Thursday, July 24, 2008

Berakhirnya Sebuah Impian

Berakhirnya Sebuah Impian


Mentari memancarkan sinarannya tanpa belas namun aku tetap menyusuri gigi pantai. Terus mencari dan menanti. Terentang hamparan pantai yang seolah-olah tidak melontar sekuntum erti penantianku. Rontaan hatiku terpanggil-panggil untuk mengharungi dada laut yang terbentang luas.

Gila! Sanggupkah aku membunuh diri hanya kerana sebuah cinta yang tidak pernah kumiliki ? Aku pasrah. Aku tetap akan meneruskan hidup ini. Sedang aku menyusuri gigi pantai di saat rambutku melayang-layang ditiup bayu,aku bermonolog sendirian…


Perginya cinta tanpa dimiliki

Perginya kasih yang kusangka abadi

Inginku pergi jauh dari rindu

Hilangkan segala lara dan sendu

Dengarlah sayang apa yang ingin kukata

Engkau dan dia harus bersama

Meskipun sukar kumelepaskan dirimu

Namun apa dayaku

Dia hanya untukmu


Betapa hancurnya hatiku.Gundah-gulana jiwaku .Ingin sahaja aku menjerit namanya sekuat hati. Namun apa dayaku, dia tidak akan kembali padaku. Kotak memoriku terbuka dan terlayanglah kenangan lama aku dan dia.


Aku mengenali Ferhad sejak di sekolah rendah lagi. Kami berdua berkawan baik. Kami juga bersekolah di menengah yang sama. Ferhad seorang yang kacak, pandai dan mempunyai daya tarikan bak sembrani sehingga ramai gadis di sekolahku tertarik dengannya.


Aku tahu Ferhad belum ada yang punya. Jika Ferhad sudah dimiliki, dia akan memberitahuku terlebih dahulu. Dia tidak pernah berahsia denganku. Begitu juga aku dengannya. Tanpa sedar, aku mula mencintainya. Namun aku memendamkan sahaja perasaanku. Lagu “Dambaan” nyanyian Didi Carzli terngiang-ngiang di cuping telingaku ketika itu.


Kini baru kusedari,

Selama ini kau kusayangi,

Andai bukan itu hakikatnya,

Mengapa rindu yang kurasa…”


Pada suatu petang, setelah aku dan Ferhad pulang dari sekolah, kami menuju ke perpustakaan dengan niat ingin menelaah pelajaran. Hatiku berbunga riang tiap kali bersama Ferhad.


Setibanya di perpustakaan Jurong itu, aku memilih tempat untuk kami duduk berdua. Aku baru sahaja mengeluarkan buku untuk menelaah apabila Ferhad memegang tanganku. Aku tersentak sebaik saja dia berbuat begitu.


“Sheera, jika kau tidak suka dengan apa yang akan kukatakan ini, kau pergilah dari sini. Jangan kau katakan apa-apa lagi kerana aku tidak akan sanggup mendengarnya,” kata-kata Ferhad membuatkan aku keliru.


“Apa ini Ferhad?”ruang fikiranku penuh tanda tanya.


“Aku mencintaimu, Sheera.Aku tidak tahu bagaimana perasaan ini datang tetapi hakikatnya aku memang menyayangimu,”Ferhad meluahkan isi hatinya kepadaku.


Hatiku melonjak riang. Inilah kalimah cinta yang aku nanti-nantikan dari Ferhad. Aku tersenyum manis. Aku tidak perlu mengatakan apa-apa lagi kerana lirikan mataku dan senyumanku sudah melafazkan bahawa aku menerima Ferhad dengan hati terbuka.


Di situlah bermulanya epilog cintaku dan Ferhad. Itulah waktu yang paling gembira dalam hidupku. Tiga tahun telah berlalu dan kami masih menjalinkan hubungan cinta. Aku bahagia dengan Ferhad dan aku yakin Ferhad bahagia denganku. Ferhad sudah memutuskan untuk memberitahu ibunya tentang hubungan kami. Aku sudah terlebih dahulu memberitahu ayah dan ibuku dan mereka tidak langsung membantah dengan pilihanku kerana mereka tahu Ferhad seorang lelaki yang berhati mulia.


Keesokan harinya,Ferhad mengatakan bahawa dia ingin berjumpa denganku. Nada suaranya kedengaran serius. Kami berjumpa di pantai East Coast. Ferhad memberitahuku bahawa ibunya membantah perhubungannya bersamaku. Ibunya telah berjanji kepada rakan karib arwah ayah Ferhad untuk menjodohkan Ferhad dengan anak gadisnya. Ferhad tiada pilihan lain selain menurut kerana rakan karib arwah ayahnyalah yang banyak membantu membiayai keperluan persekolahannya sehingga Ferhad memasuki politeknik.


Betapa hancurnya hatiku mendengar berita itu. Namun aku tidak boleh menghalang kerana ini melibatkan maruah Ferhad sekeluarga. Aku harus akur dengan suratan takdir. Aku redha dengan ketentuan Illahi.


Sebelum aku beredar dari pantai itu, Ferhad sempat berbisik, “Walau apapun jua, ku tetap akan mencintaimu sepenuh hatiku. Hanya jasadku sahaja yang akan dia miliki tetapi jiwa ragaku hanya untukmu sayang.”


Biji-biji mutiara membasahi pipiku. Ferhad mendakapku erat buat kali terakhir. Aku meleraikan pelukannya dengan lembut. Di sinilah berakhirnya episod cinta kami. Dentuman petir menyambar ingatanku. Sedang aku melangkah beredar dari pantai yang membawa seribu kenangan itu, sekeping surat biru jatuh dari genggaman tanganku.


Nur Sheera Shafikah,


Andainya kau mengerti perasaan hatiku pastinya kau tahu betapa beratnya diriku meninggalkan dirimu. Namun apakan dayaku, aku terpaksa menepati janji keluargaku. Maafkanlah diriku kerana tidak dapat bersamamu. Aku ingin benar-benar ingin memilikimu. Namun, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Carilah pengganti yang lebih baik dariku, agar kau bahagia.


Yang Merinduimu,

Ferhad


Kini tiada lagi yang ingin kuharapkan lagi. Impianku berakhir sudah. Aku hanya menanti ke mana arus hidup membawa diriku. Terus mencari ketenangan hidup, menanti sebuah kebahagiaan.


Syahidah Bte Yusoff

Menengah 3E5

Sekolah Menengah Dunearn

No comments: