Thursday, July 24, 2008

Bunga Larangan

Bunga Larangan

Keheningan malam yang bersalutkan bintang-bintang bergemerlapan di langit hitam membuat aku terasa kesepian. Bayu dingin mula berhembusan, menerobos kasar menampar-nampar pipiku. Dengan langkah yang lemah, aku menuju ke arah jendela untuk menutupnya. Aku mendongak dan melihat ke arah langit yang ditaburi biji-biji berlian. Aku teringat kepada kata-katanya, "Jika rindu lihatlah pada bintang-bintang dan bintang-bintang kerinduanku pasti bersinar di balik tabir malam itu.”

Entah mengapa jiwaku dicengkam kerinduan yang amat sangat terhadap si dia yang umpama bintang yang pernah menyinari hidupku. Aku biarkan diriku dibuai lamunan.

Rudin. Dialah insan pertama yang ku cinta. Dialah yang telah berjaya mencuri hatiku di sebuah pertemuan yang tidak disangka-sangka. Dialah yang telah membuatku mabuk kerinduan dan hanyalah wajahnya yang sering terbayang-bayang di ruang ingatanku. Dia jugalah yang telah membuatku lemas dalam lautan cinta dan kasih sayangnya. Namun kini, bunga-bunga cintanya gugur di taman cinta. Tiada lagi mentari yang menyinari hidupku. Rudin telah pergi demi kebahagiaan keluargaku.

Aku telah mengenali Rudin sejak di bangku sekolah lagi. Aku tertarik kepada sifatnya yang rendah diri itu dan sikapnya yang suka membantu. Dia juga seorang yang suka berjenaka dan ini membuatkan diriku tidak berasa bosan setiap kali aku bersamanya. Pada mulanya, aku dan Rudin hanyalah kawan biasa tetapi hubungan kami menjadi lebih akrab setelah Rudin dipermainkan bekas kekasihnya. Pada saat itu, Rudin berasa bahawa dunia seakan-akan telah kiamat dan akulah yang selalu berada di sampingnya untuk menggembirakan hatinya. Kami sering menghabiskan masa bersama membuat kerja sekolah dan juga mengulangkaji pelajaran. Dalam jangka masa inilah, tanpa aku sedari, aku mula menaruh perasaan cinta dan kasih sayang terhadap Rudin. Aku akan berasa amat gelisah dan mataku akan mencari-cari bayang Rudin jika sehari tidak memandangnya di sekolah. Namun demikian, aku tidak pernah meluahkan perasaanku kepada Rudin kerana aku takut aku hanya bertepuk sebelah tangan.

Pada suatu hari, sedang aku dan Rudin baru selesai berlari-lari anak di taman East Coast, Rudin menarik tanganku dan mengajakku untuk duduk di penahan ombak.

“Rudin,ada apa ni? Ifah sudah penat ni,” aku bertanya kepada Rudin kehairanan.

“Rudin hendak ajak Ifah lihat matahari terbenam. Sambil itu, kita nikmati suasana senja di tepi pantai ya,” Rudin memberitahuku, deru ombak menelan suaranya.

Aku hanya menganggukkan kepalaku. Aku dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang hendak Rudin beritahuku kerana dia tidak pernah berkelakuan demikian tetapi aku tidak pasti apakah yang hendak diberitahunya meskipun beribu persoalan bermain-main di kotak fikiranku. Kedinginan bayu yang berhembus lembut meresap ke tubuhku. Aku menggesel-gesel kedua belah tanganku untuk menghangatkan tubuhku. Rudin yang memperhatikanku mendekatiku.

“Ifah sejuk?” Rudin menanyaku. Sekali lagi, aku hanya menganggukkan kepalaku.

“Ifah, sebenarnya Rudin sudah lama memendam rasa cinta yang amat sangat terhadap Ifah. Rudin rasa Rudin telah jumpa gadis yang ingin Rudin jadikan permaisuri Rudin satu hari nanti. Ifah, sudikah Ifah terima cinta Rudin?” Rudin memandang tepat ke arah wajahku sambil memegang tanganku.

Aku terdiam mendengar Rudin melafazkan kata-kata cintanya. Aku yang dari tadi hanya tertunduk malu sebenarnya diselubungi semacam gembira yang tidak terkata. Barulah aku tahu sekarang bahawa aku tidak bertepuk sebelah tangan selama ini.

“Rudin, bagaimana dalam pun lautan yang terbentang luas ini, dalam lagi cinta Ifah terhadap Rudin. Rudin sayang, Ifah terima cinta suci Rudin ini,” aku mengungkapkan kata-kata cinta kepada Rudin.

Rudin hanya mengukirkan senyuman yang menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Bunga kegembiraan terserlah di wajahnya. Perlahan-lahan, kami pun mengorak langkah meninggalkan pantai itu.Di situlah bermulanya episod cintaku.

Setelah tiga bulan menjalinkan cinta bersama Rudin, aku pun membawanya pulang ke rumah untuk mengenalkannya kepada kedua orang tuaku. Berbagai-bagai persoalan yang mengalir di sungai darahku. Hatiku berdegup dengan kencang sekali.

“Dapatkah ibu dan ayah merestui hubunganku dengan Rudin dan menerimanya?” bisik hati kecilku.

Rudin yang kelihatan gelisah itu tidak banyak berkata-kata sepanjang perjalanan ke rumahku. Ternyata dirinya dicengkam perasaan yang bercampur-baur.

“Sayang, janganlah risau ya. Insya-Allah semuanya lancar,” kataku kepada Rudin dengan harapan dapat mententeramkan jiwanya.

“Assalamualaikum,”aku memberi salam sebaik sahaja tiba di halaman rumah.

“Waalaikumsalam,” ibu menjawab sambil membuka pintu rumah.

Ibu merenung tepat wajahku seperti harimau yang beranak muda. Renungannya kemudian dialihkan kepada Rudin yang sedang menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ibu. Ibu bersalaman dengan Rudin tetapi dahinya dikerutkan. Wajahnya kelihatan agak bengis.

“Ibu, ini Rudin, teman…” belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, ibu menyampuk.

“Aku tahu ini teman lelaki kau. Kau dengar sini baik-baik. Ibu tidak akan menerimanya. Kau ni anak sulung, biar ibu jodohkan kau dengan lelaki pilihan ibu. Putuskan hubungan kau dengannya!” jerit ibu sambil menarikku ke dalam rumah.

Kata-kata ibu itu bagaikan sembilu tajam yang menusuk hatiku. Air mata mula mengaburi pandanganku. Aku menoleh ke belakang untuk melihat Rudin yang masih tercegat di pintu rumahku. Manik-manik jernih telah pun deras membasahi pipinya. Hatinya pasti remuk dan terguris dengan kata-kata ibu. Kemudian, ibu menghempas daun pintu rumahku. Aku pun berlari menuju ke bilikku dan menangis teresak-esak. Aku tidak sangka ibu akan bersikap sedemikian. Aku amat terluka sekali dengan sikap ibu. Terlerailah sudah janji setia aku terhadap Rudin. Apakan dayaku percintaanku dan Rudin dihujani halangan dari ibuku.

Sejak hari itu, aku dan Rudin tidak lagi menghubungi satu sama lain. Sejak hari itu jugalah hubunganku bersama keluargaku menjadi renggang kerana aku sering menanyakan kepada ibu mengapa dia menentang hebat hubungan cintaku bersama Rudin. Pada suatu hari, tanpaku sangka, aku menerima sepucuk surat dari Rudin.

Sayang,
Telahku redha dengan kejadian hari itu meskipun kadang-kala kata-kata ibumu masih lagi terngiang-ngiang di telingaku. Masih lagiku ingat saat-saat romantis kita bersama. Sungguh indah mengenangkan mereka tetapi kini, semuanya tinggallah kenangan. Diri ini sering merinduimu sayangnya tiada ubat yang dapat menghilangkan rindu di hati ini.
Sayang,
Saat bersamamu aku cukup bahagia.Ingin sekali aku berada di sampingmu sentiasa. Namun keadaan tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Esok tanggal 4 September aku akan pergi membawa diriku jauh dari tanah airku. Aku akan ke Australia untuk melanjutkan pelajaranku. Janganlah kau tangisi pemergianku ini sayang. Kukorbankan cintaku ini demi kebahagiaan keluargamu. Dengan izin Tuhan, kita akan bersua lagi setelah tamat pengajianku.
Salam sayang,
Rudin

Tanpa kusedari, butir-butir mutiara telah membasahi pipiku.Tidakku sangka kejadian itu adalah kali terakhir aku melihat wajahnya yang kacak lagi tampan itu.

“ Terpaksa kau ku tinggalkan
Dalam sejarah cinta
Tinggallah bunga tersayang dalam kenangan
Engkaulah bunga larangan ”

Lagu ‘Bunga Larangan’ nyanyian UG14 yang bermain di corong radio membawaku ke alam nyata. Lagu itu membawa seribu makna kepadaku. Tidakku nafikan, akulah bunga larangan.

Rohayu Bte Abdullah
Menengah 4E3
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: