Monday, July 21, 2008

Dalam sistem pendidikan kita sekarang ini, peperiksaan merupakan suatu beban kepada pelajar-pelajar. Bincangkan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, peperiksaan membawa maksud ujian untuk menentukan kebolehan dan kepandaian seseorang. Perkataan beban pula ditakrifkan sebagai tanggungan yang berat. Dalam sistem pendidikan Singapura yang berorientasikan peperiksaan, peperiksaan bukanlah sesuatu yang baru. Peperiksaan telah pun wujud sejak zaman jahiliyah lagi dan merupakan kayu ukuran dalam menentukan kedudukan seseorang. Kini, semua institusi pendidikan termasuklah sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah, madrasah dan juga universiti telah mewajibkan peperiksaan bagi menentukan kelayakan ke peringkat seterusnya. Peperiksaan merupakan kriteria bagi menentukan pencapaian dan kebolehan seseorang dalam jurusan yang diceburi. Pendekata sekolah dan peperiksaan ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Namun, ada yang berpendapat bahawa peperiksaan merupakan satu beban dan harus dimansuhkan. Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut. Ataupun ia hanyalah satu andaian semata-mata.


Saya bersetuju dengan dakwaan tersebut tetapi tidak seratus-peratus. Memang tidak dinafikan bahawa peperiksaan merupakan satu beban bagi seseorang pelajar namun pernyataan itu masih boleh diperdebatkan dengan alasan-alasan yang tuntas. Alasan yang pertama ialah peperiksaan menyebabkan tekanan. Pelajar mana yang tidak tertekan jika disuruh mengulangkaji tujuh subjek sekaligus dalam masa yang singkat. Pelajar juga dikehendaki melibatkan diri dalam kegiatan luar darjah selepas waktu sekolah serta menghadiri kelas-kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Harapan ibu bapa yang menggunung tinggi memburukkan lagi keadaan. Ibu bapa sering mengharapkan anak-anak mereka lulus peperiksaan dengan kelulusan yang cemerlang tanpa memberi sokongan moral dan kewangan. Apabila ini berlaku, para pelajar akan berasa tertekan lalu tercicir dari arus persekolahan.


Peperiksaan juga turut menjejaskan kesihatan. Sudah terbukti bahawa seseorang manusia harus tidur sekurang-kurangnya 7 jam sehari. Malangnya ramai remaja tidak mengamalkannya dan sering jatuh sakit akibat kurang rehat yang secukupnya. Remaja hari ini banyak menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran hinggakan mereka mengabaikan makan dan minum. Ada yang belajar sampai 2 pagi kerana tidak mahu gagal dalam peperiksaan. Akibat kekurangan tidur kesihatan para pelajar akan terjejas.


Di samping itu, peperiksaan juga menyebabkan kemurungan sehingga ada yang mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Tidak hairanlah sekiranya kadar bunuh diri dalam kalangan pelajar sekolah melonjak naik sejak akhir-akhir ini. Peperiksaan amat membebankan sehingga pelajar tergamak mengorbankan nyawa sendiri. Hal ini akan menjejaskan nama baik sekolah-sekolah yang terbabit. Justeru, guru-guru harus memberi dorongan, bimbingan dan sokongan moral supaya pelajar dapat meneruskan perjuangan di medan pelajaran.


Selanjutnya peperiksaan juga menyebabkan kadar keciciran yang tinggi. Lazimnya pelajar yang tercicir ialah pelajar yang lemah dan sering gagal dalam peperiksaan. Kegagalan dalam peperiksaan menyebabkan seseorang remaja hilang minat dalam pelajaran. Apabila menghadapi kegagalan, pelajar tersebut membuat keputusan terburu-buru untuk berhenti sekolah. Menurut Charles Dickens “orang yang berjaya bukanlah orang yang memendamkan semangatnya kerana takut gagal, bukan juga orang yang tidak pernah gagal, tetapi ialah orang yang tetap maju ke depan sungguhpun menempuh kegagalan.” Maksudnya orang yang berjaya adalah orang yang tidak takut kepada kegagalan kerana ia adalah asam garam kehidupan. Berhenti sekolah merupakan suatu perbuatan yang bodoh dan merugikan.


Namun peperiksaan juga mendatangkan kesan positif. Peperiksaan merupakan kayu ukuran bagi menentukan kecerdasan minda seseorang. Peperiksaan dapat menunjukkan siapa yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Pelajar yang cemerlang akan berpeluang mengembangkan bakat dan potensi mereka dengan memasuki institusi pengajian tinggi yang terbaik manakala pelajar yang lemah akan mengetahui tahap pencapaian mereka dan memperbaiki kelemahan mereka. Ini akan mendorong pelajar yang lemah untuk terus berusaha dan memperbaiki prestasi mereka agar mampu bersaing pada hari muka. Pelajar juga akan tahu sejauh mana tahap pencapaiannya. Dengan pengetahuan ini, para pelajar akan berusaha untuk memperbaiki prestasi masing-masing. Hal ini akan menimbulkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar dalam bidang pelajaran.


Para pelajar juga tidak akan bersikap sambil lewa dengan ketiadaan peperiksaan. Sistem pendidikan yang tidak mempunyai peperiksaan akan membawa padah kepada negara. Hal ini kerana para pelajar tidak akan mempedulikan pelajaran mereka. Pelajar juga tidak akan mengulangkaji pelajaran mereka dan menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan yang ada kerana mereka tidak diuji. Oleh itu, peperiksaan harus diadakan supaya para pelajar akan lebih serius terhadap pelajaran mereka. Pelajar juga harus didedahkan kepada sedikit tekanan. Sedikit tekanan tidak akan mendatangkan kemudaratan.


Para pelajar juga dapat mengenalpasti kesilapannya. Kemungkinan keputusan peperiksaan pertengahan tahun pelajar tersebut kurang memuaskan. Pelajar itu boleh mengambil iktibar daripada peperiksaan tersebut dengan mengulangkaji apa yang patut serta mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir tahun pula. Bak kata pepatah, rahsia utama menuju kebahagiaan ialah percaya kepada diri sendiri. Oleh sebab itu pelajar tidak harus ragu-ragu tentang kebolehan diri sendiri dan harus yakin dia mampu melakukannya.


Berdasarkan perbincangan di atas, saya dapat merumuskan bahawa peperiksaan memang merupakan satu beban kepada para pelajar tetapi ia juga mendatangkan kesan-kesan yang positif. Tekanan merupakan asam garam persekolahan dan tidak dapat dielakkan. Semua para pelajar akan menghadapi sedikit tekanan dalam mengharungi alam persekolahan. Namun, bak kata pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” Hakikatnya, peperiksaan mendorong para pelajar untuk berusaha gigih ke arah kejayaan. Sekiranya semua pelajar bersikap demikian, insyallah impian Singapura untuk melahirkan rakyat yang arif budiman akan menjadi kenyataan.

Nuramira Bte Roslan
Menengah 5N2
Sekolah Menengah Dunearn

No comments: