa henti, memegang batu nisan yang tercacak di kuburnya.

Rumah kelihatan sunyi dan sepi. Anita memasuki kamarku dan memberikan sebuah kotak. Aku tertanya-tanya.

“Kak, sebelum mama pergi, dia menyuruh Nita untuk berikan ini kepada kakak” dia berkata, perlahan-lahan, “ kalau kak bermasalah, Nita akan sedia bersama kakak..”

Seribu persoalan berada di fikiranku. Apakah yang ada di dalam kotak ini?

Samudera yang luas terbentang itu berkilauan disinari cahaya sang matahari yang sedang membenam di garisan horizon. Awan yang hitam mula berarak di dada langit. Angin senja menghembuskan udara yang semakin dingin, seolah-olah berirama melodi syahdu. Ombak yang ganas memukul-mukul di tepian pantai. Aku bersandar di tepi pohon nyiur yang tinggi. Aku membuka kotak tersebut. Ternyata, ibu masih menyimpan semua gambar-gambar bayiku, bersama ibu dan ayah sedang berdakapan mesra. Ibu kelihatan bahagia bersama aku dan ayah. Aku terlihat sepucuk surat; untuk puteriku yang tersayang.

Anakku, Puteri Maisarah,

Kuutuskan surat ini buatmu. Maafkan mama jikalau mama telah membuat puteri sedih atau marah sepanjang hayat ini. Mama ingin yang terbaik untuk puteri. Mama sayangkan puteri. Puteri adalah satu-satunya anak mama. Mama tahu, puteri masih sayangkan mama. Ketika puteri menerima surat ini, mama sudah tiada lagi di dunia ini buat selama-lamanya. Mama menghidapi kanser di tahap yang terakhir. Tiada perubatan yang dapat menyembuhkan mama. Menurut doktor, mama hanya ada lima bulan untuk menikmati dunia ini. Mama redha dengan dugaan ini. Seandainya mama pergi. Berjanjilah, jangan tangisi pemergian mama buat selama-lamanya. Relakan mama pergi. Berjanjilah, bahawa puteri tidak akan sia-siakan masa depan puteri. Mama telah memaafkan segera perbuatan puteri. Mama akan tetap menyayangimu dengan penuh kasih sayang seperti lautan kasih yang tiada bertepian.

Selamat tinggal, puteriku.
Yang sentiasa menyayangimu

Mama

Titik jernih membasahi pipiku dengan deras. Aku merintih keseorangan. Aku mencium surat ibu. Aku tidak akan lupa segala jasa-jasa ibu terhadap diriku. Ibu, kaulah ratu hatiku. Seandainya aku tahu, aku akan berada di samping ibu hingga ibu menghembuskan nafasmu yang terakhir.

Namun, aku tidak boleh merubah takdir. Tuhan lebih menyayangi ibu. Walaupun aku menangis air mata darah pun, ibu tidak akan kembali. Aku redha dengan pemergian ibuku. Akan kupanjatkan doa buat ibu agar ibu ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Aku berjanji bahawa aku tidak akan mensia-siakan masa depanku. Tahun baru yang penuh dengan pancaroba. Hidupku menjadi gelap. Peristiwa yang pahit itu tidak boleh dilupakan. Aku pasrah.


Nur Aqilah Yusoff
Menengah 5 Ruby
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: