Monday, July 21, 2008

Suratan Takdir

Farhan menatap wajah Farisha yang lesu dari luar bilik itu. Sudah seminggu isterinya terlantar dalam keadaan koma. Seminggu itu juga kehidupannya menjadi tidak menentu.

“Celaka!” Farhan melempaskan penumbuk kanannya ke arah dinding. Mereka yang sedang berlalu di hadapan wad itu memandangnya dengan pelik. Namun, Farhan tidak menghiraukan mereka semua. Kesakitan yang mula meresap ke dalam genggamannya pun tidak dipedulikannya. Hanya perasaan marah yang membara dibiarkan membakar dirinya. Marah pada diri sendiri, marah pada takdir.

Ini semua salah aku! Salah aku!!! Farhan menekapkan kedua belah tangannya ke muka. Dia kesal dengan sikapnya selama ini. Namun, apa gunanya sesal kerana masa tidak dapat diputar semula. Seperti kata orang, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Tidak mungkin dia dapat memaafkan dirinya sendiri. Dia teringat bagaimana dia telah menghina isterinya sepanjang enam bulan mereka mendirikan rumahtangga. Suami apa dia kalau isteri selalu ditengking sesuka hati? Walaupun perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta, ataupun suka sama suka, tidak bermaksud dia boleh memperlakukan Farisha sedemikian rupa. Sesetengah isteri lain sudah tentu akan meninggalkan suami mereka. Tetapi Farisha?

Farisah sabar dengan sikap Farhan. Dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Makan minum Farhan tetap dijaga. Pakaian Farhan juga sentiasa bersih. Hanya Farhan sahaja yang tidak menghargainya. Sudahlah dia tidak pernah lekat di rumah. Ada-ada sahaja alasan yang diberi. Mesyuaratlah, temujanji dengan klienlah, dan bermacam lagi alasan. Padahal hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang dilakukannya di luar rumah. Farisha pun tidak menyangka yang dia telah dipermainkan oleh Farhan. Sehinggalah seminggu yang lalu.

“Abang!”

Farhan menoleh. Dia menjadi tidak keruan apabila melihat Farisha sedang berjalan ke arahnya. Macam mana dia boleh berada di sini? Farhan menggelabah.

Farisha mencium tangan Farhan. “Abang buat apa di sini? Kan abang cakap ada mesyuarat?”

“Abang… Abang… “
Apa yang hendak dikatakan oleh Farhan tersekakt di kerongkongnya apabila seorang wanita yang bermekap tebal dan berpakaian seksi melangkah keluar daripada sebuah butik yang berhampiran lalu memaut lengannya dengan manja.

“Sayang, marilah. Kita tengok butik lain.”

Farhan melihat wajah isterinya berubah serta merta. Farisha mengambil beberapa langkah ke belakang sambil menggelengkan kepalanya seakan menafikan apa yang sudah terbukti di hadapan matanya. Kemudian dia terus memusingkan tubuhnya lalu berlari meninggalkan tempat itu.

“Farisha!!!”

Farhan melepaskan pautan tangan Anita lalu mengejar Farisha. Orang ramai yang berada di situ menghambat pergerakannya. Dari jauh, dia melihat Farisha meluru keluar melalui pintu masuk. Sebaik sahaja Farhan tiba di luar pintu masuk, matanya liar mencari kelibat Farisha. Dilihatnya, Farisha sedang menyeberangi jalan. Kenderaan yang melintas tidak dihiraukan oleh Farisha. Sebuah kereta berwarna biru meluru ke arahnya dengan laju. Satu dentuman yang kuat boleh didengar sejurus kemudian.

Farhan memejamkan mata. Tidak sanggup dia mengingat semula apa yang berlaku seminggu yang lalu. Memang ini semua salahnya.

Farhan tersentak apabila bahunya disentuh orang. Dia menoleh. Doktor Rosyam sedang berdiri di sebelahnya sambil memerhatikannya.

“Sabarlah, Farhan. Berdoa pada Tuhan. Insya Alah, Farisha akan sedar.”

Doktor Rosyam mengamati wajah anak muda di hadapannya itu. Kasihan dia melihat Farhan. Selama seminggu Farisha terlantar di hospital itu, selama itu jugalah Farhan tidak pernah meninggalkan katil isterinya. Pakaiannya menjadi tidak terurus.Tubuhnya juga kelihatan susut sedikit. Bimbang betul Farhan akan keadaan isterinya sehingga dirinya sendiri pun tidak diambil kisah.

“Cubalah Farhan berbual dengannya. Dia mungkin dapat mendengar. Cuma dia berada di dalam dunia yang berlainan yang tidak membolehkan dia membalas. Mungkin dengan cara itu Farisha akan sedar,” kata Doktor Rosyam.

Farhan menganggukkan kepalanya dengan perlahan. Entah Farhan faham atau tidak itu Doktor Rosyam tidak tahu. Dia menepuk bahu Farhan lalu berlalu dari situ. Farhan terus berdiri di luar bilik itu sebelum melangkah masuk. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi di sebelah katil Farisha lalu menggengam erat tangan Farisha. Wajah Farisha direnungnya tajam bagaikan mahu mengingat setiap butir wajahnya yang ayu. Wajah itulah yang dibencinya dahulu, dan wajah itulah yang dirinduinya kini. Tanpa disedari, air mata mula mengalir di pipi Farhan.

“Isha, maafkan abang!”

Namun ucapannya itu tidak membuahkan sebarang reaksi daripada Farisha. Isterinya itu masih terlantar kaku. Apa yang dikatakan oleh Doktor Rosyam terngiang-ngiang di telinganya. Farhan menarik nafas panjang. Mungkin ini ialah masanya untuk dia meluahkan segala yang terpendam.

“Isha, maafkan abang! Abang tahu ini semua salah abang. Abang bukan seorang suami yang baik. Abang gagal untuk menepati janji abang untuk menjaga Isha. Abang berdosa!”

Farhan menyeka air mata yang kembali berlinangan.

“Bangunlah, Isha! Abang janji, bila Isha sedar nanti, kita bina semula hubungan kita. Abang akan sentiasa berada di sisi Isha. Abang tidak akan mempersiakan Isha lagi. Abang janji Isha!”

Farhan mengusap tangan Isha. Apa lagi yang boleh dilakukannya untuk membuat Farisha sedar. Terasa sungguh kerdil dirinya pada saat itu. Segalanya di luar kemampuannya. Keresahan mengasak dadanya sehingga membuatnya meninggikan suaranya.

“Dengar sini, Isha lebih baik Isha bangun sekarang juga! Kalau tidak, abang tidak akan pedulikan Isha lagi! Ingat lagi Anita, perempuan yang Isha nampak dengan abang? Kalau Isha tidak bangun abang akan kahwin dengan dia. Dia memang sudah lama menunggu Isha tinggalkan abang. Isha mahu terjadi sebegitu?”

Farhan mengamati wajah Farisha sekali lagi. Tidak terkata perasaan gerun yang mencengkam hatinya jika Farisha pergi untuk selamanya. Baru sahaja perasaan rindu dan sayang menapak di hatinya orang yang dirindui dan disayanginya itu boleh pergi bila-bila masa. Apakah adil semua itu?

“Isha bangun sayang! Abang tidak sanggup kalau Isha tinggalkan abang. Ada banyak perkara yang mahu abang cakap dengan Isha. Ada banyak tempat yang abang mahu tunjukkan kepada Isha. Tetapi abang tidak mampu untuk melakukan semua itu kalau Isha terus terlantar begini. Tolonglah, Isha! Abang sayangkan Isha!”

Tidak semena-mena, bilik itu bergema dengan bunyi yang kuat daripada mesin di sebelah katil yang berfungsi mengawasi degupan jantung Farisha. Hati Farhan bagaikan direntap. Barulah dia sedar Farisha tidak bernafas lagi.

“Tidak…Tidak…Tidak!!!

Abang,

Maafkan Isha jika kehadiran Isha selama ini hanya menyeksakan hidup abang. Sungguh Isha tidak pernah berniat sebegitu. Isha terima lamaran abang pun kerana semenjak dahulu lagi memang Isha sayangkan abang. Tetapi abang tidak tahu semua itu. Abang tidak pernah mengambil tahu perasaan Isha, apatah lagi untuk menyelami perasaan yang dalam ini. Namun, Isha bertekad yang suatu hari nanti abang akan berubah. Tetapi sayang, ternyata hati abang memang payah untuk dilembutkan. Apakah erti ikatan perkahwinan ini jika kita berdua hanya dibelenggu kesengsaraan.

Farisha,
Farhan menutup lembaran dairi itu. Apa yang terkandung dalam dairi itu hanya menimbulkan perasaan pilu dan sesal yang menghantui dirinya semula. Mengapa harus jadi begini? Mengapa baru sekarang dia sedar akan ketulusan hati Farisha? Sekarang segalanya sudah terlambat. Kalau dari dahulu dia mengetepikan keegoannya, tentu ini semua tidak akan berlaku. Farhan mengeluh. Apa gunaya sesal kalau nasi sudah pun menjadi bubur? Ini semua takdir Tuhan, dan mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, Farhan pasrah.

Halizah Hamdan
Menengah 4E2
Sekolah Menengah Dunearn


Korban Nafsu

Aku mencampakkan beg sekolahku di atas bangku lalu menghempaskan punggungku di atas bangku yang sama. Aku mendengus. Bosan! Aku tiada rancangan pada hari itu. Malas pula untuk melepak di kompleks membeli belah seperti apa sering aku selalu lakukan setiap kali aku ponteng sekolah. Entah mengapa pula kakiku membawaku ke pantai West Coast pada hari itu !

Aku memerhatikan ombak yang memukul pantai. Seperti pantai yang bergelora itu aku juga rasa hidupku bagai dipukul ombak yang ganas yang tidak dapat aku elakkan. Kudratku tidak sekuat mana untuk melawan takdir. Usiaku baru 14 tahun tetapi aku sudah dicabar dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada siapa yang dapat aku berpaling ataupun sekadar berkongsi kekusutan yang aku alami kini. Entahlah…

Mataku melihat seluruh pantai yang luas itu. Pandanganku tertancap pada seorang anak kecil yang berusia lebih kurang 2 tahun yang sedang bermain bersama seorang wanita yang aku andaikan adalah ibunya. Aku tersenyum melihat telatah anak kecil itu. Comel. Dia pasti menjadi kebanggaan serta harapan kedua ibu bapanya. Tanpaku sedari air mataku mula mengalir.

Dengan pantas aku menyeka air mataku. Aku marah pada diri ku sendiri. Mengapa aku harus menangis? Walaupun aku menitiskan air mata darah sekali pun, ia tidak akan mengubah keadaan. Air mataku bukanlah berharga setakat mana pun sehingga dapat mengubah perasaan serta tanggapan ibuku terhadap diriku.

Hatiku dicengkam perasaan sayu yang tidak terhingga. Mengapa hidupku tidak seperti anak yang lain? Anak yang hidup bahagia di samping kedua orang tua yang menyayangiku, yang menjadi tempat perlindunganku daripada segala onak kehidupan? Namun siapa kata hidup ini adil? Aku merupakan seorang anak yang lahir daripada hubungan sulit kedua ibu bapaku. Kelahiranku tidak diharapkan kerana aku dilahirkan atas dasar nafsu. Aku dilahirkan akibat keterlanjuran mereka. Disebabkan akulah, bapaku terpaksa berkahwin dengan ibuku hanya untuk menutup malu.

Semenjak aku kecil lagi, aku tidak pernah merasai curahan kasih sayang daripada kedua orang tuaku. Bapaku seorang penagih dadah. Sudah banyak kali dia keluar masuk penjara disebabkan ketagihannya itu. Disebabkan ketagihannya itu jugalah aku jarang bertemu dengan bapaku. Ibuku… ibuku pun bukan seperti ibu yang lain. Dia tidak pernah menganggap aku sebagai anaknya. Selama ini dia menyalahkan aku kerana dia menganggap aku anak sial dan penyebab dia terpaksa berkahwin dengan bapaku dalam usia semuda 18 tahun. Belum puas dia merasai kebebasan dunia, aku hadir dan sekaligus mengubah haluan hidupnya. Akulah pemusnah harapannya. Aku masih ingat lagi kata-kata kesat yang pernah dilemparkannya kepadaku.

“Budak celaka! Tak sepatutnya kau lahir dalam dunia ni! Sebab kaulah aku terpaksa menanggung malu! Sebab kaulah hidup aku jadi begini! Sepatutnya kau mati sahaja! Baru senang hidup aku!”

Aku yang baru berusia 4 tahun hanya tercengang mendengar cemuhan ibuku itu. Tidak tahu sama ada untuk menangis ataupun berdiam sahaja. Reaksiku yang hanya selamba menerima segala tengkingan membuatkan kemarahan ibuku meluap-luap. Dia mencubit lenganku. Kemudian dia mencapai batang penyapu lalu dilibas ke tubuhku.

“Jangan ibu… sakit !” Aku merintih.

Bunyi guruh di langit menyedarkan aku daripada lamunanku. Aku memerhatikan awan hitam yang berarak perlahan di dada langit. Barulah aku sedar yang hari akan hujan. Aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sahaja. Aku mengeluh. Walaupun bagi orang lain rumah itu merupakan tempat berteduh yang paling selamat, bagiku hakikat sebenarnya amat jauh berlainan. Memang aku rasakan kehidupan di rumah itu bagaikan neraka yang didiami oleh orang yang tidak kenal erti dosa dan pahala.

Baru dua bulan yang lalu ibuku berkahwin lagi. Itupun setelah setahun dia bercerai dengan bapaku. Namun sebelum itupun ibuku telah menjalinkan hubungan dengan Pakcik Saiful. Aku berasa jijik setiap kali aku memikirkan tentang perbuatan ibuku itu. Aku sebagai anak sendiri tahu yang perbuatannya itu salah dari segi agama. Tidakkah ibu sedar akan hal itu? Tahukah dia bahawa dia telah melakukan dosa yang besar dengan mengambil kesempatan akan ketidakhadiran bapaku yang meringkuk di penjara untuk melepaskan nafsunya? Ibuku bergelumang dengan maksiat, dan kini aku rasakan seperti aku pun turut diheret sama ke lembah yang hina itu. Bapa tiriku bukan seperti apa yang aku sangkakan. Dalam diam dia ibarat musang berbulu ayam. Di hadapan ibuku dia berlagak baik, tetapi di belakangnya hanya Allah sahaja yang tahu. Sudah beberapa kali bapa tiriku cuba berkelakuan tidak senonoh terhadapku. Nyaris-nyaris aku diperkosanya. Selama ini aku berjaya untuk mempertahankan kesucianku, tetapi sejauh mana aku boleh bertahan?

Aku terlalu melayan fikiran sehinggakan aku tidak sedar yang aku sudah pun tiba di hadapan flat rumahku. Sedang aku membuka kunci rumah, pintu rumah jiranku dibuka. Makcik Timah melangkah keluar dengan menatang sebuah dulang. Dia tersenyum melihatku.

“Alia baru pulang? Makcik buatkan pulut kuning untuk Alia. Hari ni hari jadi Alia kan?”

Aku mengerutkan dahiku. Betulkah hari ini hari jadiku? Aku bermonolog dalam hati. Kemudian aku menepuk dahiku. Bagaimana aku boleh terlupa akan hari jadiku sendiri? Mungkin kerana aku terlalu dibelenggu masalahku sehinggakan aku terlupa.

Aku menyambut dulang yang dihulurkan oleh Makcik Timah. Aku sungguh terharu kerana Makcik Timah mengingati hari jadiku. Ibuku? Jangan harap. Walaupun dialah yang telah melahirkanku, dia tidak pernah mengingati hari jadiku, apatah lagi untuk menyambutnya bersamaku.

“Terima kasih Makcik.” Sedaya upaya aku cuba menahan air mataku daripada mengalir.

Makcik Timah tersenyum. “Makcik doakan semoga Alia panjang umur dan murah rezeki. Makcik juga harapkan semoga Alia menjadi seorang anak yang baik dan seorang manusia yang berguna pada masyarakat. Alia fahamkan apa yang Makcik cuba katakan ni?”

Aku mengangguk. Aku tahu yang selama ini Makcik Timah sedar yang aku selalu ponteng sekolah. Sungguhpun begitu aku beruntung kerana masih ada orang yang mengambil berat tentang diriku. Bukan seperti ibuku. Dia tidak pernah mengambil berat tentang diriku. Perihal aku ponteng sekolah pun dibuatnya endah tidak endah sahaja. Kalau sudah dia bersikap sebegitu, mana mungkin aku dapat memberitahu ibuku tentang perangai Pakcik Saiful yang sebenar? Nanti dia menuduh aku sengaja mereka-reka cerita. Ibuku terlalu sayangkan Pakcik Saiful. Sudah tentu dia lebih mempercayai kata-kata Pakcik Saiful daripada aku.

Makcik Timah menepuk tanganku sebelum berlalu dari situ. Aku tercegat di luar pintu rumahku untuk beberapa saat sambil melihat pemergiannya. Mengapa aku tidak memberitahu Makcik Timah akan sebab yang sebenar mengapa aku selalu ponteng sekolah? Mungkin Makcik Timah boleh membantuku.

Aku membuka pintu rumah setelah Makcik Timah hilang di sebalik pintu rumahnya. Sebaik sahaja aku membuka pintu rumah aku dapat mendengar hilaian tawa daripada bilik tidur ibuku walaupun pintu biliknya tertutup rapat. Aku berasa jijik apabila aku menggambarkan ibuku dan Pakcik Saiful di dalam bilik tidur itu.

Semasa aku ingin melintas bilik tidur ibuku, pintu bilik dibuka dan ibuku melangkah keluar. Dia memandangku dengan tajam sebelum pandangannya menyorot ke arah dulang yang masih berada di tanganku.

“Apa lagi yang orang tua tu bagi? Setiap hari mesti ada saja benda yang dia bagi! Jangan ingat yang aku tak tahu yang dia sengaja tunjuk baik sebab dia nak tahu setiap apa yang berlaku dalam rumah ni!”

Aku memandang wajah ibuku yang masam mencuka. “Makcik Timah berikan pulut kuning. Hari ni hari jadi Alia.“

Ibuku bercekak pinggang. “Aku peduli apa? Yang kau tu suka sangat layan orang tua tu kenapa?” Dia memiat telingaku. Dulang yang masih berada di tanganku dirampasnya dengan kasar dan dilemparkannya ke lantai.

Aku hanya mampu melihat pulut kuning pemberian Makcik Timah itu jatuh ke lantai. Pada saat itu aku tidak dapat membendung air mataku lagi. Aku terus melarikan diri ke bilik tidurku. Pakcik Saiful yang baru sahaja melangkah keluar daripada bilik tidur dengan hanya berseluar pendek tersenyum sinis melihat gelagatku.

Aku menangis sepuas hatiku di dalam bilik tidurku. Aku mencurahkan segala air mata yang aku pendam selama ini. Aku berasa hampa dengan sikap ibuku yang tidak pernah berubah. Ibuku hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hati dan perasaanku. Kejam! Ibuku sungguh kejam!

Aku mengesat air mataku. Kalau sudah ibuku tidak mempedulikanku, untuk apa aku masih berada di sini? Mengapa aku tidak menunaikan apa yang diingininya selama ini? Tanpa berlengah aku bangkit lalu mula mengemas beg sekolahku dengan pakaianku. Aku sudah nekad! Aku akan melarikan diri daripada rumah durjana ini!

Aku membuka pintu bilikku. Namun aku terkejut apabila aku melihat bapa tiriku tercegat di luar pintu bilikku. Bibirnya mengukir senyuman kambing sementara matanya meratahi wajah dan menjilati tubuhku yang gebu.

“Perempuan bedebah tu dah keluar. Sekarang aku bebas untuk melakukan apa yang aku idamkan selama ni!” Sebelum sempat aku menepis dia sudah pun menarikku ke dalam dakapannya.

Aku cuba melepaskan diriku tetapi cengkaman di pergelangan tanganku sungguh kejap. Aku mula menjerit. Dengan pantas Pakcik Saiful menekup mulutku. “Diam!” Dia membelakangkan tubuhku ke dinding lalu merentap bajuku.

Aku menggeletar. Inikah nasibku? Diperkosa oleh bapa tiri sendiri? Tidak! Aku tidak rela! Aku menjerit dan meronta sekuat hatiku. Pakcik Saiful hanya mentertawakanku. Lelaki itu seperti sudah kehilangan akal. Aku menggigit tangannya. Pakcik Saiful mengerang kesakitan lalu melepaskan tanganku.

Aku terus berlari ke dapur. Aku mencapai sebilah pisau lalu menghadap Pakcik Saiful yang sudah pun berada di luar pintu dapur. Aku mengacukan pisau yang terhunus di tanganku ke arahnya.

“Jangan dekat! Jangan ingat yang Alia tak berani untuk gunakan pisau ni!”
Pakcik Saiful tersenyum sinis. Dia melangkah setapak ke hadapan tanpa mempedulikan ugutanku.

Aku menelan air liur. Aku berundur setapak demi setapak ke belakang. Nafasku turun naik menahan ketakutan. Aku mengenggam pisau di tanganku dengan lebih kuat.

Pakcik Saiful menerpa ke arahku lalu memaut tubuhku. Dia cuba melucutkan pisau dari tanganku. Aku tahu kekuatanku tidak dapat menandingi kekuatannya. Namun aku tidak mudah menyerah kalah. Aku menolak pisau di tanganku ke arah Pakcik Saiful dengan sekuat tenagaku, dan…

Pakcik Saiful memandangku kosong dengan mata berpinar-pinar sebelum tubuhnya jatuh ke lantai terkulai layu. Aku melihat pisau yang berlumuran darah di tanganku. Aku tergamam. Apa yang telah aku lakukan? Aku membiarkan pisau itu melorot daripada tanganku.

“Pembunuh!”

Aku memandang ke arah pintu dapur. Ibuku tercegat di situ dengan wajah yang pucat. Dia memandangku kemudian mengalihkan pandangan ke arah sekujur tubuh Pakcik Saiful yang bermandikan darah sebelum memandangku semula.

“Pembunuh!”

Ibuku berlari ke arahku lalu mula menampar dan memukulku sekuat hatinya. Aku merelakan sahaja kerana aku diselubungi perasaan bersalah. Aku menerima segala tamparan dan pukulan sebagai balasan perbuatanku. Aku dapat merasakan darah mengalir di bibirku. Namun aku membiarkannya sahaja. Ibuku terus menampar dan memukulku, sehinggalah pihak polis tiba.

Berita pembunuhan Pakcik Saiful terpampang di dada akhbar tempatan pada keesokan harinya. Ramai yang terkejut dengan berita pembunuhan itu. Siapa sangka gadis berumur 14 tahun seperti aku boleh melakukan pembunuhan. Sepanjang kes pembunuhanku dibicarakan, sepanjang itu jugalah aku mendapat perhatian ramai. Aku tidak menduga peristiwa pembunuhan itu menjadikan aku seorang menjadi seorang yang popularit persis seorang selebriti.

Aku ditempatkan di Rumah TumpanganPertapis. Aku bahagia di sini. Mungkin ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku. Walaupun ibuku masih belum memaafkanku, aku tetap berharap yang suatu hari nanti dia akan sedar yang aku tidak pernah berniat untuk membunuh Pakcik Saiful.

Bukan pintaku untuk menjadi bebanan kepada kedua orang tuaku. Juga bukan pintaku untuk memusnahkan harapan mereka. Tetapi siapa aku untuk melawan takdir… dan siapa mereka?

Halizah Bte Hamdan
Menengah 4E2
Sekolah Menengah Dunearn

Ingat Daku Dalam Doa Mu

Matahari telah hampir masuk ke peraduannya. Aku sedang duduk di tepian pantai sendiri, tiada berteman. Diri ini tidak lagi berteman setelah kehilangan orang yang tersayang. Sang mentari mula beransur turun ke dasar laut yang tidak kelihatan. Cahaya merah jingga telah mulai terbentang dan bayangannya mengindahkan lagi lautan yang tenang tak berombak. Senja akan berlabuh sebentar lagi. Tiupan angin senja bagaikan membawa kenangan silam. Ingatanku pada kenangan silam berputar satu demi satu di kotak fikiranku ini. Walaupun telah kucuba menepis kenangan silam itu, namun kadang kala ia kembali segar dalam ingatan ku. Air jernih merembes keluar dari kelopak mataku lalu gugur satu persatu.

Amy, dialah yang hadir dalam hidup ku dan mengajarku erti cinta. Dahulu, ketika di bangku sekolah aku sering terluka oleh cinta. Perasaanku sering kali dipermainkan dan dihancurkan oleh kaum Adam. Tetapi, hidupku berubah setelah aku mengenali Amy. Walaupun pada mulanya aku merasakan bahawa semua lelaki adalah sama, namun Amy tidak pernah berputus asa untuk mengubah cara permikiranku. Aku sungguh bertuah kerana mengenali Amy. Tiba-tiba aku tersentak dari lamunanku. Kicauan burung-burung yang pulang ke sarang membuat aku tersentak daripada lamunanku. Aku menangis. Aku tidak dapat menahan sebak di dada. Itu semua dahulu. Kini, dia sudah tiada di alam yang fana ini. Amy sudah pergi menyahut seruan Illahi. Allah lebih menyayanginya lebih daripada aku. Walaupun pada mulanya aku tidak dapat menerima hakikatnya, namun aku tetap tabahkan diri in dan kini aku telah berjaya menerima hakikat bahawa Amy sudah tiada.

Aku masih ingat lagi bagaimana aku mula berkenalan dengan Amy. Waktu itu aku baru putus cinta dan cuba melarikan diri dari orang-orang di sekelilingku. Aku ingin menenangkan fikiranku sambil menikmati udara segar di tepian pantai Changi. Sedang aku menangis seorang diri, seorang jejaka datang menghampiriku dan menghulurkan sehelai sapu tangan padaku. Aku mengesat air mataku sambil lalu mengukirkan senyuman padanya.

Jejaka tersebut tiba-tiba bersuara, “Walaupun saya tidak kenal saudari namun saya faham apa yang saudari sedang lalui sekarang ini.”

Aku terdiam kehairanan. Aku tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh beliau. Apa maksudnya bahawa dia faham akan perasaan ku ini. Tidak! Tiada seorang pun yang faham akan hati dan perasaan ku ini. Oleh kerana itu, aku sering di permainkan dan dikecewakan.

“Saudari gagal dalam percintaankah? Saya faham betapa sakitnya hati seorang wanita apabila gagal dalam percintaan. Namun saudari harus teruskan hidup ini. Jangan berputus asa,” katanya penuh simpati

Kata-kata jejaka itu memberi aku semangat untuk meneruskan hidupku ini. Namun aku tidak tahu sekiranya aku masih dapat menerima kehadiran sebarang lelaki di hati ku ini lagi. Mungkin aku dapat menerimanya tetapi mungkin setelah bertahun-tahun lamanya dan setelah aku kenali apa erti cinta sejati. Jejaka itu mula memperkenalkan dirinya kepada ku. Namanya Amy. Aku juga memperkenalkan diriku padanya. Bermacam-macam hal kuluahkan padanya. Segala isi hati ku ini kuluahkan keluar dari hatiku ini. Namun begitu segala masalah peribadiku, kusembunyikan daripadanya. Setelah puas aku menceritakan segalanya padanya, aku merasakan semacam kelegaan di hatiku ini. Selama ini aku memendamkan perasaan ku. Namun kini semuanya aku luahkan pada insan yang baru aku kenali ini.

Semenjak pertemuan pertama itu, aku dan Amy semakin rapat. Aku sering menghabiskan masaku bersamanya. Aku dan Amy bagaikan is dan kuku, tidak dapat dipisahkan. Semakin hari, semakin rapat hubungan kami. Kadang kala, hati ini cuba meluahkan rasa cinta padanya, namun aku takut. Aku tidak tahu samada perasaan yang aku rasakan ini adalah cinta atau kasih antara seorang teman pada teman yang lain. Aku cuba menafikannya. Aku takut untuk melalui alam percintaan agi. Takut akan gagal dalam percintaan. Aku takut dipermainkan lagi oleh kaum Adam. Lagi pun, aku tidak tahu sekiranya Amy dapat menerima cintaku dan adakah dia sendiri mencintai diri ini? Bermacam persoalan berputar di kotak fikiran ku dan tiada sebarang jawapan yang aku terima.

Kini, sudah lebih dua tahun aku dan Amy menjadi teman baik. Kini, aku sedar bahawa hati ini telah menganyam bibit-bibit kasih menjadi bakul percintaan. Aku amat menyayangi dirinya. Walaupun begitu, aku masih belum meluahkan isi hati ku padanya. Segalanya kusimpan di dasar hati ini. Aku takut bahawa cintaku akan ditolak jauh-jauh. Mana tahu dia sudah ada pilihan hati. Lagi pun tak manis sekiranya aku yang berterus terang akan niat di hati ini. Biarlah aku pendamkan segalanya. Pada suatu hari, Amy mengajak aku berjalan-jalan di tepian pantai. Sudah agak lama kami berdua tidak keluar bersantai. Maklumlah semua sibuk dengan kerja masing-masing. Walaupun aku sibuk, aku tetap meluangkan masaku untuk bersamanya. Seperti yang dijanjikan Amy telah menjemputku di rumah dan kami pun terus menuju ke pantai Changi.

Setibanya di pantai Changi, Amy mengajakku duduk di sebuah bangku berdekatan dengan tempat meletak kereta. Tiupan angin pada petang itu membuat aku kesejukan. Amy yang memerhatikan gerak geriku tertawa riang. Tiba-tiba Amy memelukku erat dalam dakapannya. Aku terkejut lalu ku menoleh ke arah wajahnya dan merenung tajam tepat di matanya. Aku dapat merasakan satu kehangatan dalam dakapannya. Aku tersenyum. Begitu juga dengan Amy. Sememangnya Amy tidak lokek dengan senyuman.

Tiba-tiba Amy berbisik di telinga kanan ku, “ Ada sesuatu yang Amy ingin katakan pada Ila.”

Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda sedia mendengar penjelasannya itu. Aku gementar. Namun, aku cuba sembunyikan rasa gementarku itu daripada Amy.

“Ila, sebenarnya Amy sayang Ila. Maksud Amy, Amy sudah jatuh hati dengan Ila sejak pertama kali bertentang mata dengan Ila. Bila Ila katakan pada Amy bahawa Ila sering dilukai, Amy rasa kasihan pada Ila. Amy tak ingin lihat Ila dilukai oleh mana-mana lelaki lagi,” Amy berkata pada ku.

“Sebenarnya, Ila pun punya perasaan yang sama terhadap Amy. Tetapi Ila takut untuk meluahkan is hati ini. Tapi sekarang, cinta Ila telah dibalas oleh Amy. Ila sayang pada Amy.”

Aku tidak tahu dari mana keberanianku datang untuk meluahkan isi hati ini. Sejak saat itu aku dan Amy adalah sepasang kekasih yang sedang asyik di lamun cinta. Hinggakan kami bercadang untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Suatu hari, malang tidak berbau. Hari itu aku dan Amy bercadang untuk ke kedai untuk memilih cincin pernikahan kami. Namun tidak satu pun cincin yang kami berkenan. Hari sudah larut malam. Aku dan Amy bercadang untuk pulang sahaja. Oleh kerana hujan turun mencurahi bumi dengan lebatnya, Amy menyuruhku menunggunya di luar pusat membeli belah sementara dia pergi mengambil keretanya. Tiba-tiba aku terdengar suatu bunyi yang amat kuat hingga menarik perhatianku untuk melihat apa yang berlaku. Ketika dalam perjalanan ke tempat kejadian, aku terdengar orang ramai memekik meminta tolong kerana terdapat orang yang cedera. Langkah ku semakin laju. Hati ku berdebar-debar. Aku merasakan ada sesuatu yang telah melanda diri Amy. Setibanya aku di tempat kejadian, aku hampir-hampir pengsan.

Amy berlumuran darah. Aku tidak dapat menahan sebak. Aku menangis sepuas hatiku. Air mataku mengalir tanpa henti bagaikan hujan yang sedang mencurah-curah membasahi bumi ini. Aku meminta tolong orang ramai disekeliling ku. Aku binggung. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku hanya dapat berdoa agar Amy dapat diselamatkan. Dengan bantuan orang ramai Amy dapat ku bawa ke hospital dengan ambulan. Aku menaiki ambulan tersebut untuk menemani Amy. Di dalam ambulan tersebut, Amy memberiku sebungkus hadiah dan sepucuk surat. Aku menangis tidak henti. Amy mengesatkan air mat ku. Aku tidak ingin kehilangan Amy.

Tiba-tiba Amy bersuara, “Sayang, jagalah dirimu dengan baik. Percayalah bahawa cintaku pada mu tidak pernah pudar walau sesaat pun. Selamat tinggal sayangku. Moga dikau sentiasa mengingatiku dalam doa mu.”

Setelah Amy mengakhiri kata-katanya, tiba-tiba aku lihat dia sudah tidak bernafas. Amy sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku mendakap Amy. Aku tidak dapat menahan sebak. Jururawat di dalam ambulan itu cuba memujuk ku. Namun, aku tidak dapat menerima hakikat yang Amy telah tiada.

Aku terus menelefon kedua ibu bapaku dan ibu bapa Amy untuk memberitahu mereka apa yang telah berlaku. Walaupun pada mulanya amat payah untuk aku berterus terang akan perkara yang sebenarnya kepada kedua ibu bapa Amy, namun aku tidak dapat menyembunyikannya daripada mereka. Kelak, mereka akan mengetahuinya juga. Pada keesokkan harinya, jenazah Amy dikebumikan di Pusara Abadi. Bungkusan hadiah dan surat yang di serahkan padaku semalam masih berada dalam genggamanku.

Jenazah Amy selamat di kebumikan. Setelah semua sanak-saudara Amy pulang, aku masih lagi berada di tanah perkuburan itu. Aku kini tidak berteman. Keseorangan. Hidupku tiada berteman. Langkahku perlahan. Namun, aku masih tetap ingin menuju ke arah di mana Amy selamat di kebumikan. Kini yang tinggal hanyalah kenangan. Percintaanku dengan Amy terputus di tengah jalan. Amy sudah tiada di dunia yang fana ini. Allah s.w.t. lebih menyayanginya. Aku duduk di sebelah kuburnya. Aku mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Sempat juga aku membacakan surah Yassin kepadanya. Setelah itu, aku mengucup batu nisan yang tercacak di kuburnya. Aku berasa lemah. Aku amat keberatan untuk meninggalkan tanah perkuburan ini. Namun, aku harus teruskan hidup ini. Aku juga harus menerima hakikatnya bahawa Amy sudah tiada.

Setibanya aku di rumah, aku membuka bungkusan hadiah yang diberikan padaku. Setelah aku mengoyakkan bungkusan itu, terdapat sebuah kotak. Pabila aku membuka kotak tersebut, aku amat terperanjat. Di dalam kotak tersebut, terdapat sebentuk cincin berlian. Aku terkejut. Lalu aku mengoyakkan mulut sampul surat itu dan membaca kandungannya.

Ila, pemata hatiku,
Dengan terlayangnya warkah ini ke pangkuan Iia, mungkin Amy sudah lagi tiada di dunia ini. Amy akan pergi buat selama-lamanya. Andainya Amy tiada lagi, janganlah Iia tangisi pemergian Amy. Iringilah pemergian Amy dengan doa restu. Taburilah pusara Amy dengan bunga mewangi sebagai tanda cinta Ila pada Amy. Takdir telah menentukan bahawa kita tidak dapat bersama lagi. Amy memohon ribuan ampun dan maaf dari Ila sekiranya Amy tersalah kata atau tersilap bicara selama perkenalan kita. Halalkan apa yang termakan dan terminum.
Sebelum Amy pergi terimalah sebentuk cincin yang pernah Amy impikan untuk menyarungkannya di jari manismu tetapi… semuanya hanya tinggal impian. Hadiah yang Amy kirimkan ini, Ila buatlah kenangan. Akhir sekali, ingatlah daku dalam doamu. Selamat tinggal sayang sayang…

Yang sentiasa mencintaimu,
Amy

Aku menyarungkan cincin berlian pemberian Amy ke jari manisku sambil menitiskan air mata. Setelah itu aku menatap potret kami berdua yang petik di pantai Changi. Aku menggenggam erat gambar tersebut lalu meratapi pemergian Amy. Aku tidak mungkin dapat mencari pengganti dirinya. Hanya Amy yang aku cintai. Tiba-tiba aku terdengar lagu “Ingat Ku Dalam Doa Mu” nyanyian kumpulan Stings berkumandang di corong radio.

“Alangkah indah kehidupan ini
Seandai engkau terus bersama ku
Kiranya aku menyinggung hati mu..
Maafkan diri ku…oh…sayang
Andainya aku hilang di mata mu...
Ingat…ku dalam doamu...”

Tiba-tiba aku tersentak dari lamunanku dan kembali ke alam yang nyata. Tanpa kusedari, lima tahun sudah berlalu. Sehingga kini aku masih tidak dapat melupakannya. Tapi aku pasti mendung akan berlalu dan langit akan kembali cerah.

Nor Karmilah Bte Mohamed
Menengah 5N2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: