Thursday, July 24, 2008

Kau Kekasihku Kau Sahabatku

Kau Kekasihku...Kau sahabatku...

Matahari semakin menghilang di ufuk barat. Malam telah melampaui garisnya, Dinihari mula menjelma lalu menyerkap seluruh angkasa dalam selimut hitamnya. Butir-butir bintang yang menghiasi dada malam mengerdip cantik. Angin malam bertiup berkali-kali menempiaskan kedinginan, menjatuhkan daun-daun kering dari pohon-pohon sepanjang jalan taman ini. Keheningan malam menenangkan fikiran dan mendamaikan perasaan. Maka terbukalah tinta memori lalu kenangan manis, pahit, suka dan duka bermain dalam kotak fikiranku.
Diyanah...Farid... dua insan akan aku ingat sepanjang hayat. Sudah enam bulan aku bercinta bersama Diyanah dan empat tahun aku kenal Farid sebagai rakan baikku.Tidak kusangkah=... Tidak mungkin... Aku tidak mahu percayakan tetapi di dalam hati, aku tahu semua yang berlaku ialah realiti.Terpaksa aku menelan sisa pahit cinta.
Bintik-bintik peluh bercambah di sana sini di tubuhku disebabkan kepanasan. Akhirnya lonceng sudah berbunyi menunjukkan akhir sekolah. Aku terus mencari Diyanah di kantin kerana sudah aku berjanji makan bersamanya.Apabila aku sampai, aku ternampak dia bersama Farid. Wajah Diyanah sentiasa mengorak senyuman dan tersinar cerah dengan pancaran mentari kehidupan dari bebola mata yang coklat ceria. Pipinya selicin pauh dilayang dan bibirnya semerah delima merekah. Apabila dia ternampakku, senyumannya semakin lebar dan merah lalu melambai-lambai padaku. Hatiku berlonjak keriangan, tetapi apabila aku tiba Farid mengatakan bahawa dia mahu pulang dahulu. Aku pun meletakkan beg dan membeli makanan.

Keesokkan hari, aku jumpa Diyanah di kantin untuk makan bersamanya. Aku tolong jagakan begnya apabila dia membeli makanan. Aku membuka begnya untuk meminjam pena tetapi aku ternampak dua pucuk surat yang di tulis dengan cantik. Aku kenal tulisan ini, tetapi tidak ku sangkah kandungannya. Surat yang di tanganku ditenung lama, dalam genggaman ku. Dua helai kertas surat remuk, seremuk hatiku. Mataku terpaku kepada ayat yang berbunyi.

Diyanah,

Saat aku menulis warkah ini buatmu, hatiku penuh dengan cinta terhadapmu. Aku ingin meminta maaf dahulu jika kedatangan warkah ini mengganggu ketenteramanmu dan jika kata-kata ini mengusik emosi dan perasaanmu. Kehadiranmu bagaikan pelita yang menerangi hidupku yang dahulu gelap-gelita. hatiku berasa gelisah apabila aku tidak mendengar suaramu yang merdu dan jiwaku terseksa apabila kau berada jauh dari pandanganku.

Entah mengapa, dengan secara tiba-tiba bunga-bunga cinta mula berkembang di teratak hatiku semenjak kau bersama Dia. Aku berasa salah terhadap Zai kerana perasaan aku padamu dan juga kerana kami telah lama berkawan. Harap-harap dia akan memaafkan kita, jika tidak...

Diyanah,

Terciptanya warkah ini ketika malam sunyi sepi. Ketika aku terjaga dari mimpi yang indah warnanya, perasaanku bergelora. Perasaanku bukan sekadar fantasi. Biarkan serpihan rembulan bergugur ke ribaku, biarkan aku merintih kehausan dan kering kegersangan namun kaca yang bersadur keemasan akan terus jua kucari walaupun di hujung dunia. Andainya di situ ada ruang, bolehkah kiranya aku menumpang? Sayang, berikanlah aku kesempatan untuk kubuktikan erti kejujuran dan keikhlasan?

Yang menyintai,
Farid.

Kata-kata daripada surat itu memukul-mukul gegendang telingaku. Api berang mula menular ke dalam hatiku, semakin panas darahku. Wajah serius kutatap dengan percikan peluh dingin.Terus aku berlari untuk berjumpa dengan Farid di bilik darjahnya. Aku nampak Diyanah bersama lelaki itu. Terlepas kemarahan yang tidak terhitung, melahirlah apa yang terbuku di jiwaku.

"Eh, jantan sial!" Aku menyergah dengan nada yang keras.

"Zai... kenapa dengan kau?"Sahut Farid dengan nada terkejut.

"Berani kau merompak Diyanah daripadaku! Kami sudah berkawan empat tahun, sanggup kau buat begini."Suaraku semakin tinggi.

"Zai..."Katanya dengan nada resah.

Tanpa memikir, aku membelasah Farid hingga hidungnya berdarah. Kemarahanku redah sedikit tetapi tidak cukup untuk memuaskanku. Sekali lagi aku menggangkat jariku yang bergenggaman dan...

"Jangan! Sudahlah Zai, aku cintakan Farid. KIta putuskan sahaja hubungan kita, kau pergilah sekarang." Diyanah memekik.

Ucapan itu menerjah gegendang telingaku, aku berasa amat berat untuk menerima keputusan itu. Percintaan kita selama ini seperti diperbudak-budakkan,
tetapi aku tidak mahu memanjangkan bicara ini. Aku pulang ke rumah dengan rasa bersalah kian menebal. Seluruh tubuhku berasa lemah. Keputusannya bukan sahaja mengguris hatiku, ia menghancurkan hatiku bagai dihentak batu. Namun, setitik air mata pun tidak menitis daripada kolam mataku.

Aku duduk termenung didalam kamarku, duniaku sepi seperti tiada penghuni. Terdengar lagu 'Menghitung Hari' yang didendang oleh Kris Dayanti berkumandang di corong radio.

"Biar saja cintamu pergi
Biar saja pada semua
Biar semua tahu adanya
Diriku kini sendiri..."

Tujahan cahaya matahari pagi menampar dada bilik. Aku terdengar sesuatu suara lelaki yang ku kenal datang dari tingkap bilikku.


"Assalammualaikum, Zai kau ada di dalam? boleh kita bercakap?" aku dengar farid memanggilku.

"Sudalah Farid... kau pergi dari sini sahaja..."Kata ku dengan kuat.

"Aku hanya mahu minta maaf... baiklah aku akan pergi..."Jawabnya.

Selepas dia pergi, aku tanya diriku, adakah apa yang aku melakukan betul? Tetapi fikiranku terganggu dengan sesuatu bunyi yang kuat dari bawah. Aku keluar daripada rumahku dan menjengguk je bawah. Aku tidak percaya mataku, pernafasanku terhenti sekejap. Di bawah, badan Farid terlentang merah dengan darah sebagai warna kereta disebelahnya. Aku terus berlari ke bawah berasa cemas sambil menelefon ambulan.

Pernafasan Farid semakin sesak, sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya, dia meminta maaf lalu kembali ke rahmatullah dan menyahut seruan Illahi. Aku meraung kesedihan dan merangkul tubuh rakan baikku. Pemergiannya diiringi dengan air mata dan sekalung doa. Aku rasa bahawa ini semua ialah kesalahan aku, tidak dapat aku minta maaf daripadanya. Inilah pemergian seorang sahabat.

Enam bulan kemudian, aku terjumpa Diyanah di kubur Farid.

"Zai... aku sedar kesalahanku... adakah peluang kami bersama lagi?"Rayu Diyanah.

Aku tidak sampai hati untuk menyahut hanya aku mampu bermonolog bersendirian.

Kekasihku,
kata-katamu berdenggung di dalam telingaku.
"Ingat kita akan bersama hingga akhir hayat..."
Lupakah kamu?
Di mana janji-janji mu yang manis sayang?

Teringatku cinta kita yang pernah berbunga,
bagai sekuntum ros merah.
Tetapi sayang...
Kini ros merah sudah layu
Seperti asmara kita yang sudah gugur.

Perhubungan ini tidak akan berbunga lagi
Walaupun Sang Suria memancarkan sinarannya
ataupun beribu tangisan daripada tujuh langit biru...
Ingatkah kata-katamu yang manis...Sayang?

Danial Irsyaduddin
Menengah 3E2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: