Sunday, November 23, 2008

Malamku Kesiangan

Angin malam membelai langsir, terasa seperti ia membelai hatiku. Pada ketika itu dunia bagaikan tiada berpenghuni. Aku berasa tetang memerhatikan langit yang terbentang luas dihiasi biji-biji berlian dan cahaya purnama masih setia menerangi alam semesta. Aku diselubungi kesepian. Aku menghela satu keluhan di aspal sepi. Tiba-tiba terdengar suara sang pungguk mendayu-dayu memecah keheningan malam. Aku pun membuka radio lalu kedengaran lagu 'Malamku Kesiangan' nyanyian Kumpulan SLAM berkumandang di corong radio.

"Bayang lenaku menjelma

Tak menentu fikiranku bercelaru

Tiada lain yang teringat

Hanya kenangan denganmu…"

Tanpaku sedari butir-butir mutiara tergenang di kelopak mataku lalu tertumpahnya air mata bagaikan gerimis membasahi pipiku. Masih teringat lagi kepada seorang gadis bernama Nur Faezah. Ketika itu dia menjalinkan perhubungan intim dengan Syahrul, sahabat karibku. Faezah diibaratkan sekuntum bunga yang mekar harum di jambangan Syahrul. Aku berasa gembira melihat sahabatku berbahagia di sisi seorang gadis yang seindah syurgawi lagi jujur dan setia seperti Faezah. Pada suatu hari epilog cinta Syahrul dan Faezah mula retak bagaikan gunung-gunung batu pejal yang jatuh pecah berselerakan. Syahrul ingin mengundurkan diri. Perbuatannya yang kejam membuat aku berasa simpati pada Faezah. Bak kata pepatah "cubit peha kanan, peha kiri terasa jua". Syahrul juga berasa keliru dengan perasaannya terhadap Faezah bagaikan seorang pengembara kehilangan peta.

Aku mula mendapat perhatian Faezah. Aku sering menasihatinya agar cekalkan hatinya untuk menempuh segala dugaan dan cabaran yang diberi oleh Tuhan Yang Maha Esa. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, entah mengapa terpendamnya perasaan kasih dan sayangku terhadap Faezah. Jiwaku gelisah, hatiku memberontak apabila Faezah jauh dari pandanganku. Aku bagaikan pungguk merindukan bulan. Adakah ini cinta? Aku ingin meluahkan isi hatiku yang kian lama terpendam di setiap penjuru hatiku. Aku pun mengorak langkah untuk melakarkan sepucuk surat kepada Faezah.

Faezah,

Dengan terlayangnya warkah ini ke pangkuanmu kuluahkan hasrat di hati yang kian lama terpendam. Maafkan seandainya warkah ini menganggu ketenteramanmu dan jika kata-kata ini mengusik emosi dan perasaanmu. Kehadiranmu bagaikan pelita yang menerangi hidupku yang dahulunya gelap-gelita. Hatiku berasa gelisah apabila aku tidak mendengar suaramu yang merdu dan jiwaku terseksa apabila kau berada jauh dari pandanganku.

Entah mengapa, dengan secara tiba-tiba bunga-bunga cinta mula berkembang terhadapmu semenjak kau berpisah dengan Syahrul. Jiwaku dibelasah kerinduan dan tasik cintaku mula dicerobohi oleh keikhlasan dan kejujuranmu. Lidahku tidak pandai melafazkan kata-kata kiasan. Di sini dengan harapan setinggi gunung, kuharapkan hatimu agar terbuka agar dapatku buktikan keikhlasan dan kejujuran citanku.

Terciptanya warkah ini ketika malam sunyi sepi. Ketika aku terjaga dari mimpi yang terindah warnanya. Perasaanku bukan sekadar fantasi. Biarkan serpihan rembulan berguguran ke ribaku, biarkan aku merintih kehausan dan kering kegersangan namun kaca yang bersadur keemasan akan terus jua kucari walaupun di hujung dunia. Andainya di situ ada ruang, bolehkah kiranya aku menumpang? Berikan aku kesempatan untukku buktikan erti kejujuran dan keikhlasan.

Malam ini janggal kurasakan menantikan jawapan yang belum pasti. Ke manakah menghilangnya purnama yang semalam indah kulihat bercahaya? Apakah terlindung di balik mega ataukah aku terkurung di ruang gelita. Pertama kali bagiku menghitung bintang di langit yang berwarna khirmizir. Tiba-tiba lamunanku tersentak dengan deringan telefon bimbitku. Alangtkah terperanjatnya aku apabila nama Faezah terpapar di permukaan skrin telefon bimbitku.

"Assalamualaikum, Saari ke tu?" tanya Faezah dengan nada yang manja yang mencairkan hatiku.

"Waalaikumussalam. Ya…saya di sini. Ada apa Faezah menelefon Saari? Ada hal mustahak kah? "jawabku dengan intonasi yang ghairah.

"Surat Saari telah saya baca. Sbenarnya sudah lama saya menunggu Saari melafazkan kata-kata syahdu itu, "katanya keriangan.

"Betulkah?,"tanyaku bagaikan tidak percaya.

"Ya Allah, takkanlah saya bermain-main dengan perkara begini," jelasnya.

Aku hanya membisu seribu bahasa sambil tersipu malu. Di saat itu lidahku kelu dan aku tidak dapat mengucapkan apa-apa. Asam garam di gunong, ikan di laut dalam hidangan bertemu juga. Faezah pun mengajakku keluar bersamanya pada keesokan harinya.

Hari berganti hari dan bulan berganti tahun. Perhubunganku dengan Faezah semakin intim. Kini hatiku berbunga riang dengan kehadiran Faezah yang membawa sinaran bahagia. Dua tahun telah berlalu, namun Faezah masih setia memancarkan sinaran cintanya padaku.

Kusangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya gerimis mengundang. Perhubungan aku dan Faezah semakin renggang setelah kehadiran Syahrul kembali ingin menawan permaisuriku. Tanpaku duga, perasaan Faezah mula berpaling arah kepada Syahrul. Meskipun kita telah bersulam kata dan bertahtahkan sumpah setia, Faezah telah berpaling arah dan entah mengapa cintanya terhadap Syahrul kian membara. Pentas lautan kujadikan taruhan, namun kilauan kaca kau dambakan dan kilauan permata kau abaikan.

Hatiku diselubungi perasaan cemburu dan rasa iri hati tercalit di hatiku. Setelah Syahrul berjaya memiliki dan menawan hati permaisuriku. Dengan perasaan marah dan dendam aku bersemuka dengan Syahrul untuk membuat perhitungan.

"Kusangkakan kau permata tetapi rupa-rupanya kau gunting dalam lipatan!" kataku kepada Syahrul dengan nada yang agak keras.

"Aaargh!!! Apa aku peduli? Engkau tidak ada hak untuk melarang aku," jeritnya.

"Tak mengapa. Tapi ingat wahai kawan, hujan tidak sepanjang tahun dan kemarau takkan berpanjangan. Manusia jenis kau akan menerima pembalasan dari Tuhan kelak," kataku sambil beredar dari situ.

"Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Insan yang sehodoh engkau tidak sepatutnya memiliki Faezah yang jelita. Sedarlah wahai kawan!" jerit Syahrul.

Aku tidak menghiraukan kata-katanya dan segera bergegas dari situ. Aku duduk sugul di kepala katil lalu menatap potretku dengan Syahrul ketika kami di bangku sekolah. Tiba-tiba aku tersentak dengan bunyi benda jatuh. Aku pun menghampiri ke arah bunyi tadi Aku dapati gelas seramik hadiah hari jadiku daripada Syahrul sebagai tanda persahabatan kami telah jatuh dan pecah ditiup angin. Aku pun mengambil serpihan kaca lalu menangis mengenangkan perhubunganku dengan Syahrul bagailan kaca yang berselerakan.

Kring! Kring! Telefon berdering. Aku pun mengangkat telefon lalu terperanjat mendengar suara Faezah menangis tersedu-sedsan.

"Sa…saari, Syarul telah meninggal dunia," katanya sambil menangis.

"Ya Allah, bagaimana ia boleh berlaku? tanyaku terperanjat.

"Dia telah menemui kemalangan selepas berjumpa Saari siang tadi."

"Apa?Betulkah? Ya Allah ya Tuahnku mengapa ini semua terjadi?"

Seperti dahulu aku menasihati Faezah untuk tabahkan hatinya untuk menempuh segala rintangan yang melanda tetapi keadaannya kini berbeza. Syahrul telah meninggalkan Faezah buat selama-lamanya untuk menyahut seruan Illahi, Namun demikian, aku tetap pasrah dengan nasib sebegini, Kini, ingatanku telah lesap untuk selama-lamanya. Kini, aku sedar cinta ini tidak semestinya berakhir dengan kebahagiaan. Kini Faezah hilang jua dibawa arus pawana.

Tiba-tiba kedengaran guruh membelah ruang angkasa. Aku tersentak lalu mendapati aku hanya mengenangkan nostalgia silam. Aku tinggalkan lamunanku tergantung tanpa bertali. Kini, Faezah dan Syahrul telah menjadi memori dan kenangan pahit manis dalam hidupku. Dengan iringan Al-Fatihah, aku berdoa ke hadrat Tuhan Maha Pencipta Alam agar roh Syahrul dicucuri rahmat. Amin amin amin ya rabbil alamin. Semoga Syahrul ditempatkan di syurga abadi bersama orang-orang yang beriman.

Muhammad Taufiq
Menengah 5 Ruby
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: