Monday, July 21, 2008

Peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Bincangkan.

Remaja adalah tunggak bangsa dan negara. Merekalah harapan masyarakat pada hari muka. Mereka bertanggungjawab membina generasi seterusnya. Jika runtuh akhlak mereka, maka goyahlah akhlak generasi akan datang. Ini adalah kerana merekalah yang akan menjulang nama negara dan meletakkannya di mercu kejayaan kelak. Namum demikian, lautan mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Remaja juga seperti manusia biasa yang pastinya tidak akan terlepas daripada dibelenggui masalah. Contohnya, masalah seks rambang seperti pengguguran bayi dan pembuangan bayi. Persoalannya, adakah ibu bapa yang harus dipersalahkan di dalam hal ini? Adakah peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja berpunca daripada kepincangan institusi keluarga?

Memang tidak boleh dinafikan bahawa peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Namun, ia masih boleh diperdebatkan. Hal ini kerana terdapat alasan-alasan lain yang menyebabkan masalah tersebut. Sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan, ayuh kita tinjau alasan bagi menyokong dakwaan bahawa kepincangan institusi keluarga menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja.

Alasan perdana adalah ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak mereka. Ibu bapa terlalu taksub mencari lembaran kertas yang berharga itu sehinggakan mereka lalai dan alpa terhadap tanggungjawab mereka kepada anak-anak. Bagi menebus kesilapan mereka, wang belanja yang berlebihan telah diberikan kepada anak-anak mereka. Selain itu, kerana terlalu sayangkan anak mereka, ibu bapa telah memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada anak mereka. Apabila diberikan kebebasan, anak itu akan menyalahgunakan kebebasan dan kepercayaan yang diberikan sehinggakan menyebabkan mereka terlibat dalam kancah yang kurang sihat.

Alasan seterusnya ialah ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa. Pada usia yang muda, remaja sangat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapanya. Namun, mereka taksub mencari harta dunia sehinggakan melupakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak. Mereka alpa dan lalai dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Mereka juga tidak mengambil tahu perihal anak-anak mereka sama ada mereka di dalam dilema ataupun tidak. Lantaran itu, remaja akan mencari saluran eskapisme untuk mendapatkan kasih sayang. Selain itu, kemungkinan besar remaja tersebut akan terjerumus ke dalam lembah maksiat.

Alasan yang terakhir adalah keganasan rumah tangga. Menurut kajian yang telah dijalankan, 63% hingga 75% pasangan terlibat dalam keganasan rumah tangga. Keganasan rumah tangga boleh didefinasikan sebagai tindakan yang mempunyai niat untuk mencederakan, merosakkan atau membunuh ahli keluarga sendiri. Ini semua berpunca dari tekanan hidup dan kejahilan tentang agama. Keganasan rumah tangga boleh mendatangkan masalah seperti masalah seks rambang dalam kalangan remaja. Hal ini terbukti dengan berlakunya perpecahan keluarga seperti perceraian. Melalui penceraian, anak-anak meraka akan mempunyai masalah emosi. Keadaan Ini boleh mengakibatkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti yang jurang menyenangkan seperti seks rambang.

Namun demikian, setelah membentangkan alasan-alasan yang menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dalam kalangan remaja, terdapat juga alasan-alasan lain yang menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dalam kalangan remaja. Alasan perdana adalah kejahilan tentang ilmu ukhrawi iaitu agama. Seseorang tokoh pernah berkata bahawa tanpa pendidikan agama, seseorang itu mempunyai iman yang goyah dan mudah dipengaruhi oleh iblis. Dengan ini, ramai yang tidak dapat mengawal nafsu lantas mereka akan mengadakan hubungan seks di luar nikah. Apabila si gadis itu mengandung anak luar nikah, mereka disuruh menggugurkan kandungannya demi menutup malu. Oleh demikian, kadar pengguguran dalamm kalangan remaja semakin meningkat.

Seterusnya, pengaruh rakan sebaya juga merupakan satu alasan yang menyebabkan peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja. Rakan sebaya adalah agen yang memainkan peranan penting. Apabila mereka diberi kebebasan, mereka bergaul dengan rakan-rakan yang rendah akhlaknya. Ini akan mengakibatkan remaja tersebut terpengaruh dengan tingkah-laku rakan sebaya mereka itu. Atas desakan kawan-kawan mereka, mereka mengadakan hubungan seks di luar nikah . Alangkah bodohnya si remaja itu bak pepatah melayu,"seperti lembu dicucuk di hidung". Maka berlakulah kehamilan yang tidak dingini.

Alasan selanjutnya adalah pengaruh media massa. Memang tidak boleh dinafikan bahawa media massa memainkan peranan yang magnitud dalam mencari informasi dan menimba ilmu. Namun demikian, ia juga dapat menimbulkan implikasi yang negatif terhadap seseorang remaja itu. Contohnya, internet yang menyediakan pelbagai lelaman lucah yang kini tidak asing lagi dalam kalangan remaja. Dengan ini, para remaja akan terdorong untuk mengadakan hubungan seksual setelah menonton adegan-adegan yang mengghairahkan. Selain itu, televisyen juga seringkali menyiarkan rancangan-rancangan yang berunsur negatif dan hedonisme seperti 'Desperate Housewives', 'Hanyut' dan 'Seksa'. Rancangan-rancangan Ini telah menjadi contoh kepada golongan remaja. Lantas, mengakibatkan kadar kehamilan dalam kalangan remaja meningkat.

Akhir sekali adalah sikap individu itu sendiri. Tiada sesiapa yang dapat memaksa kita melakukan sesuatu melainkan kita sendiri yang membuat keputusan untuk melakukannya. Bak kata pepatah melayu, 'tepuk dada, tanya selera'. Seseorang remaja itu harus pandai membezakan antara yang baik dan yang buruk. Mereka haruslah berfikiran matang dalam membuat keputusan. Mereka haruslah bersikap berdisiplin. Mereka juga harus kuatkan iman mereka supaya mereka mudah melawan nafsu haloba. Melalui cara ini, mereka tidak akan mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Remaja yang kurang bermoral atau disiplin akan mudah terpengaruh dengan sikap-sikap yang negatif seperti seks rambang.

Kesimpulannya, peningkatan kadar kehamilan dan pengguguran dalam kalangan remaja bukan hanya berpunca daripada kepincangan institusi keluarga. Ia juga berpunca daripada pelbagai pemangkin seperti kejahilan tentang agama, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan juga sikap individu. Bagi mengatasi masalah ini semua pihak harus memainkan peranan. Adalah diharapkan pada suatu hari nanti Singapura akan bebas daripada masalah kehamilan dan pengguguran yang memudaratkan. Insya Allah.

Karmilah Bte Kamis
Menengah 4E2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: