Thursday, July 24, 2008

Ingat Daku Dalam Doa Mu

Ingat Daku Dalam Doa Mu

Matahari telah hampir masuk ke peraduannya. Aku sedang duduk di tepian pantai sendiri, tiada berteman. Diri ini tidak lagi berteman setelah kehilangan orang yang tersayang. Sang mentari mula beransur turun ke dasar laut yang tidak kelihatan. Cahaya merah jingga telah mulai terbentang dan bayangannya mengindahkan lagi lautan yang tenang tak berombak. Senja akan berlabuh sebentar lagi. Tiupan angin senja bagaikan membawa kenangan silam. Ingatanku pada kenangan silam berputar satu demi satu di kotak fikiranku ini. Walaupun telah kucuba menepis kenangan silam itu, namun kadang kala ia kembali segar dalam ingatan ku. Air jernih merembes keluar dari kelopak mataku lalu gugur satu persatu.

Amy, dialah yang hadir dalam hidup ku dan mengajarku erti cinta. Dahulu, ketika di bangku sekolah aku sering terluka oleh cinta. Perasaanku sering kali dipermainkan dan dihancurkan oleh kaum Adam. Tetapi, hidupku berubah setelah aku mengenali Amy. Walaupun pada mulanya aku merasakan bahawa semua lelaki adalah sama, namun Amy tidak pernah berputus asa untuk mengubah cara permikiranku. Aku sungguh bertuah kerana mengenali Amy. Tiba-tiba aku tersentak dari lamunanku. Kicauan burung-burung yang pulang ke sarang membuat aku tersentak daripada lamunanku. Aku menangis. Aku tidak dapat menahan sebak di dada. Itu semua dahulu. Kini, dia sudah tiada di alam yang fana ini. Amy sudah pergi menyahut seruan Illahi. Allah lebih menyayanginya lebih daripada aku. Walaupun pada mulanya aku tidak dapat menerima hakikatnya, namun aku tetap tabahkan diri in dan kini aku telah berjaya menerima hakikat bahawa Amy sudah tiada.

Aku masih ingat lagi bagaimana aku mula berkenalan dengan Amy. Waktu itu aku baru putus cinta dan cuba melarikan diri dari orang-orang di sekelilingku. Aku ingin menenangkan fikiranku sambil menikmati udara segar di tepian pantai Changi. Sedang aku menangis seorang diri, seorang jejaka datang menghampiriku dan menghulurkan sehelai sapu tangan padaku. Aku mengesat air mataku sambil lalu mengukirkan senyuman padanya.

Jejaka tersebut tiba-tiba bersuara, “Walaupun saya tidak kenal saudari namun saya faham apa yang saudari sedang lalui sekarang ini.”

Aku terdiam kehairanan. Aku tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh beliau. Apa maksudnya bahawa dia faham akan perasaan ku ini. Tidak! Tiada seorang pun yang faham akan hati dan perasaan ku ini. Oleh kerana itu, aku sering di permainkan dan dikecewakan.

“Saudari gagal dalam percintaankah? Saya faham betapa sakitnya hati seorang wanita apabila gagal dalam percintaan. Namun saudari harus teruskan hidup ini. Jangan berputus asa,” katanya penuh simpati

Kata-kata jejaka itu memberi aku semangat untuk meneruskan hidupku ini. Namun aku tidak tahu sekiranya aku masih dapat menerima kehadiran sebarang lelaki di hati ku ini lagi. Mungkin aku dapat menerimanya tetapi mungkin setelah bertahun-tahun lamanya dan setelah aku kenali apa erti cinta sejati. Jejaka itu mula memperkenalkan dirinya kepada ku. Namanya Amy. Aku juga memperkenalkan diriku padanya. Bermacam-macam hal kuluahkan padanya. Segala isi hati ku ini kuluahkan keluar dari hatiku ini. Namun begitu segala masalah peribadiku, kusembunyikan daripadanya. Setelah puas aku menceritakan segalanya padanya, aku merasakan semacam kelegaan di hatiku ini. Selama ini aku memendamkan perasaan ku. Namun kini semuanya aku luahkan pada insan yang baru aku kenali ini.

Semenjak pertemuan pertama itu, aku dan Amy semakin rapat. Aku sering menghabiskan masaku bersamanya. Aku dan Amy bagaikan is dan kuku, tidak dapat dipisahkan. Semakin hari, semakin rapat hubungan kami. Kadang kala, hati ini cuba meluahkan rasa cinta padanya, namun aku takut. Aku tidak tahu samada perasaan yang aku rasakan ini adalah cinta atau kasih antara seorang teman pada teman yang lain. Aku cuba menafikannya. Aku takut untuk melalui alam percintaan agi. Takut akan gagal dalam percintaan. Aku takut dipermainkan lagi oleh kaum Adam. Lagi pun, aku tidak tahu sekiranya Amy dapat menerima cintaku dan adakah dia sendiri mencintai diri ini? Bermacam persoalan berputar di kotak fikiran ku dan tiada sebarang jawapan yang aku terima.

Kini, sudah lebih dua tahun aku dan Amy menjadi teman baik. Kini, aku sedar bahawa hati ini telah menganyam bibit-bibit kasih menjadi bakul percintaan. Aku amat menyayangi dirinya. Walaupun begitu, aku masih belum meluahkan isi hati ku padanya. Segalanya kusimpan di dasar hati ini. Aku takut bahawa cintaku akan ditolak jauh-jauh. Mana tahu dia sudah ada pilihan hati. Lagi pun tak manis sekiranya aku yang berterus terang akan niat di hati ini. Biarlah aku pendamkan segalanya. Pada suatu hari, Amy mengajak aku berjalan-jalan di tepian pantai. Sudah agak lama kami berdua tidak keluar bersantai. Maklumlah semua sibuk dengan kerja masing-masing. Walaupun aku sibuk, aku tetap meluangkan masaku untuk bersamanya. Seperti yang dijanjikan Amy telah menjemputku di rumah dan kami pun terus menuju ke pantai Changi.

Setibanya di pantai Changi, Amy mengajakku duduk di sebuah bangku berdekatan dengan tempat meletak kereta. Tiupan angin pada petang itu membuat aku kesejukan. Amy yang memerhatikan gerak geriku tertawa riang. Tiba-tiba Amy memelukku erat dalam dakapannya. Aku terkejut lalu ku menoleh ke arah wajahnya dan merenung tajam tepat di matanya. Aku dapat merasakan satu kehangatan dalam dakapannya. Aku tersenyum. Begitu juga dengan Amy. Sememangnya Amy tidak lokek dengan senyuman.

Tiba-tiba Amy berbisik di telinga kanan ku, “ Ada sesuatu yang Amy ingin katakan pada Ila.”

Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda sedia mendengar penjelasannya itu. Aku gementar. Namun, aku cuba sembunyikan rasa gementarku itu daripada Amy.

“Ila, sebenarnya Amy sayang Ila. Maksud Amy, Amy sudah jatuh hati dengan Ila sejak pertama kali bertentang mata dengan Ila. Bila Ila katakan pada Amy bahawa Ila sering dilukai, Amy rasa kasihan pada Ila. Amy tak ingin lihat Ila dilukai oleh mana-mana lelaki lagi,” Amy berkata pada ku.

“Sebenarnya, Ila pun punya perasaan yang sama terhadap Amy. Tetapi Ila takut untuk meluahkan is hati ini. Tapi sekarang, cinta Ila telah dibalas oleh Amy. Ila sayang pada Amy.”

Aku tidak tahu dari mana keberanianku datang untuk meluahkan isi hati ini. Sejak saat itu aku dan Amy adalah sepasang kekasih yang sedang asyik di lamun cinta. Hinggakan kami bercadang untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Suatu hari, malang tidak berbau. Hari itu aku dan Amy bercadang untuk ke kedai untuk memilih cincin pernikahan kami. Namun tidak satu pun cincin yang kami berkenan. Hari sudah larut malam. Aku dan Amy bercadang untuk pulang sahaja. Oleh kerana hujan turun mencurahi bumi dengan lebatnya, Amy menyuruhku menunggunya di luar pusat membeli belah sementara dia pergi mengambil keretanya. Tiba-tiba aku terdengar suatu bunyi yang amat kuat hingga menarik perhatianku untuk melihat apa yang berlaku. Ketika dalam perjalanan ke tempat kejadian, aku terdengar orang ramai memekik meminta tolong kerana terdapat orang yang cedera. Langkah ku semakin laju. Hati ku berdebar-debar. Aku merasakan ada sesuatu yang telah melanda diri Amy. Setibanya aku di tempat kejadian, aku hampir-hampir pengsan.

Amy berlumuran darah. Aku tidak dapat menahan sebak. Aku menangis sepuas hatiku. Air mataku mengalir tanpa henti bagaikan hujan yang sedang mencurah-curah membasahi bumi ini. Aku meminta tolong orang ramai disekeliling ku. Aku binggung. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku hanya dapat berdoa agar Amy dapat diselamatkan. Dengan bantuan orang ramai Amy dapat ku bawa ke hospital dengan ambulan. Aku menaiki ambulan tersebut untuk menemani Amy. Di dalam ambulan tersebut, Amy memberiku sebungkus hadiah dan sepucuk surat. Aku menangis tidak henti. Amy mengesatkan air mat ku. Aku tidak ingin kehilangan Amy.

Tiba-tiba Amy bersuara, “Sayang, jagalah dirimu dengan baik. Percayalah bahawa cintaku pada mu tidak pernah pudar walau sesaat pun. Selamat tinggal sayangku. Moga dikau sentiasa mengingatiku dalam doa mu.”

Setelah Amy mengakhiri kata-katanya, tiba-tiba aku lihat dia sudah tidak bernafas. Amy sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku mendakap Amy. Aku tidak dapat menahan sebak. Jururawat di dalam ambulan itu cuba memujuk ku. Namun, aku tidak dapat menerima hakikat yang Amy telah tiada.

Aku terus menelefon kedua ibu bapaku dan ibu bapa Amy untuk memberitahu mereka apa yang telah berlaku. Walaupun pada mulanya amat payah untuk aku berterus terang akan perkara yang sebenarnya kepada kedua ibu bapa Amy, namun aku tidak dapat menyembunyikannya daripada mereka. Kelak, mereka akan mengetahuinya juga. Pada keesokkan harinya, jenazah Amy dikebumikan di Pusara Abadi. Bungkusan hadiah dan surat yang di serahkan padaku semalam masih berada dalam genggamanku.

Jenazah Amy selamat di kebumikan. Setelah semua sanak-saudara Amy pulang, aku masih lagi berada di tanah perkuburan itu. Aku kini tidak berteman. Keseorangan. Hidupku tiada berteman. Langkahku perlahan. Namun, aku masih tetap ingin menuju ke arah di mana Amy selamat di kebumikan. Kini yang tinggal hanyalah kenangan. Percintaanku dengan Amy terputus di tengah jalan. Amy sudah tiada di dunia yang fana ini. Allah s.w.t. lebih menyayanginya. Aku duduk di sebelah kuburnya. Aku mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Sempat juga aku membacakan surah Yassin kepadanya. Setelah itu, aku mengucup batu nisan yang tercacak di kuburnya. Aku berasa lemah. Aku amat keberatan untuk meninggalkan tanah perkuburan ini. Namun, aku harus teruskan hidup ini. Aku juga harus menerima hakikatnya bahawa Amy sudah tiada.

Setibanya aku di rumah, aku membuka bungkusan hadiah yang diberikan padaku. Setelah aku mengoyakkan bungkusan itu, terdapat sebuah kotak. Pabila aku membuka kotak tersebut, aku amat terperanjat. Di dalam kotak tersebut, terdapat sebentuk cincin berlian. Aku terkejut. Lalu aku mengoyakkan mulut sampul surat itu dan membaca kandungannya.

Ila, pemata hatiku,

Dengan terlayangnya warkah ini ke pangkuan Iia, mungkin Amy sudah lagi tiada di dunia ini. Amy akan pergi buat selama-lamanya. Andainya Amy tiada lagi, janganlah Iia tangisi pemergian Amy. Iringilah pemergian Amy dengan doa restu. Taburilah pusara Amy dengan bunga mewangi sebagai tanda cinta Ila pada Amy. Takdir telah menentukan bahawa kita tidak dapat bersama lagi. Amy memohon ribuan ampun dan maaf dari Ila sekiranya Amy tersalah kata atau tersilap bicara selama perkenalan kita. Halalkan apa yang termakan dan terminum.

Sebelum Amy pergi terimalah sebentuk cincin yang pernah Amy impikan untuk menyarungkannya di jari manismu tetapi… semuanya hanya tinggal impian. Hadiah yang Amy kirimkan ini, Ila buatlah kenangan. Akhir sekali, ingatlah daku dalam doamu. Selamat tinggal sayang sayang…

Yang sentiasa mencintaimu,
Amy

Aku menyarungkan cincin berlian pemberian Amy ke jari manisku sambil menitiskan air mata. Setelah itu aku menatap potret kami berdua yang petik di pantai Changi. Aku menggenggam erat gambar tersebut lalu meratapi pemergian Amy. Aku tidak mungkin dapat mencari pengganti dirinya. Hanya Amy yang aku cintai. Tiba-tiba aku terdengar lagu “Ingat Ku Dalam Doa Mu” nyanyian kumpulan Stings berkumandang di corong radio.

Alangkah indah kehidupan ini
Seandai engkau terus bersama ku
Kiranya aku menyinggung hati mu..
Maafkan diri ku…oh…sayang
Andainya aku hilang di mata mu...
Ingat…ku dalam doamu...”

Tiba-tiba aku tersentak dari lamunanku dan kembali ke alam yang nyata. Tanpa kusedari, lima tahun sudah berlalu. Sehingga kini aku masih tidak dapat melupakannya. Tapi aku pasti mendung akan berlalu dan langit akan kembali cerah.

Nor Karmilah Bte Mohamed
Menengah 5N2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: