Thursday, July 24, 2008

Memori Cinta Luka

Memori Cinta Luka

Air laut yang bergelora bagaikan menukas. Pantai permai putih melandai terhampar berliku–liku. Pohon–pohon nyiur yang menari-nari ditiup angin bagaikan berbisik. Hari demi hari aku digigit kesepian yang amat menyeksakan sejak ditinggalkan kekasihku yang telah pergi buat selama-lamanya.

Sedang aku termenung di luar jendela, tiba-tiba lagu ‘Masih Ada Cinta’ nyanyian Dayang Nurfaizah terngiang-ngiang di cuping telingaku.

“Rindu nan membara
Menyala dan membelai jiwa
Tiada berteman
Sepinya berpanjangan…”

Lagu itu membuka kotak memoriku untuk mengimbas kenangan lama. Pertama kali aku menemui Idris, kawan sedarjahku yang paling kacak sekali, aku amat tertarik dengannya. Sinaran matanya terasa lembut dan mendamaikan. Pipinya selicin pauh dilayang. Bibirnya semerah delima merekah. Wajahnya bersinar cerah dengan pancaran mentari kehidupan dari bebola mata yang coklat ceria. Suaranya merdu, bak burung perindu. Tidak pernah aku melihat seorang jejaka yang sungguh kacak sekali. Kami mula berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon. Sejak hari itu aku dengan Idris sering berbual-bual di telefon selama berjam-jam dan sering keluar untuk berjalan-jalan bersama-sama. Setelah beberapa lama kami berkenalan, bibit-bibit cinta mula berputik. Hubungan kami bertambah mesra dan kami bagaikan belangkas yang tidak dapat dipisahkan. Aku tidak ingin berpisah dengannya buat selama-lamanya.

Suatu hari, kami berjanji untuk berjumpa dan makan malam bersama di restoran lima bintang pada waktu senja. Buat pertama kali kami makan malam di restoran lima bintang. Aku sedang menunggunya di dalam restoran tersebut. Satu jam sudah berlalu tetapi Idris tidak muncul-muncul lagi. Aku cuba untuk menelefon telefon bimbitnya tetapi tiada sesiapapun yang menjawab panggilanku. Inilah pertama kalinya dia memungkiri janjinya. Perasaan geram dan marah muncul di hatiku. Kebencian hati memuncak sekali. Perasaan marahku semakin meluap-luap bagai gunung berapi yang akan meletus. Mataku memancar api terbakar.

Senja telah pun ditelan malam. Dengan perasaan geram, aku terus melangkah keluar dari restoran itu untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku ternampak sebuah kemalangan. Alangkah terkejutnya apabila aku ternampak mangsa kemalangan itu ialah kekasihku, Idris.

“Tidak! Idris! Tidak!!!” Teriakku sambil berlari menuju ke arah Idris. Tubuhnya bermandikan darah.

Butiran mutiara yang mengolami kelopak mataku mengalir deras tidak berhenti-henti membasahi pipiku bagai empangan pecah. Sebak dan pilu hatiku ibarat dicucuk sembilu. Keluarga Idris dan juga keluargaku tiba sebaik sahaja mereka mendapat tahu berita buruk itu daripadaku. Mereka tidak sempat menatap wajah Idris sebelum kematiannya. Aku terjumpa sepucuk surat di sakunya khas untukku. Aku mengoyakkan mulut sampul surat kirimannya lalu membaca kandungannya:

Farahziana, permata hatiku,

Dalam kesyahduan malam, kuutuskan surat ini buatmu. Maafkan aku jikalau aku telah membuatmu sedih atau marah sepanjang perhubungan kita ini. Aku sentiasa menyayangimu tidak kira dalam keadaan susah atau senang. Engkaulah yang aku sering merindui walaupun hanya satu hari tidak bertemu. Engkaulah yang aku sayangi dengan penuh kasih sayang seperti lautan kasih yang tiada bertepian.

Ketika Ina menerima surat ini mungkin Idris sudah tiada lagi di dunia ini buat selama-lamanya. Andainya Idris pergi, janganlah bersedih kerana Idris akan sentiasa berada di sisimu ke mana jua Ina pergi. Iringilah pemergianku dengan doa restu. Janganlah lupakan aku sehingga ke akhir hayatmu. Selamat tinggal sayang…

Yang sentiasa menyayangimu
Idris

Air mataku mengalir dengan lebih deras setelah membaca surat itu. Jenazah Idris dibawa pulang untuk dimandikan sebelum dibawa ke Pusara Aman. Impianku untuk membina istana bahagia dengannya kini hanyut bersama titisan embun yang berguguran. Sembilu menusuk tajam ke lubuk sukmaku. Hatiku hancur bagai kaca terhempas di batu.

Tidakku sangka, air mataku bercucuran jatuh ke pipi apabila aku mengimbas kembali pengalaman itu yang berlaku dua tahun yang lalu. Aku menyapu air mataku yang mulai gugur. Surat yang dikirim oleh Allahyarham Idris masih ada hingga sekarang, masih kelihatan baru dan dijaga dengan baik kecuali bekas titisan air mataku yang gugur setiap kali aku membaca surat itu.

Kini aku hidup dalam kesunyian dan kesepian. Aku masih belum ada pengganti yang serupa seperti Idris atau lebih hebat daripada dirinya. Kenangan manis bersamanya akan kekal dalam sanubariku sehingga akhir hayatku. Surat-surat cinta kami dan gambar-gambar kami bersama menjadi memori rindu.

Idris, walaupun engkau telah meninggalkanku, kasihku kepadamu kukuh berdiri bagaikan Tugu Taj Mahal. Cintaku padamu akan tetap kekal abadi. Aku akan tetap merinduimu. Semoga rohmu diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya engkau seorang insan yang mulia. Amin, Ya Rabbal ‘alamin.

Alfie Farhana
Menengah 2E1
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: