Thursday, July 24, 2008

Cinta Yang Tidak Terbalas

Cinta Yang Tidak Terbalas

Aku duduk seorang diri di tepi pantai yang indah. Air laut yang bergelora bagaikan menukas. Angin semilir menyapa lembut pipiku. Warna senja mulai memamah suasana yang sunyi sepi. Bayang-bayang kesedihan menusuk tajam ke lubuk sukmaku. Pertanyaan demi pertanyaan sering menjentik hati dan perasaanku bagaikan seribu-satu mimpi yang tidak boleh lagi ditafsir.
Tidak kusangka, dia berpaling tadah setelah lama menjalinkan hubungan cinta. Kenangan pahit, manis, suka dan duka bermain-main di dalam kotak fikiranku. Tiba-tiba lagu ‘Sonata Musim Salju’ nyanyian Hazami terngiang-ngiang dalam fikiranku.

“Bagaikan syurga tanpa bidadari
Kau ibarat hembusan nafas terakhir
Pulanglah sayang, usah kau berpaling
Di sini, pasrah menanti…”

Tanpa kusedari, mataku sudah berkaca. Aku cuba menahan air mataku tetapi mataku bertambah kelam. Hanya tangisan yang boleh memberi nikmat kepuasan batin. Gadis yang kucintai telah lesap dari genggamanku. Gadis yang kumaksudkan itu bernama Amirah atau nama timangannya Mira. Kami telah berkenalan semenjak di bangku persekolahan lagi. Ketika itu Mira selalu memintaku mengajarnya mata pelajaran Matematik.
Semenjak itu, aku mula jatuh hati kepada Mira. Raut wajahnya secantik bintang filem dilayar perak. Bibirnya semerah delima merekah. Sinaran matanya terasa lembut dan mendamaikan. Bagiku, kecantikannya bagaikan Nurul-Aini yang sentiasa menunggu di pintu syurga. Semenjak itu cinta mula berputik antara kita.
Kuntum kegembiraan yang dahulunya mengembang di hatiku, kini menjadi layu. Kini hanya meninggalkan nostalgia yang hampir tenggelam dibungkus waktu. Impianku hendak menjadikan Mira sebagai permaisuriku kini melayang-layang. Aku masih teringat ketika keluargaku pergi ke rumah Mira untuk masuk meminang. Dengan harapan menggunung tinggi ibuku memulakan upacara peminangan intu dengan sekerat pantun.

“Pokok kerini jangan dipanjat,
Kalau dipanjat patah dahannya
Datang kami datang berhajat
Bunga di taman siapa empunya”


Pantun ibuku disambut dengan reaksi yang dingin. Ibu dan bapa Mira tidak membalas pantun ibuku. Ketika itu relung dadaku bagaikan terbakar. Mereka menolak mentah-mentah pinangan keluargaku atas alasan darjat kami berbeza. Mira datang dari keluarga yang kaya dan berada sedangkan kehidupan keluargaku hanya cukup makan dan minum.
“Tak sedar diri! Keluarga kau tidak setaraf keluarga kami! Kami tidak boleh menerima menantu yang hanya menghabiskan duit anak aku! ,” jerit ibunya dengan penuh sinis.
Merah telingaku mendengar cercaan keluarganya. Mira hanya tunduk menangis tidak berani melawan. Keluargaku hanya menundukkan kepala ddengan perasaan malu. Hari itu hari yang terakhir aku berjumpa dengan Mira. Kata-kata ibunya itu menamatkan perhubungan aku dan Mira yang dahulunya kami anggap teguh bagaikan ‘tembok besar Cina’. Rakan-rakanku memberitahu bahawa keluarga Mira telah bermastautin ke UK. Hatiku yang pejal menjadi cair umpama ais yang diletakkan di bawah terik matahari setelah dipisahkan dari Mira. Aku lalu menenung sepucuk warkah yang terkejap di tanganku.
Mira,
Dengan terlayangnya warkah ini ke pangkuanmu, kuluahkan perasaan di hati yang kian lama terpendam. Maafkanku jika kehadiran warkah ini mengganggu ketenteramanmu. Kehadiranmu telah menerangi hidupku yang dahulunya gelap-gelita tetapi pemergianmu membuat hatiku ditimbuni kesedihan.

Mira,
Masa depanku kini menjadi gelap. Aku harap putik-putik kemesraan yang kita alami dahulu akan dapat menebarkan keharuman kasih saying yang mampu melembutkan hatiku yang luka

Kini aku tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidupku yang sepi ini. Hanya yang mengerti sajalah yang dapat meneroka betapa hancurnya hatiku ini. Walaubagaimanapun aku harus menguatkan azamku untuk meneruskan sisa-sisa hidupku.

Yang menyintai,
Qhasmeer

Warkah itu seharusnya ditujukan kepada Mira tetapi aku tidak terdaya untuk memberinya. Hanya tinggal warkah ini untuk dijadikan kenangan. Kini, saat demi saat menerbitkan detik-detik yang menusuk tajam ke lubuk sukmaku. Aku tersentak lalu kembali ke alam realiti. Matahari semakin menghilang di ufuk barat. Sebentar lagi malam akan bertakhta. Sambil aku meninggalkan pantai yang sepi ini, hatiku bermonolog sendirian…

Kasihku, usah dikau pergi
Kau tinggalkan diriku sendirian
Kemana harus kucari ganti
Senyuman yang semanismu

Kini kau tiada lagi disisiku
Ku kehilangan tempat bermanja
Kau pergi tanpa kerelaan
Hatiku hampa dan kecewa

Hanya kenangan terukir didada
Bersamadi dalam sanubariku
Jiwa membawa memendam rasa
Tersemai seribu pengertian hidupku

Md Qhasmeer B Jamil
Menengah 3E5
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: