Thursday, July 24, 2008

Kemarau Kasih

Kemarau Kasih

Samudera yang luas terbentang itu berkilauan disinari cahaya sang mentari yang sedang membenam di garisan horizon. Awan berbaju merah kemegahan bertaburan di dada langit. Angin senja menghembuskan udara yang semakin dingin, seolah-olah berirama melodi syahdu. Rambutku yang hitam lebat mengerbang menutupi raut wajahku yang bujur sirih itu.

Aku bersandar di tepi jendela di dalam kamarku. Aku teringatkan seseorang insan yang mencurahkan kasih sayang sepenuh kepadaku. Insan yang bernama ayah. Ayahku seseorang yang tabah, berani dan penyayang. Sejak aku dan abangku Lukman dilahirkan dalam dunia ini, ayahku mencurahkan kasih sayangnya kepada kami seperti labah-labah cinta kepada telurnya. Malang sekali, ayah telah meninggal dunia tiga tahun dahulu akibat penyakit leukimia. Pemergiannya yang secara tiba-tiba itu amat payah untuk kami sekeluarga mempercayainya. Walau bagaimanapun, sebelum beliau meninggalkan kami, beliau sempat mewalikan pernikahan abangku bersama tunangnya, Kak Linda. Pemergian ayah menjejas prestasi peperiksaanku. Namun, aku tetap belajar bersungguh-sungguh dan berharap akan menjejakkan kaki ke menara gading.

Lamunanku hilang secara spontan. Hatiku ditimbuni kesedihan. Kesedihan yang terlalu sukar untuk dihapuskan dari perasaanku. Tanpa aku sedari, air mata yang sekian lama bergenang di sebalik kelopak mataku jatuh berderai menjadi ribuan serpihan permata di ribaku. Di luar jendela, embun jantan sudah mulai membasahi bumi. Dengan perlahan-lahan, aku mengesat-ngesat air jernih yang semakin deras mengalir di pipiku yang merah gebu. Ya Allah, hanya Kau sahajalah yang mengerti kesedihanku dan dapat mengetahui betapa hancurnya hati ini.

Fikiranku tersentak. Kedengaran suara ibu memanggilku.

“Yana! Anak tak tahu mengenang budi! Mari sini cepat!” Getaran suara yang masih hiba jelas kedengaran.

Aku mengorak langkah keluar dari kamarku menuju ke dapur, di mana ibuku sedang berada. Matanya memancar api kemarahan.

“Ibu, ada apa hal? Kenapa ibu memekik sambil menyebut nama Yana tadi?”, aku menanya ibu dengan perlahan. Bunga-bunga kebimbangan menguntum di lubuk hatiku.

“Tengok ni, anak kurang ajar! Pinggan mangkuk yang dah pecah, kau sengaja tidak mahu pungut dan buang ke dalam tong sampah!” Tangan keras kematu terangkat tinggi, melayang menampar pipi gebuku. Cermin mataku melayang jatuh ke lantai. Panahan busur-busur mata dan tikaman lidah keris menderaku. Keangkuhan ibu membuatkan kebencian semakin menebal di hatiku. Aku tetap bersabar. Ya Allah, ibu sudah mula minum lagi. Kini, beliau tidak berdaya memikirkan tentang keadaan persekitarannya. Kotak fikirannya dipenuhi kemarahan, dadah dan arak.

“Ibu, mengucap bu. Tolonglah. Kasihankanlah Yana ni. Yana tidak pernah pecahkan pinggan mangkuk ini. Dari pagi, Yana berada di bilik sahaja. Yana tidak ke mana-mana.”

“Ah! Sudahlah! Jangan hendak mengajar aku apa nak buat. Sekarang, engkau pergi kemas semua ini dan jangan ganggu aku lagi. Pergi!” Ibuku terus mengambil dompetnya di atas meja makan dan menuju keluar dari rumah.

Ibu hendak membeli arak lagi. Mengapa? Ya Allah, mengapa ibu menjadi begini? Ibu telah menjadi kaki botol dan ketagihan dadah sejak kematian ayahku. Tidakkah beliau berasa simpati terhadap anak-anaknya? Pertanyaan demi pertanyaan sering menjentik hati dan perasaanku. Aku tidak berdaya hendak melakukan apa-apa lagi. Sejak kecil lagi, aku asyik didera ibu. Aku tidak mampu mengubati luka yang parah dalam jiwaku. Air mataku berguguran di pipiku bagaikan karangan manik terputus talinya. Aku segera mengemas serpihan kaca di lantai dapur.

Loceng rumah berbunyi. Aku mengintip di lubang kecil pintu. Hatiku melonjak gembira. Abangku akhirnya pulang ke rumah, keseorangan. Aku membuka pintu dan menjemputnya masuk sambil menampilkan senyuman mesra di bibirku yang semerah delima merekah. Abangku kelihatan gelisah. Sebelum aku sempat menghulurkan tanganku untuk bersalaman dengannya, dia terus menuju ke dapur. Matanya liar mencari sesuatu di situ.

“Abang hendak cari apa?”

“Dadah. Adik ada satu tidak? Aku perlukan sekarang. Cepat!”

“Dadah? Abang, Yana tak ada dadah. Mengucap bang.”

Perasaan berkecamuk melanda hatiku. Aku merenungnya dengan seribu perasaan yang aku sendiri tidak mengerti.
“Adik tidak berguna! Apa hendak jadi dengan engkau ni ah, Yana? Aku kan sudah kata, belikan yang baru untuk aku kalau dah habis. Kau tak ada otak ah?” kata-katanya meluncur bersama pandangannya yang tajam.

Ketakutan mula bergayut di sudut hatiku. Tanpa aku sedari, satu tamparan yang kuat hinggap di pipiku. Pandanganku menjadi kelabu.

“Aaahhhh! Naik gila aku nanti kalau aku tak ada lagi dadah di sini.”

Abangku terus berlari ke pintu dan menuju keluar dari rumah. Jantungku bergoncang bagaikan mahu memecahkan rangka dadaku. Fikiranku didera kebimbangan. Apa akan terjadi kepada abang dan ibu di luar nanti? Di manakah mereka sekarang?

Hampir tiga minggu sebelum peperiksaan GCE peringkat "A" akan bermula. Sebagai seorang murid di Maktab Rendah Raffles, aku tekun belajar dan rajin untuk mencapai kejayaan walaupun diriku bagai ditimpa gunung-gunung batu pejal yang pecah beserakan.

Hari yang lama dinanti-nantikan sudah pun tiba. Aku sedang bersiap-sedia untuk pergi ke maktab rendah untuk mengetahui keputusan peperiksaan GCE peringkat 'A'. Selepas bersarapan, aku pun menyalam ibu yang sedang menyikat rambut pendeknya.

“Alahai. Buat apa kau nak salam aku? Buang masa sahaja. Pergi keluarlah. Kalau kau balik nanti, jangan lupa belikan aku enam botol arak dari kedai runcit di bawah blok kita.”

Lidahku kelu untuk menyambung kata-kata. Keharuan kembali mengisi hatiku. Namun, aku cuba tabahkan diriku. Aku pun mengikat tali kasutku dan melangkah mantap dan penuh keyakinan ke destinasiku.

“Yana, cikgu sungguh bangga dengan kejayaan awak. Tahniah! Awak telah muncul sebagai pelajar terbaik di Maktab Rendah Raffles tahun ini untuk peperiksaan Sijil Peperiksaan GCE Peringkat A kerana mendapat markah kepujian untuk kesemua mata pelajaran. Alhamdulilah.”

Aku tidak mempercayai kata-kata Cikgu Rawiyah. Pelajar terbaik di maktab rendah ini? Tidak mungkin. Rasa gembira dan syukur berbunga di lubuk hatiku. Hatiku mengembang gembira bagaikan burung-burung yang terlepas dari sangkar mereka setelah lama terkunci di dalam. Aku tersenyum riang, menampakkan barisan gigi yang putih bak mutiara. Kegembiraan hatiku menujahkan keluar manik-manik jernih dari birai kolam mataku.

Ayah, ibu. Ini hadiahku kepadamu. Pemohonanku untuk memasuki unversiti di New Zealand tercapai akkirnya. Aku akan menyambung pelajaranku dalam bidang sains perubatan di sana.
Malam telah menyerkup selimut hitamnya ke seluruh kota Wellington di New Zealand. Aku sedang berdiri sambil bersandar di tepi jendela, memandang persekitaran di luar yang sibuk. Kini, aku berumur dua puluh tahun dan aku keseorangan di dalam bilik hotel lima bintang yang terkenal dengan layanan mereka yang amat memuaskan. Angin malam menghembuskan udara yang semakin dingin. Rambutku yang panjang paras bahu terbuai-buai ditiup angin.

Aku menuju ke katilku. Mataku terkelip-kelip memandang sepucuk surat di atas cadar katil itu. Aku pun mengutipnya dengan segera. Surat yang terkejap di tanganku ditenung lama. Hatiku melonjak gembira apabila melihat nama bonda saudaraku terpampang di muka sampul surat. Aku tidak membuang masa lalu mengoyakkan sampul itu. Aku membaca kandungan sehelai surat dalam genggamanku.

Wajahku pucat lesi bagaikan bulan kesiangan. Tidak! Tidak! Ini tidak benar! Makcik Ros mengatakan dalam surat itu bahawa ibuku sudah kembali ke alam baqa. Selain itu, abangku pula dipenjarakan seumur hidup kerana menyeludup dadah ke Singapura secara haram. Tidak mungkin! Aku membisu seribu bahasa. Hatiku hancur bagaikan kaca yang dihempas kuat ke batu. Mutiara jernih mula bergenang di kelopak mata. Impianku untuk meneruskan hidupku dengan hati yang tenang kini hanyut dibawa arus ombak bergelora bersama butiran air mata yang berguguran. Dunia kecerahanku kini seolah-olah diserang ribut taufan yang tiada hentinya.

Ya Allah, aku mohon ampun dan maaf terhadap dosa-dosa yang telah aku lakukan. Lindungilah abangku Lukman dan maafkanlah dosa-dosanya. Ya Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, moga Engkau akan maafkan dosa-dosa kedua-dua orang tuaku selama ini dan menempatkan mereka bersama orang-orang
yang beriman. Amin.

Nur Fatin Diyana
Menengah 3E2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: