Sunday, November 23, 2008

Kau Tetap Di Dalam Anganku

Di pusaramu ini, aku hadiahkan sekalung doa. Biarpun hanya doa yang dapat aku persembahkan kepadamu, biarlah ia menjadi teman buat dirimu yang berada jauh di mata. Dirimu akan sentiasaku kenang di mana jua kau berada. Walaupun aku telah menolak banyak pinangan, namun tidak pernah kukesali akan perbuatanku itu. Yang pasti, tiada sesiapa yang bertakhta di hati selain dirimu. Masih lagi terbayang-bayang sejarah cinta kita yang lalu. Kerana dirimulah, hidupku berubah menjadi sempurna.

Pap!!! Satu tamparan yang hebat menghinggapi pipiku.

"Anak tak mengenang budi! Sia-sia sahaja aku menghantar kau ke sekolah. Mulai dari hari ini, kau buatlah sesuka hati kau. Aku lepas tangan!"

Dengan bertemankan juraian mata aku melangkah longlai ke bilik tidurku. Sudah puas aku meminta maaf, namun usahaku bagaikan hujan jatuh ke pasir. Kata-kata ayah adalah muktamad. Sememangnya aku merupakan anak yang kurang berdisiplin. Aku tidak pernah serius dalam pelajaranku. Aku sering membuat hal di sekolah sehinggakan ibu bapaku sering dipanggil ke sekolah. Birapun sudah sejuta amaran, aku tidak pernah berubah. Baru-baru ini pula aku ditangkap menghisap rokok di tandas. Mungkin itulah yang membuat ayahku sangat marah sehinggakan dia menampar pipiku. Aku pun terus menelefon Alisa dan menceritakan segala-galanya kepadanya.

"Alah, takkan kerana sebatang rokok, mereka menampar kau? Kejamnya. Sudahlah, apa kata malam ini kau tidur sahaja di rumahku? Lagipun aku bersendirian." Kata-kata Alisa benar-benar telah membuatku benci pada keluargaku.

Aku pun bersetuju untuk bermalam di rumah Alisa. Tiba sahaja di rumah Alisa, dia mempelawaku masuk dengan penuh mesra. Setelah makan malam, kami mulai bersiap-siap untuk ke kelab malam. Pada mulanya aku enggan, tetapi setelah dipujuk berkali-kali akhirnya aku menurut. Tiba sahaj di sana aku berasa bebas. Aku mulai lupa dengan kejadian di rumah dan tiada sedikit pun rasa penyesalan menginap di hati. Aku meminum minuman keras, menari sesuka hati dan mempunyai ramai kenalan lelaki. Salah seorang di antara mereka ialah Syahadan. Dia merupakan pengunjung setia kelab malam tersebut. Dia juga sering membelanjaku minum. Aku boleh mendapatkan segala apa yang kuminta dengan senang. Tanpa ku sedari di sebalik kebaikannya dia juga mengharapkan balasan dariku.

Suatu malam seperti biasa, Syahadan menghantarku pulang. Sebaik sahaja aku menaiki tangga, tiba-tiba dia menarikku ke tepi dinding dan cuba mencabul kehormatanku. Aku memekik sekuat hati meminta tolong tetapi tiada siapa yang mendengar jeritanku. Ketika aku hampir putus harapan datang seorang jejaka menyelamatkanku. Melihat keadaanku, dia menumbuk Syahadan di muka. Dalam keadaan matanya yang lebam itu dia terus melarikan diri. Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Azharie dan menghantarku pulang. Walaupun dalam keadaan trauma, aku sempat mengucapkan terima kasih kepada Azharie sebelum dia pergi.

Malam itu aku tidak dapat tidur. Kejadian yang berlaku malam tadi sering menghantui kotak fikiranku. Kalau tidak kerana Azharie aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada diriku. Semenjak kejadian tersebut, kelibat Syahadan sudah tidak kelihatan lagi. Mungkin dia telah pergi melarikan diri.Beberapa hari selepas itu aku dikejutkan dengan kedatangan seseorang yang tidak kuduga, Azharie. Setelah mempelawanya masuk, kami bertanya khabar dan cuba mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Rupa-rupanya dia adalah sahabat Alisa. Dari situ bermulalah bibit-bibit percintaan di antara kami berdua. Azharie seorang pemuda yang baik, berpendidikan dan kuat beragama. Walaupun dia tahu tentang latarbelakang hidupku namun dia tetap menerimaku sebagai kekasihnya. Pada Azharie aku bisa berubah. Dia memujukku supaya berubah sikap dan mendengar nasihat ibu bapa. Berkat pertolongan dan ketabahannya, aku berjaya kembali ke pangkal jalan. Malah, kerana dialah aku diterima kembali oleh keluargaku. Mereka berasa bangga di atas perubahanku yang mendadak. Mereka juga telah bercadang untuk menikahkan kami berdua. Dengan persetujuan di antara dua belah pihak akhirnya kami diizinkan bernikah.

Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Ibu dan ayah sedang sibuk melayan tetamu di luar. Ahli keluargaku yang lain juga sibuk memasak lauk-pauk untuk santapan para tetamu. Aku pula sibuk diandamkan dengan rapi untuk hari yang bersejarah itu. Masa yang ditunggu-tunggukan akhirnya tiba, Namun Azharie belum lagi kelihatan. Kami menunggu lagi dengan sabar kerana kemungkinan Azharie terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Setelah penat menunggu tiba-tina kami dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Ibu menjawab panggilan tersebut dan tiba-tiba menjerit,"Tidak!...Tidak!!!"

Aku mengesyakki sesuatu yang tidak baik telah melanda Azharie. Ramalanku ternyata benar belaka. Azharie terlibat dalam sebuah nahas jalan raya dalam perjalanannya menuju ke rumahku. Azharie meninggal serta-merta di tempat kejadian sebelum sempat bertandang ke rumahku.

"Tidak…Tidak!!! Tidak mungkin Azharie sudah pergi! Jeritku sambil menangis sepuas-puasnya. Mengapa harus dia pergi di saat begini? Di saat aku baru hendak menjejakkan kakiku ke alam rumah tangga. Pelamin yang kuangan-angankan musnah di tengah jalan.

Tiba-tiba, bunyi dentuman guruh di langit menyentakku dari lamunanku. Barulah aku sedari rupa-rupanya aku hanya mengenangkan nostalgia silam. Aku menutup Kitab Yassin yang terbuka sejak tadi sambil mengesat air mataku yang jatuh bercucuran di pipi. Dengan sebak, aku merenjiskan air mawar ke pusara Azharie sambil memanjatkan doa agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Kemudian aku membelai batu nisan Azharie yang terpacak di tanah yang masih merah itu. Dengan langkah perlahan, aku mengorak langkah pulang dengan berat hati. Setiap langkah yang kuambil membuat hatiku bertambah sayu. Sayangku, Azharie sesungguhnya Tuhan lebih menyayangimu!

Siti Darmayanti Bte Rashid
Menengah 4 Topaz
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: