Monday, July 21, 2008

Korban Nafsu

Korban Nafsu

Aku mencampakkan beg sekolahku di atas bangku lalu menghempaskan punggungku di atas bangku yang sama. Aku mendengus. Bosan! Aku tiada rancangan pada hari itu. Malas pula untuk melepak di kompleks membeli belah seperti apa sering aku selalu lakukan setiap kali aku ponteng sekolah. Entah mengapa pula kakiku membawaku ke pantai West Coast pada hari itu !

Aku memerhatikan ombak yang memukul pantai. Seperti pantai yang bergelora itu aku juga rasa hidupku bagai dipukul ombak yang ganas yang tidak dapat aku elakkan. Kudratku tidak sekuat mana untuk melawan takdir. Usiaku baru 14 tahun tetapi aku sudah dicabar dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada siapa yang dapat aku berpaling ataupun sekadar berkongsi kekusutan yang aku alami kini. Entahlah…

Mataku melihat seluruh pantai yang luas itu. Pandanganku tertancap pada seorang anak kecil yang berusia lebih kurang 2 tahun yang sedang bermain bersama seorang wanita yang aku andaikan adalah ibunya. Aku tersenyum melihat telatah anak kecil itu. Comel. Dia pasti menjadi kebanggaan serta harapan kedua ibu bapanya. Tanpaku sedari air mataku mula mengalir.

Dengan pantas aku menyeka air mataku. Aku marah pada diri ku sendiri. Mengapa aku harus menangis? Walaupun aku menitiskan air mata darah sekali pun, ia tidak akan mengubah keadaan. Air mataku bukanlah berharga setakat mana pun sehingga dapat mengubah perasaan serta tanggapan ibuku terhadap diriku.

Hatiku dicengkam perasaan sayu yang tidak terhingga. Mengapa hidupku tidak seperti anak yang lain? Anak yang hidup bahagia di samping kedua orang tua yang menyayangiku, yang menjadi tempat perlindunganku daripada segala onak kehidupan? Namun siapa kata hidup ini adil? Aku merupakan seorang anak yang lahir daripada hubungan sulit kedua ibu bapaku. Kelahiranku tidak diharapkan kerana aku dilahirkan atas dasar nafsu. Aku dilahirkan akibat keterlanjuran mereka. Disebabkan akulah, bapaku terpaksa berkahwin dengan ibuku hanya untuk menutup malu.

Semenjak aku kecil lagi, aku tidak pernah merasai curahan kasih sayang daripada kedua orang tuaku. Bapaku seorang penagih dadah. Sudah banyak kali dia keluar masuk penjara disebabkan ketagihannya itu. Disebabkan ketagihannya itu jugalah aku jarang bertemu dengan bapaku. Ibuku… ibuku pun bukan seperti ibu yang lain. Dia tidak pernah menganggap aku sebagai anaknya. Selama ini dia menyalahkan aku kerana dia menganggap aku anak sial dan penyebab dia terpaksa berkahwin dengan bapaku dalam usia semuda 18 tahun. Belum puas dia merasai kebebasan dunia, aku hadir dan sekaligus mengubah haluan hidupnya. Akulah pemusnah harapannya. Aku masih ingat lagi kata-kata kesat yang pernah dilemparkannya kepadaku.

“Budak celaka! Tak sepatutnya kau lahir dalam dunia ni! Sebab kaulah aku terpaksa menanggung malu! Sebab kaulah hidup aku jadi begini! Sepatutnya kau mati sahaja! Baru senang hidup aku!”

Aku yang baru berusia 4 tahun hanya tercengang mendengar cemuhan ibuku itu. Tidak tahu sama ada untuk menangis ataupun berdiam sahaja. Reaksiku yang hanya selamba menerima segala tengkingan membuatkan kemarahan ibuku meluap-luap. Dia mencubit lenganku. Kemudian dia mencapai batang penyapu lalu dilibas ke tubuhku.

“Jangan ibu… sakit !” Aku merintih.

Bunyi guruh di langit menyedarkan aku daripada lamunanku. Aku memerhatikan awan hitam yang berarak perlahan di dada langit. Barulah aku sedar yang hari akan hujan. Aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sahaja. Aku mengeluh. Walaupun bagi orang lain rumah itu merupakan tempat berteduh yang paling selamat, bagiku hakikat sebenarnya amat jauh berlainan. Memang aku rasakan kehidupan di rumah itu bagaikan neraka yang didiami oleh orang yang tidak kenal erti dosa dan pahala.

Baru dua bulan yang lalu ibuku berkahwin lagi. Itupun setelah setahun dia bercerai dengan bapaku. Namun sebelum itupun ibuku telah menjalinkan hubungan dengan Pakcik Saiful. Aku berasa jijik setiap kali aku memikirkan tentang perbuatan ibuku itu. Aku sebagai anak sendiri tahu yang perbuatannya itu salah dari segi agama. Tidakkah ibu sedar akan hal itu? Tahukah dia bahawa dia telah melakukan dosa yang besar dengan mengambil kesempatan akan ketidakhadiran bapaku yang meringkuk di penjara untuk melepaskan nafsunya? Ibuku bergelumang dengan maksiat, dan kini aku rasakan seperti aku pun turut diheret sama ke lembah yang hina itu. Bapa tiriku bukan seperti apa yang aku sangkakan. Dalam diam dia ibarat musang berbulu ayam. Di hadapan ibuku dia berlagak baik, tetapi di belakangnya hanya Allah sahaja yang tahu. Sudah beberapa kali bapa tiriku cuba berkelakuan tidak senonoh terhadapku. Nyaris-nyaris aku diperkosanya. Selama ini aku berjaya untuk mempertahankan kesucianku, tetapi sejauh mana aku boleh bertahan?

Aku terlalu melayan fikiran sehinggakan aku tidak sedar yang aku sudah pun tiba di hadapan flat rumahku. Sedang aku membuka kunci rumah, pintu rumah jiranku dibuka. Makcik Timah melangkah keluar dengan menatang sebuah dulang. Dia tersenyum melihatku.

“Alia baru pulang? Makcik buatkan pulut kuning untuk Alia. Hari ni hari jadi Alia kan?”

Aku mengerutkan dahiku. Betulkah hari ini hari jadiku? Aku bermonolog dalam hati. Kemudian aku menepuk dahiku. Bagaimana aku boleh terlupa akan hari jadiku sendiri? Mungkin kerana aku terlalu dibelenggu masalahku sehinggakan aku terlupa.

Aku menyambut dulang yang dihulurkan oleh Makcik Timah. Aku sungguh terharu kerana Makcik Timah mengingati hari jadiku. Ibuku? Jangan harap. Walaupun dialah yang telah melahirkanku, dia tidak pernah mengingati hari jadiku, apatah lagi untuk menyambutnya bersamaku.

“Terima kasih Makcik.” Sedaya upaya aku cuba menahan air mataku daripada mengalir.

Makcik Timah tersenyum. “Makcik doakan semoga Alia panjang umur dan murah rezeki. Makcik juga harapkan semoga Alia menjadi seorang anak yang baik dan seorang manusia yang berguna pada masyarakat. Alia fahamkan apa yang Makcik cuba katakan ni?”

Aku mengangguk. Aku tahu yang selama ini Makcik Timah sedar yang aku selalu ponteng sekolah. Sungguhpun begitu aku beruntung kerana masih ada orang yang mengambil berat tentang diriku. Bukan seperti ibuku. Dia tidak pernah mengambil berat tentang diriku. Perihal aku ponteng sekolah pun dibuatnya endah tidak endah sahaja. Kalau sudah dia bersikap sebegitu, mana mungkin aku dapat memberitahu ibuku tentang perangai Pakcik Saiful yang sebenar? Nanti dia menuduh aku sengaja mereka-reka cerita. Ibuku terlalu sayangkan Pakcik Saiful. Sudah tentu dia lebih mempercayai kata-kata Pakcik Saiful daripada aku.

Makcik Timah menepuk tanganku sebelum berlalu dari situ. Aku tercegat di luar pintu rumahku untuk beberapa saat sambil melihat pemergiannya. Mengapa aku tidak memberitahu Makcik Timah akan sebab yang sebenar mengapa aku selalu ponteng sekolah? Mungkin Makcik Timah boleh membantuku.

Aku membuka pintu rumah setelah Makcik Timah hilang di sebalik pintu rumahnya. Sebaik sahaja aku membuka pintu rumah aku dapat mendengar hilaian tawa daripada bilik tidur ibuku walaupun pintu biliknya tertutup rapat. Aku berasa jijik apabila aku menggambarkan ibuku dan Pakcik Saiful di dalam bilik tidur itu.

Semasa aku ingin melintas bilik tidur ibuku, pintu bilik dibuka dan ibuku melangkah keluar. Dia memandangku dengan tajam sebelum pandangannya menyorot ke arah dulang yang masih berada di tanganku.

“Apa lagi yang orang tua tu bagi? Setiap hari mesti ada saja benda yang dia bagi! Jangan ingat yang aku tak tahu yang dia sengaja tunjuk baik sebab dia nak tahu setiap apa yang berlaku dalam rumah ni!”

Aku memandang wajah ibuku yang masam mencuka. “Makcik Timah berikan pulut kuning. Hari ni hari jadi Alia.“

Ibuku bercekak pinggang. “Aku peduli apa? Yang kau tu suka sangat layan orang tua tu kenapa?” Dia memiat telingaku. Dulang yang masih berada di tanganku dirampasnya dengan kasar dan dilemparkannya ke lantai.

Aku hanya mampu melihat pulut kuning pemberian Makcik Timah itu jatuh ke lantai. Pada saat itu aku tidak dapat membendung air mataku lagi. Aku terus melarikan diri ke bilik tidurku. Pakcik Saiful yang baru sahaja melangkah keluar daripada bilik tidur dengan hanya berseluar pendek tersenyum sinis melihat gelagatku.

Aku menangis sepuas hatiku di dalam bilik tidurku. Aku mencurahkan segala air mata yang aku pendam selama ini. Aku berasa hampa dengan sikap ibuku yang tidak pernah berubah. Ibuku hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hati dan perasaanku. Kejam! Ibuku sungguh kejam!

Aku mengesat air mataku. Kalau sudah ibuku tidak mempedulikanku, untuk apa aku masih berada di sini? Mengapa aku tidak menunaikan apa yang diingininya selama ini? Tanpa berlengah aku bangkit lalu mula mengemas beg sekolahku dengan pakaianku. Aku sudah nekad! Aku akan melarikan diri daripada rumah durjana ini!

Aku membuka pintu bilikku. Namun aku terkejut apabila aku melihat bapa tiriku tercegat di luar pintu bilikku. Bibirnya mengukir senyuman kambing sementara matanya meratahi wajah dan menjilati tubuhku yang gebu.

“Perempuan bedebah tu dah keluar. Sekarang aku bebas untuk melakukan apa yang aku idamkan selama ni!” Sebelum sempat aku menepis dia sudah pun menarikku ke dalam dakapannya.

Aku cuba melepaskan diriku tetapi cengkaman di pergelangan tanganku sungguh kejap. Aku mula menjerit. Dengan pantas Pakcik Saiful menekup mulutku. “Diam!” Dia membelakangkan tubuhku ke dinding lalu merentap bajuku.

Aku menggeletar. Inikah nasibku? Diperkosa oleh bapa tiri sendiri? Tidak! Aku tidak rela! Aku menjerit dan meronta sekuat hatiku. Pakcik Saiful hanya mentertawakanku. Lelaki itu seperti sudah kehilangan akal. Aku menggigit tangannya. Pakcik Saiful mengerang kesakitan lalu melepaskan tanganku.

Aku terus berlari ke dapur. Aku mencapai sebilah pisau lalu menghadap Pakcik Saiful yang sudah pun berada di luar pintu dapur. Aku mengacukan pisau yang terhunus di tanganku ke arahnya.

“Jangan dekat! Jangan ingat yang Alia tak berani untuk gunakan pisau ni!”
Pakcik Saiful tersenyum sinis. Dia melangkah setapak ke hadapan tanpa mempedulikan ugutanku.

Aku menelan air liur. Aku berundur setapak demi setapak ke belakang. Nafasku turun naik menahan ketakutan. Aku mengenggam pisau di tanganku dengan lebih kuat.

Pakcik Saiful menerpa ke arahku lalu memaut tubuhku. Dia cuba melucutkan pisau dari tanganku. Aku tahu kekuatanku tidak dapat menandingi kekuatannya. Namun aku tidak mudah menyerah kalah. Aku menolak pisau di tanganku ke arah Pakcik Saiful dengan sekuat tenagaku, dan…

Pakcik Saiful memandangku kosong dengan mata berpinar-pinar sebelum tubuhnya jatuh ke lantai terkulai layu. Aku melihat pisau yang berlumuran darah di tanganku. Aku tergamam. Apa yang telah aku lakukan? Aku membiarkan pisau itu melorot daripada tanganku.

“Pembunuh!”

Aku memandang ke arah pintu dapur. Ibuku tercegat di situ dengan wajah yang pucat. Dia memandangku kemudian mengalihkan pandangan ke arah sekujur tubuh Pakcik Saiful yang bermandikan darah sebelum memandangku semula.

“Pembunuh!”

Ibuku berlari ke arahku lalu mula menampar dan memukulku sekuat hatinya. Aku merelakan sahaja kerana aku diselubungi perasaan bersalah. Aku menerima segala tamparan dan pukulan sebagai balasan perbuatanku. Aku dapat merasakan darah mengalir di bibirku. Namun aku membiarkannya sahaja. Ibuku terus menampar dan memukulku, sehinggalah pihak polis tiba.

Berita pembunuhan Pakcik Saiful terpampang di dada akhbar tempatan pada keesokan harinya. Ramai yang terkejut dengan berita pembunuhan itu. Siapa sangka gadis berumur 14 tahun seperti aku boleh melakukan pembunuhan. Sepanjang kes pembunuhanku dibicarakan, sepanjang itu jugalah aku mendapat perhatian ramai. Aku tidak menduga peristiwa pembunuhan itu menjadikan aku seorang menjadi seorang yang popularit persis seorang selebriti.

Aku ditempatkan di Rumah TumpanganPertapis. Aku bahagia di sini. Mungkin ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku. Walaupun ibuku masih belum memaafkanku, aku tetap berharap yang suatu hari nanti dia akan sedar yang aku tidak pernah berniat untuk membunuh Pakcik Saiful.

Bukan pintaku untuk menjadi bebanan kepada kedua orang tuaku. Juga bukan pintaku untuk memusnahkan harapan mereka. Tetapi siapa aku untuk melawan takdir… dan siapa mereka?

Halizah Bte Hamdan
Menengah 4E2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: