Thursday, July 24, 2008

Biar Pedih Hati Terhiris


Keheningan malam yang bersalutkan biji-biji mutiara yang berkilauan di langit membuat sanubariku berasa kesunyian. Aku kagum memerhatikan bintang-bintang dan cahaya purnama yang masih setia menerangi alam semesta. Suara sang punguk mendayu-dayu memecahkan keheningan malam. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, seolah-olah berirama syahdu. Entah mengapa, malam itu aku bagaikan dibungkus sepi seperti seorang pengembara di padang pasir.


Apalah ada pada sebuah percintaan kalau ia tidak menjanjikan kebahagiaan. Lebih baik hidup bersendirian seandainya bersendirian itu lebih membahagiakan… “


Aku menutup buku diari harianku dan merenung jauh keluar jendela. Suamiku, Farhan masih belum pulantg. Sejak akhit-akhir ini, aku sering mengharap agar Farhan lambat pulang, kalau tidak pulang lebih bagus. Cintaku kini tidak seperti cintaku lima tahun yang lalu. Begitu juga dengan dirinya. Aku tahu hatinya berbelah bagi, antara diriku dengan isteri keduanya, Farisha.


Kalaulah aku tahu ini semua akan terjadi, sudah pasti aku akan menuruti kemahuan arwah ayahku untuk bernikah dengan anak rakan baiknya, Hisham. Mungkin hidupku lebih bahagia memandangkan Hisyam berasal dari keluarga yang berada dan ternama. Aku tersenyum sendiri. Hisham baik orangnya, tentu segala kasih sayangnya akan dicurahkan kepadaku. Ah ! gila. Hati kecilku bermonolog. Namun sayang, aku tersalah membuat pilihan. Insan yang kusangkakan berlian itulah racun hidupku.Permata kacaku pecah tak ku duga.


“Anak kurang ajar! Susu yang aku beri, tuba yang kau balas?” tengking ayahku. Wajahnya merah padam menahan kemarahan yang sudah sampai kemuncaknya.


Aku hanya berdiam diri. Mulutku seakan terkunci. Terbit perasaan kesal kerana berterus terang mengenai hubunganku dengan Farhan.


“Ayah, Nina bukan kurang ajar. Tapi Nina rasa Nina berhak untuk menentukan masa depan Nina. Nina tak sanggup berkongsi hidup dengan Hisham, lelaki yang tidak pernah Nina cintai.” jawabku dengan nada yang agak tinggi.


Apalah yang kau nampak pada Si Farhan itu? Pekerjaan pun tak tetap. Maca mana nak kasi kau makan, rumah dan segala keperluan kau?” ibu mencelah, dan terus menyebelahi ayahku.


Ah, memang ibu dan ayah tidak pernah memahami perasaan Nina.. “ Belumpun sempat aku menghabiskan ayatku, satu tamparan yang hebat hinggap di pipiku. Air mataku mengalir dengan derasnya. Aku bergegas ke dalam bilik tidur dan menghempas daun pintu sekuat hatiku.


Walau apapun yang terjadi, esok aku harus pergi dari tempat ini,” jerit hatku. Malam itu aku mengemas pakaian ke dalam beg. Aku sudah nekad meninggalkan keluargaku demi mengejar angan-anganku bersama Farhan. Keesokkan harinya,tepat jam dua pagi, aku keluar dari rumah dengan meninggalkan sepucuk warkah untuk kedua orang tuaku.


Kehadapan Ayahanda dan Bondaku,


Ketika ayahanda dan bonda membaca warkah ini,mungkin Nina sudah pergi. Pergi jauh dari keluarga sendiri. Nina tahu ayah dan ibu kecewa dengan tindakan bodoh anakanda. Nina sedar, apa yang ayahanda dan bonda lakukan ialah untuk kebahagiaan Nina pada masa hadapan.Tapi ini semua tidak akan dapat membahagiakan Nina.


Selepas pemergian Nina ini, janganlah ayahanda dan bonda tangisi.Relakanlah permergian Nina dan restuilah pernikahan Nina dengan Farhan. Doakanlah agar anakanda sentiasa di bawah lindungan Allah Yang Maha Esa.Percayalah, tidak pernah ada niat di hati ini untuk melukai hati insan yang telah membesarkan Nina.


Gadis Lara,

Nina


Dua hari selepas itu aku bernikah dengan Farhan. Sebak hatiku ketika berwalikan ayahanda saudaraku walaupun ayah kandungku masih hidup. Namun pada waktu itu, hanya satu saja di fikiranku, aku kini bebas dengan insan yang kucintai dan sanjungi.Malang tidak berbau, ayahku meninggal dunia pada hari pernikahanku akibat diserang penyakit jantung. Ternyata beliau begitu terkilan dan kecewa dengan sikapku. Kesal yang bersarang di hatiku bukan kepalang kerana tidak dapat melihatnya untuk kali terakhir.


Tiga tahun melayari bahtera hidup merupakan hari-hari yang terindah dalam hidupku. Farhan menatangku bagai minyak yang penuh. Pada Tuhan, aku panjatkan kesyukuran atas segalanya. Namun manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan.Ku sangkakan panas hinga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Harapanku yang tinggi menggunung hancur dalam sekelip mata. Masuk tahun keempat, Farhan mula menunjukkan perubahan dalam dirinya. Beliau sering marah-marah dan pulang lewat hampir setiap malam. Hampir setiap hari aku berendam air mata kerana kecewa dengan sikapnya itu.


Ternyata Tuhan masih menyayangiku dan mahu menunjukkan kepadaku tentang kecurangan suamiku. Suatu petang, sedang aku dalam perjalanan pulang dari kerja, aku ternampak sepasang kekasih yang sedang berpimpin tangan berjalan menuju ke sebuah kereta. Berdetak jantungku. Lelaki yang begitu mesra memegang tangan pasangannya ialah Farhan. Aku menjerit di dalam hati. Rasa cemburu membungkam di dada. Dengan hati yang kecewa dan hampa, aku meninggalkan kawasan itu. Aku pulang dengan hati yang hancur berderai, bak kaca jatuh ke batu. Aku menangis sepuas-puas hatiku, hinggakan kering kolam air mataku.


Malam itu, Farhan pulang agak lewat dari biasa. Aku tabahkan hatiku untuk bertanyakan mengenai wanita tadi. Sangkaanku bahawa dia akan naik berang meleset sama sekali. Sebaliknya, beliau kelihatan begitu tenang sekali.Tanpaku sedari, butir-butir mutiara jatuh dari kelopak matanya. Dia menjelaskan bahawa wanita itu adalah Farisha, isteri keduanya. Hatiku bagai disiat perlahan-lahan dan aku menahan peritnya. Hanya Tuhan sajalah yang mengerti perasaanku ketika itu. Bumiku pijak bagaikan bergoncang.


Sejak peristiwa itu,a ku sedar cintaku terhadap Farhan mulai pudar. Walaupun dia cuba berbaik semula denganku seperti dahulu, aku dapati cintanya tidak seikhlas dahulu. Aku benar-benar hampa. Kadangkala dia tidak pulang hingga lima hari, meninggalkan aku sendiri di rumah. Aku tiahu Farhan mengahwini Farisha kerana nafsu semata-mata. Aku benci … benci dengan Farhan. Benci yang teramat sangat.


Bunyi deringan telefon membawaku ke alam nyata ,lalu kubiarkan lamunanku tadi bergantung tanpa bertali. Baru kusedar ratu suria telah tergelincir dari persemayamnya di puncak langit. Aku segera mendapatkan telefon dan segera menjawabnya.Terasa gelap sementara dunia apabila mendapat tahu bahawa Farhan terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke rumahku. Beliau sedang dalam keadaan kritikal. Dengan segera aku bersiap dan bergegas ke hospital.


Betapa sayunya hatiku apabila memasuki wad Farhan. Kesedihan menyelubungi diriku. Aku mendekatinya yang sudah bagai nyaw-nyawa ikan. Aku duduk di sebelahnya dan ku genggam erat tangannya. Farhan seolah-olah tidak mahu melepaskan genggamanku. Dia seperti ingin memberitahuku sesuatu. Aku mengucup dahinya.


“Sayang, cinta kita akan tetap bersemadi di hatiku ini.” kataku lalu kubisikkan dua kalimah syahadat ke telinganya. Air mataku semakin deras membasahi pipiku.


Pernafasannya beransur perlahan lalu terhenti buat selamanya. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Farisha yang turut berada di wad itu memeluk erat jasad suamiku. Jijik! jerit hatiku. Tuhanku, betapa beratnya dugaanmu ini, terasa tidak mampu hambamu ini memikulnya.


Di hari pengebumiannya, aku sudah tidak mampu menangis lagi. Bagiku lebih baik menangisi nasib insan-insan malang yang terkorban dalam peperangan. Sudah tiada gunanya aku bersedih. Semuanya sudah berlalu. Aku masih belum berganjak dari tanah yang merah itu walaupun ramai yang telah pulang. Setelah membacakan surah Yasin, barulah aku berangkat pergi.


Farhanku,

Mencintaimu suatu hadiah yang paling berharga dari Tuhan. Kerana cinta, aku sanggup meninggalkan segala kemewahan dan keluargaku sendiri, dan kerana cinta jugalah aku merana. Kini Tuhan telah mengambil kembali hadiah yang paling berharga bagi diriku. Sememangnya daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Percayalah aku tidak pernah menyesal berkongsi hidup bersamamu. Cuma yang aku kesali, mengapa semuanya harus berakhir begini. Biarpun kau telah pergi, kau akan selalu di hatiku. kini dan selamanya.


Aku menutup diari harianku lalu terlelap dibuai mimpi yang indah bersama Farhan.


Nursakinah Yusof

Menengah 3E5

Sekolah Menengah Dunearn


No comments: