Monday, July 21, 2008

Cara-Cara Menyemai Minat Membaca Dalam Kalangan Pelajar

Dalam era ledakan informasi ini, masyarakat Singapura seharusnya memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang luas untuk mengharungi cabaran pensejagatan. Dalam dunia kompetitif ini, para pelajar harus berusaha untuk meningkatkan diri mereka dari segi ilmu pengetahuan bagi meraih kejayaan. Tabiat membaca dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah dikatakan semakin lama semakin merosot. Pada hemat saya, tabiat membaca wajib disemai sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang dapat memupuk minat membaca dalam dalam kalangan pelajar masa kini. Mampukah seseorang itu berjaya tanpa mempunyai tabiat membaca.

Kecanggihan media elektronik terutamanya televisyen adalah antara penyebab utama mengapa pelajar-pelajar tidak gemar membaca. Pelajar-pelajar lebih suka menonton televisyen pada masa lapang mereka berbanding dengan membaca buku. Tabiat membaca hanya tertumpu kepada buku-buku teks sekolah yang akan menjamin kecemerlangan dalam peperiksaan. Para pelajar pada umumnya tidak mempunyai masa untuk membaca buku-buku di perpustakaan atau pun di toko-toko buku.

Pemerintah memainkan peranan penting dalam memupuk minat membaca. Pemerintah boleh mengadakan Kempen Membaca. Cara ini boleh menyedarkan para pelajar tentang kepentingan membaca. Pemerintah juga boleh mengurangkan cukai penjualan buku di toko-toko buku supaya pelajar akan lebih berminat untuk membaca daripada menonton televisyen. Pemerintah juga boleh berganding bahu dengan pihak media massa untuk mempromosikan kempen membaca serta memupuk kesedaran tentang kepentingan membaca.

Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan membaca. Pihak sekolah boleh mengadakan Minggu Membaca untuk menggalakkan para pelajar untuk membaca. Sepanjang Minggu Membaca ini, aktiviti-aktiviti seperti pertandingan membaca yang bertujuan untuk menyuburkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Pihak sekolah juga harus mengadakan ceramah kesedaran membaca di sekolah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Oleh kerana pelajar-pelajar miskin tidak mampu untuk mengamalkan tabiat membaca, pihak sekolah seharusnya mengadakan sebuah perpustakaan ataupun pusat sumber yang lengkap supaya ia dapat memberi faedah kepada semua pelajar.

Ibubapa juga boleh memainkan peranan di dalam situasi begini. Ibubapa seharusnya mengamalkan tabiat membaca supaya anak-anak mereka akan mengikut jejak langkah mereka. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini agar anak-anak terdorong untuk mengamalkan tabiat membaca pada masa lapang mereka. Ibu bapa juga harus memilih buku-buku yang sesuai sebagai hadiah untuk anak-anak mereka. Lama-kelamaan, minat membaca mereka akan meningkat.

Seterusnya, pihak penerbit boleh mempromosikan penjualan buku-buku dengan potongan harga istimewa. Mereka perlu menerbitkan buku-buku yang boleh membantu para pelajar dalam pelajaran mereka dan buku-buku yang boleh memberi pengajaran yang positif. Pihak penerbit juga boleh mengadakan pesta buku secara besar-besaran di Ekspo Singapura atau di Pusat Dagangan Singapura. Hal Ini boleh mempromosikan tabiat membaca kepada para pelajar. Pelajar-pelajar lebih gemar menghadiri pesta buku kerana di situ terdapat berbagai jenis buku daripada pelbagai genre.

Ramai pelajar juga dipengaruhi oleh media massa. Saluran Suria boleh mengadakan program membaca seperti rancangan ‘Krayon’ dan lain-lain. Media massa juga boleh mengiklankan slogan membaca supaya kanak-kanak akan berminat untuk membaca. Apabila mereka mempunyai tabiat membaca semenjak kecil lagi, tabiat membaca akan tertanam dalam jiwa mereka secara automatik.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah, membaca adalah kunci kejayaan. Kita harus memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sejak awal lagi bak kata pepatah “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Ini bermakna budaya membaca harus dijadikan gaya hidup kita. Membaca perlu dijadikan prioriti negara demi menjana masyarakat yang kaya ilmu dan berdaya fikir. Sekiranya masyarakat Singapura rajin membaca, tidak hairanlah pada suatu hari nanti, impian Singapura untuk melahirkan rakyat yang arif budiman akan terlaksana.

Anisa Fadly Lam
Menengah 3E1
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: