Monday, July 21, 2008

Pada pendapat kamu, apakah ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seorang pelajar contoh ?

Generasi muda hari ini merupakan tunggak negara yang akan menjadi pemimpin pelapis pada masa hadapan. Hakikat Ini memang diakui oleh masyarakat, tetapi yang perlu diberi perhatian di sini ialah bagaimana pemerintah dapat melahirkan generasi muda yang dapat menerajui Singapura pada masa yang akan datang. Sekolah memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik. Namun, adakah pencapaian akademik sudah memadai untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi rohani serta jasmani? Apakah ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seseorang pelajar contoh yang dapat dijadikan tauladan bagi para pelajar yang lain? Dalam erti kata lain, apakah ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seorang pelajar contoh?

Ciri yang perdana ialah kaya dengan ilmu pengetahuan. Pelajar contoh lazimnya cemerlang dari segi akademik dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Pelajar tersebut akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran di kelas dan dia juga tiada segan silu untuk bersoal-jawab dengan guru dan menanyakan soalan bagi memahami pelajaran yang telah diajar. Ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata, “Carilah ilmu pengetahuan dengan cara soal-jawab.” Pelajar contoh akan bijak membahagikan masa dan juga membuat persediaan awal seperti mengadakan ulangkaji dan meneliti buku-buku model jawapan. Pelajar juga akan sering mengunjungi perpustakaan untuk menimba lebih banyak ilmu. Perpustakaan diibaratkan sebagai gedung ilmu pengetahuan dan ialah tempat yang sesuai untuk menelaah pelajaran. Membaca akhbar juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Ciri seterusnya ialah mempunyai rangkaian sosial yang luas. Pelajar contoh biasanya mempunyai pergaulan yang luas, di mana dia dapat berinteraksi dengan khayalak ramai. Pemilihan pergaulan dilakukan dengan berhati-hati dan biasanya mereka akan memilih kawan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam pelajaran. Seseorang yang ramah dan sosial, akan pandai bergaul dengan sesiapa sahaja tidak kira usia, serta berupaya menjalinkan persahabatan dengan mudah. Pelajar tersebut juga pandai menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi, di mana dia tidak seperti cacing kepanasan apabila menghadapi pelbagai tekanan. Pelajar contoh ialah seorang yang berketrampilan serta mampu menampilkan diri dengan penuh keyakinan diri.

Ciri selanjutnya ialah berpersonaliti sihat. Pelajar harus mempunyai gaya hidup yang sihat. Dengan memakan makanan yang seimbang, kesihatan seseorang akan terjamin dan otak dapat berfikir dengan lebih lancar. Pelajar juga akan menjaga kesihatan fizikal serta keselamatan diri. Dia akan menjauhi diri daripada sebarang penyakit atau bahaya. Pelajar contoh akan berfikiran positif dan sentiasa bersikap optimistik. Dia akan sentiasa yakin pada potensi diri sendiri. Keyakinan diri dapat memberi suntikan semangat kepada dirinya. Pelajar contoh tidak akan bersikap pesimistik. Dia juga tahan lasak dan tidak mudah putus asa apabila gagal dalam sesuatu perkara yang diceburinya.

Ciri keempat ialah penampilan watak yang terpuji. Pelajar yang mempunyai penampilan terpuji akan mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Dia akan berdisiplin dalam pelajaran. Ini bermakna dia tidak malas dan tidak mudah terpengaruh dengan orang di sekelilingnya dan juga pada komputer dan televisyen semasa belajar. Dia mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan kegagalan atau situasi yang mencabar. Pelajar contoh juga harus berperibadi mulia seperti sopan-santun dan hormat-menghormati dengan orang yang berusia lebih tua. Pelajar contoh juga berwawasan dan mempunyai cita-cita untuk masa hadapan. Dia akan bekerja keras untuk mencapai cita-cita serta meraih kejayaan.

Ciri kelima ialah serba boleh. Pelajar contoh lazimnya berbakat dan aktif dalam bidang sukan selain daripada bidang akademik. Dia mahir dalam pelbagai sukan seperti bola keranjang, tenis meja, badminton, renang, dan sebagainya. Dengan melibatkan diri dalam sukan, dia akan tahan lasak dan tidak mudah jatuh sakit. Pelajar contoh juga lazimnya mahir dalam teknologi maklumat atau IT. Dia juga mempunyai daya kreativiti dan arif dalam bidang komputer. Selain itu, pelajar contoh juga turut mempunyai bakat kepimpinan. Dia mampu mengatur dan menganjurkan aktiviti atau program di sekolah. Dia juga tidak malu untuk menampilkan diri dan menonjolkan bakatnya. Dia juga berupaya mengetuai kumpulan dan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.

Ciri yang terakhir ialah cinta kepada sekolah dan negara. Pelajar contoh akan menjaga nama baik sekolah serta negara. Dia tidak akan membuat kerja bodoh seperti mencuri dan merokok yang akan mencemarkan nama sekolah. Pelajar contoh akan meningkatkan kemahirannya sejajar dengan tuntutan masa supaya kejayaan akan dicapai. Kecemerlangan dalam bidang akademik akan membanggakan keluarga, sekolah, dan juga negara. Kemungkinan juga dia akan mewakili negara dan mengharumkan nama baik negara. Pelajar contoh juga aktif dalam kegiatan amal dan kemasyarakatan. Dia akan meluangkan masa untuk membuat kerja-kerja kebajikan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Pencapaian cemerlang bukanlah suatu yang mustahil dicapai oleh para pelajar. Prasyarat yang utama ialah kesediaan dan kesanggupan pelajar itu sendiri mengubah paradigma, bertindak atas landasan etika dan yang paling penting menjadi seorang pelajar yang tidak mudah patah semangat. Pelajar contoh sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika kerja serta mempunyai kesungguhan dan komitmen yang tinggi kepada penyempurnaan tugasnya di sekolah dan berkeinginan untuk mencapai yang terbaik. Pelajar contoh yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam mengharungi cabaran persekolahan dan mempunyai sikap optimistik dalam semua tindakan serta sedia belajar dari kesilapan dan kelemahan. Sekiranya semua pelajar bersikap demikian maka saya yakin pada suatu hari nanti impian Singapura untuk melahirkan lebih ramai rakyat yang arif budiman akan dapat direalisasikan.

Haliza Bte Hamdan
Menengah 4E2
Dunearn Secondary School

No comments: